Halaman

Sabtu, 31 Januari 2015

[133] ARPRM : Penerangan dan Perkongsian Pengalaman di SMK Buloh Kasap

Pada Sabtu, 31 Januari 2015, peserta Tahap Emas Program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) bersama Mentor Program telah diberikan kesempatan untuk mengendalikan Sesi Penerangan dan Perkongsian Pengalaman Program ARPRM di SMK Buloh Kasap. Seramai 45 orang Pengerusi dan Setiausaha Badan Beruniform, Kelab dan Persatuan sekolah tersebut hadir di dalam Kursus Kepimpinan Kokurikulum yang diadakan separuh hari di bawah GPK Koko Tuan Haji Muzaffar Shah Ghazali Shah



Turut bersama di dalam program adalah Encik Ibrahim Bin Bujang, Pegawai Rakan Muda Pejabat Belia dan Sukan Daerah Segamat dan para peserta Emas yang lain. 

Sesi ARPRM  bermula pada jam 10.30 pagi dan berakhir pada 12.15 tengah hari. Ia dimulakan dengan penerangan ringkas oleh Mentor ARPRM G2. Kemudian, ia diikuti pula dengan Sesi Perkongsian Pengalaman melaksanakan ARPRM dari Tahap Gangsa hingga ke Tahap Perak oleh Mohd Firdaus. Sesi ditutup dengan penyampaian sijil ARPRM Tahap Gangsa sesi 2014 daripada Encik Ibrahim Bujang kepada Tuan Haji Muzaffar Shah Ghazali dan penyampaian sijil penghargaan dari sekolah untuk G2.










Kolaborasi ini adalah sebahagian dari usaha G2 untuk memastikan kesinambungan program ARPRM di Daerah Segamat dan negeri Johor, seterusnya dapat melahirkan peserta - peserta program yang berkualiti. Terima kasih kepada Peserta Tahap Emas G2 : Mohd Firdaus ZainalAzhari Imran dan Zainornatikah Abu Talib yang dapat bersama - sama menyempurnakannya.


Untuk gambar, klik Facebook Belia Felda Pemanis : ARPRM di SMK Buloh Kasap atau boleh juga singgah di Instagram G2.

Ini pula adalah rakaman video yang menjurus kepada Sesi Perkongsian Pengalaman oleh Firdaus.


Rabu, 28 Januari 2015

[132] Program Menggapai Pendidikan Ketiga

PENDIDIKAN : Persatuan Belia G2 Felda Pemanis telah melaksanakan Program Menggapai Pendidikan Ketiga dengan kerjasama Pusat Internet 1Malaysia Felda Pemanis Dua (PI1M). Program berlansung pada Jumaat, 23 Januari 2015 di PI1M Felda Pemanis Dua. Seramai 30 orang lepasan SPM 2014 dari Felda Pemanis menyertainya. Ia dibahagikan kepada 3 sidang, bermula dari jam 9.15 pagi. Setiap sidang mengambil masa satu jam.








Sebelum itu, G2 telah membantu adik - adik lepasan SPM 2014 untuk membeli nombor pin UPU secara pukal bagi semua yang akan mengikuti program tersebut.

Program ini dilaksanakan dengan kaedah dan tujuan seperti berikut 
  • Melaksanakan Ujian RIASEC Holland secara online untuk mengetahui kecenderungan minat individu bagi tujuan kerjaya masa hadapan yang boleh dijadikan asas untuk memilih bidang pengajian. 
  •  Mengisi borang UPU Online di bawah Kemeterian Pendidikan Malaysia yang meliputi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA - aliran akademik) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA - aliran kemahiran dan TEVT - Pendidikan Teknik dan Vokasional). 
  • Memastikan lepasan SPM 2014 dari Pemanis mengisi borang UPU Online dengan betul dan memilih bidang pengajian yang tepat dibantu oleh fasilitator.

Seramai 6 orang fasilitator terdiri dari ahli - ahli G2 yang sedang bercuti semester dari program Ijazah Sarjana Muda membantu memberikan pandangan, memastikan lepasan SPM 2014 mengisi borang dengan betul dan dijadikan sumber rujukan jika ada pertanyaan. Terima kasih diucapkan kepada Saifuddin Bin Mohd Isa (UTeM), Hati Ika (UiTM), Mohd Arifin (UTeM),Cahaya Hidayah (UiTM Pulau Pinang), Mohd Zulkarnain (UM) dan Mohd Firdaus Zainal (UMT). Turut membantu adalah Encik Juan E. Aziz (Pengurus PI1M Pemanis Dua) dan Encik Muhammad Salleh (Penolong Pengurus PI1M). 

Para fasilitator G2 ini memainkan peranan yang besar dalam memberikan bimbingan melanjutkan pelajaran ke tiga sama ada dalam aliran akademik mahupun latihan kemahiran kepada lepasan SPM 2014 menerusi program ini. Terima kasih diucapkan.

# Kami merupakan pelanggan dan kumpulan terakhir PI1M Felda Pemanis Dua hari ini. Selepas tamat program ini tadi, PI1M Felda Pemanis Dua akan ditutup dalam masa sebulan setengah (jangkaan) untuk tujuan renovasi. Terima kasih diucapkan kepada semua

Isnin, 26 Januari 2015

[131] Projek Penempatan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda Siri 1 / 2015

Badan Operasi Program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM), Persatuan Belia G2 Felda Pemanis telah melaksanakan edisi sulung Projek Penempatan sebagai Komponen ke - 5 yang wajib dalam syarat pentauliahan ARPRM. Projek Penempatan merupakan kemuncak kepada segala komponen dan pencapaian aktiviti yang dilaksanakan menerusi ARPRM setelah menyelesaikan 4 komponen sebelum ini iaitu Khidmat Masyararat, Kemahiran, Rekreasi Fizikal dan Jelajah Lasak.

Untuk Projek Penempatan yang dilaksanakan oleh Mohd Firdaus Zainal Abidin ini, ia telah diberi nama Program Kesedaran Awam dan Kajian Saintifik Pemuliharaan Penyu (Public Awareness and Turtle Conservation Scientific Research Programme)


Projek ini mempunyai matlamat dan objektif seperti berikut :

MATLAMAT
Melaksanakan kempen kesedaran awam dan kajian santifik terhadap proses pemuliharaan penyu sebagai spesis terancam

OBJEKTIF
  • Memberi pendidikan dan kesedaran awam terhadap kepentingan penyu
  • Membantu melakukan kajian – kajian saintifik terhadap penyu
  • Melaksanakan program pemuliharaan penyu
  • Mempromosi sifat kesukaelaan pemuliharaan penyu
  • Melayakkan untuk ditauliahkan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda Tahap Emas
Manakala kaedah perlaksanaan projek ini adalah seperti berikut :

Penempatan bersama Pusat Pengurusan dan Pemuliharaan Penyu,
Pengkalan Balak Melaka selama 5 hari 4 malam.

Peserta mengeluarkan idea dan melaksanakan beberapa program bersama
Pusat terutamanya yang melibatkan orang ramai dan penyelidikan.

Peserta menimba ilmu, pengetahuan dan kemahiran dalam pemuliharaan
penyu bersama Pusat.

Peserta menyiapkan Laporan Projek Penempatan dan dikemukakan kepada
Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.

Projek Penempatan ini adalah berkonsepkan Lapangan Saintifik dan
Lapangan Awam.

Mari kita ikuti serba sedikit catatan yang dibuat berkenaan program ini. Catatan ini dikumpulkan menerusi empat sumber : (1) Facebook Belia Felda Pemanis, (2) Buku Log Peserta (3) Diari Peserta Emas dan (4) Laporan Akhir Peserta Tahap Emas.

Pagi ini bermula Projek Penempatan Program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda Tahap Emas Siri 1 / 2015 oleh Badan Operasi Persatuan Belia G2 Felda Pemanis. Projek bermula dari 14 - 18 Januari 2015 di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Jabatan Perikanan Negeri Melaka, Kg Padang Kemunting, Pengkalan Balak, Melaka.


Hari 1 dari 5 - Mohd Firdaus Zainal hari ini memulakan Projek Penempatan ARPRM Tahap Emas beliau di bawah G2 bertempat di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Kg Padang Kemunting, Pengkalan Balak, Masjid Tanah, Melaka. Projek selama 5 hari ini membawa tajuk Program Kesedaran Awam dan Kajian Saintifik Pemuliharaan Penyu diadakan dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Melaka, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor dan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Segamat. Hari ini, beliau belajar pengurusan dan operasi Pusat Konservasi diikuti dengan Kajian 1. : Corak Pemakanan Penyu. Ia kemudian disusuli dengan sesi penerangan awam, pemeriksaan sangkar telur penyu dan penyisihan telur penyu tembelang. Encik Ibrahim Bin Bujang, Pegawai Rakan Muda Segamat telah secara rasmi melakukan serahan peserta kepada Encik Fardian, Pegawai Pusat Konservasi yang juga selaku Panel Penilai Luaran. Projek ini diselaraskan oleh Mentor / Penyelia Encik Mizam dan Panel Penilai Dalaman Encik Azizi. Ini adalah Projek Penempatan sulung untuk G2 dalam Daerah Segamat.


Tiga ekor anak penyu ini ditemui di dalam lubang eraman ketika hendak menggali bagi mengeluarkan telur yang tidak menjadi. Anak penyu ini masih hidup dan sedang dijaga oleh Firdaus. Ia gagal melepasi lubang pasir eraman. Beliau akan melepaskannya pada jam 6.00 petang ini. Kajian 2 dalam Projek Penempatan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda Tahap Emas ini adalah berkaitan dengan eraman telur penyu. # Lebih banyak gambar di Instagram G2.  



Dalam Segmen Lapangan Awam, hari ini memberikan penerangan berkaitan konservasi penyu kepada para pelajar baru IKBN Alor Gajah (Institut Kemahiran Belia Negara Alor Gajah Melaka (Official)) Peserta Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda Tahap Emas dari G2, Sdra Mohd Firdaus Zainal mengendalikan sesi ini.


Kembali ke dunianya. Tiga ekor yang ditemui, dua mati sebelum sempat dilepaskan ke laut bebas. Anak penyu ini diberi nama G2rian. Selamat menempuh dunia bebas dan penuh cabaran. Begitu juga ironinya dengan hidup kita.


Sesi Penerangan Konservasi Penyu kepada awam dan pengunjung bermula. Mohd Firdaus Zainal, Peserta ARP RM Tahap Emas dari G2 mengendalikan keseluruhan sesi penerangan awam sehingga Ahad ini. Kunjungi Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Kg Padang Kemunting. Pengkalan Balak, Masjid Tanah, Melaka.


Bersama rakan - rakan dari Kelab Ekopelancongan dan Lestari Penyu Melaka baharu sahaja selesai menjelajah sekeliling pesisir pantai untuk pemantauan kegiatan yang mencemarkan alam sekitar.




Hari Ke 3 - Hari yang panjang. Bermula seawal jam 8.00 pagi dan tamat pada jam 1.00 malam ini. Pelbagai aktiviti : Sesi Penerangan Awam kepada pengunjung, diskusi bersama Panel Penilai Luaran dan Dalaman, pembersihan kolam peliharaan penyu dewasa, diskusi bersama Kelab EkoPelancongan dan Penyu Lestari Melaka, pemantauan pencemaran pesisir pantai dan diakhiri dengan lewat malam pemantauan kawasan penyu mendarat / bertelur di Meriam Patah, Tanjung Serai dan Tanjung Dahan bersama Kelab EkoPelancongan. Banyak pengalaman dan pengetahun baru yang diperolehi.



Menyiapkan keychain cenderahati eksklusif dengan kerjasama Kelab EkoPelancongan dan Penyu Lestari Melaka dan ARPRM G2 untuk pengunjung Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Melaka.


Dua orang Panel Penilai diperlukan bagi tujuan Projek Penempatan ini. Panel Penilai Dalaman (gambar atas) adalah Encik Azizi dari Badan Operasi Persatuan Belia G2 Felda Pemanis. Beliau tiba dari Putrajaya petang tadi.
Manakala Panel Penilai Luaran adalah Encik Fardianshah (gambar bawah). Beliau adalah Ketua Pusaylt Konservasi dan Penerangan Penyu, Jabatan Perikanan Melaka. Dokumen - dokumen akan diperiksa dan disahkan oleh dua Panel Penilai sebelum disahkan Mentor / Penyelia Peserta.





Sesi Pembentangan Program Kesedaran Awam dan Kajian Saintifik Pemuliharaan Penyu oleh Firdaus kepada Pegawai - Pegawai Jabatan Belia dan Sukan dan Panel Penilai.

Penerangan projek secara in - situ : Galeri Pameran, Kolam Peliharaan dan Tapak Penetasan Penyu kepada Pegawai - Pegawai Jabatan Belia dan Sukan dan Panel Penilai.



Selesai sesi pembentangan, lawatan dan majlis penutup untuk Program Kesedaran Awam dan Kajian Saintifik Pemuliharaan Penyu bagi memenuhi keperluan Projek Penempatan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda. Bersama Badan Operasi G2, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor, Jabatan Perikanan Negeri Melaka, Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Padang Kemunting dan Kelab EkoPelancongan dan Penyu Lestari Melaka


Bersama Mentor (Penyelia Program dan Projek ARPRM) yang menjadi Mentor untuk semua tahap (Gangsa, Perak dan Emas) sepanjang melaksanakan program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda ini dari Persatuan Belia G2 Felda Pemanis.


Gambar - gambar ada dipaparkan di Instagram G2 dan Facebook Belia Felda Pemanis. Manakala berikut pula adalah koleksi video yang sempat dirakam,










Terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama. Semoga ia menjadi titik mula untuk lebih banyak Projek Penempatan lagi selepas ini dan menggapai impian Emas menerusi Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda.