Halaman

Isnin, 23 Februari 2015

[137] Catatan Pengalaman ke Kg Kemubu, Dabong, Kuala Krai, Kelantan

CATATAN PENGALAMAN
GERAKAN MISI BANTUAN SUKARELAWAN INTERVENSI KRISIS PASCA BENCANA (BANJIR)
KE KAMPUNG KEMUBU,DABONG, KUALA KRAI, KELANTAN


Catatan Pengalaman oleh MOHD AZHARI IMRAN
Peserta ARPRM Tahap Emas Persatuan Belia G2 Felda Pemanis

Pada 19-21 Feb 2014 yang lepas, Persatuan Belia G2 Felda Pemanis bersama Jabatan Belia Sukan Johor telah melaksanakan program gerakan misi bantuan sukarelawan ke kampung Kemubu di daerah Dabong, Kelantan. Program ini disertai oleh 12 orang sukarelawan lelaki dan 3 orang sukarelawan wanita. Empat orang lelaki daripada 12 sukarelawan itu adalah dari G2. Program ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk merawat psikologi mangsa di sana yang masih trauma dan menunjukkan keprihatinan kepada mangsa yang terlibat.

19 Februari 2014 (Hari Pertama)
Semua sukarelawan dikehendaki berkumpul di Pejabat Belia Sukan daerah Segamat(PBSS) jam 6 petang. Terdapat sukarelawan yang hadir dari daerah Kulai dan Mersing. Kami belia G2 yang terdiri daripada Encik Armizam, Encik Azizi, Firdaus Zainal dan saya, Azhari Imran bertolak dari Felda Pemanis jam 5.30 petang. Setelah siap mengatur barang di dalam boot kereta, kami bertolak ke Pejabat Belia Sukan dengan berhati-hati. Sepanjang perjalanan, kami terpaksa berhimpit seketika di kerusi belakang kerana sarat dengan barang Firdaus Zainal yang hendak memulakan sesi pembelajaran di UMT bagi semester seterusnya. Setelah tiba di PBSD Segamat, Encik Ibrahim iaitu Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Segamat (Pegawai Rakan Muda Daerah Segamat) telah menyambut kami dengan senyuman yang mesra. Setelah sampai, kami menurunkan barang untuk dipindahkan ke van Jabatan Belia Sukan.


Sementara menunggu pegawai dari daerah lain sampai, kami menjamu selera yang telah disediakan iaitu nasi ayam penyet. Kami mengisi perut kami sehingga tiada lagi ruang untuk nasi itu masuk ke dalam perut kami. Alhamdulillah, sangat kenyang malam itu. selepas itu kami menunaikan solat maghrib. Selepas selesai, kami diberi taklimat oleh Encik Ibrahim tentang tentatif dan objektif program yang ingin dijalankan. selepas selesai menyusun barang-barang bantuan ke dalam van, kami bertolak ke Taman Yayasan untuk pelepasan oleh YB Anuar  Manap, Ahli Parlimen Sekijang. Sementara menunggu YB sampai, kami mengisi minyak kenderaan bagi meneruskan perjalanan. Ketika ini, saya ingin menceritakan kisah lucu dimana saya disuruh untuk mengisi minyak. Selepas saya masukkan nozel pam minyak kedalam tangki, saya pergi membayar ke kaunter. Selepas itu saya terus masuk ke kereta kerana menyangkakan Encik Armizam sudah mencabut nozel tersebut. setelah itu, kereta pun bergerak. Tiba-tiba satu bunyi seperti tin aluminium jatuh dan semua menoleh kebelakang. Kami berempat terkejut kerana nozel pam minyak itu tercabut dari pam dan masih terpasang pada tangki minyak kereta itu. semua tertawa menyaksikan kecuaian saya. Saya segera keluar dari kereta dan mencabut nozel tersebut dan ingin kembalikan ke tempat asalnya. Pekerja di situ membantu saya sambil turut tertawa. perasaan malu dalam diri saya ketika itu menyusup dari kepala sampai ke kaki.


Malam itu konvoi kami dilepaskan oleh YB Anuar Manap jam 10 malam. Perjalanan sepanjang 8 jam ini diketuai oleh Encik Ibrahim. Hal ini kerana beliau telah ke sana sebulan yang lepas dalam misi bantuan bersama pihak lain.

20 Februari (Hari Kedua)
Bagi memendekkan perjalanan yang jauh, kami menggunakan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang baru sahaja dibuka awal tahun ini. Perjalanan di LPT mengambil masa hanya dua jam ke Kuala Terengganu. Sedang asyik memandu, Encik Ibrahim telah terlajak untuk memasuki persimpangan Ajil. Kami terpaksa berpatah balik untuk menemukan persimpangan itu semula. untuk berpatah balik menggunakan jalan yang betul mengambil masa yang lama dan juga akan menggunakan minyak yang banyak. Kami semua nekad untuk berpatah balik dengan melawan arah. Keadaan tenang malam itu sedikit melicinkan perjalanan kami dan dengan tiba-tiba peronda LPT telah menahan kami dan Encik Ibrahim telah berunding. Alhamdulillah, kami dilepaskan daripada sekatan itu tanpa denda dan saman.

Perjalanan diteruskan lagi sehingga ke Felda Chiku dan kami berhenti berehat dan solat subuh di situ. Jarak antara Chiku dengan Dabong tidaklah jauh sangat sekitar 4 jam perjalanan. kami teruskan perjalanan sehingga sampai ke daerah Dabong jam 9 pagi. Kami terus menuju ke surau untuk berjumpa dengan Abg Din. Di situ juga, kami berjumpa dengan ketua kampung dan setiausaha JKKP kampung tersebut. Encik Ibrahim telah menerangkan tentang tentatif program sepanjang kami di situ. Program itu akan bermula selepas solat Jumaat. Sementara menunggu solat Jumaat, kami berehat di rumah penginapan yang telah disediakan Abg Din.


Misi kami bermula jam 3 petang. Encik Ibrahim telah bahagikan beberapa kumpulan. Kami memberi bantuan kepada mangsa-mangsa di situ. Bantuan dari kami berbentuk kit kebersihan diri seperti bedak, alatan wangian, alat pembersih diri dan lain-lain. Sepanjang ziarah kami di kampung itu, kami mendengar luahan hati dari penduduk situ dan apa yang membanggakan kami adalah mereka mengatakan yang pasukan dari Johor merupakan pasukan yang paling ramai datang membantu membersihkan kawasan itu.  Kami selesai agenda kami yang pertama pada petang itu dalam lingkungan 5 petang.



Program kami seterusnya adalah mengadakan sesi bersama kanak – kanak. Saya dan Firdaus dikehendaki untuk mengendalikan slot ini. Antara aktiviti yang telah kami aturkan adalah mewarna dan sukaneka berbagai acara. Antara acaranya adalah mencari “cekelak” (gula-gula) di dalam tepung, masukkan air ke dalam botol menggunakan straw dan juga melempar getah ke dalam cawan. kami menjangkakan hanya dalam lingkungan 40 – 50 orang kanak-kanak sahaja tetapi kanak-kanak yang hadir pada petang itu mencecah dalam 70 – 80 orang. Sambutan yang amat menggalakkan. program pada hari kedua tamat pada jam 7 malam.














Sesi ini bertujuan untuk menghiburkan kanak – kanak dan melarikan mereka dari trauma yang dahsyat setelah bencana melanda. Ia juga dengan harapan agar kanak – kanak tersebut kekal positif untuk terus hidup.

Pada malam itu kami berehat dan melakukan aktiviti sendiri. Kami dari G2 mengambil peluang ini untuk ke pekan Jeli untuk bersiar-siar. Kami pulang ke rumah penginapan jam 10 malam.

21 Februari 2014 (Hari Ketiga)
Kisah hari ketiga dan terakhir kami di kampung itu bermula jam 6 pagi. Kami bersiap dan solat Subuh. selepas itu, anak saudara Abg Din telah menghantar sarapan untuk menjamu kami. selepas selesai bersarapan kami pun bersiap sedia dan berkemas kerana selepas program hari itu, kami akan terus bergerak pulang. Dalam keadaan sibuk bersiap, seorang pakcik telah datang ke rumah penginapan kami dan beliau telah menjemput kami untuk datang ke rumahnya. Setelah siap mengemas barang ke dalam kenderaan masing-masing, kami pun pergi ke rumah pakcik yang menjemput kami tadi.


Setelah sampai ke rumah pakcik itu tadi, kami disambut dengan mesra. pakcik itu menceritakan kisah dan pengalaman ketika menghadapi banjir tempoh hari. paras air yang memasuki rumah pakcik itu hampir menenggelamkan seluruh rumahnya. sambil pakcik itu menceritakan kisah pengalamannya itu, kami dijamu dengan roti canai dan kuah kari yang dibuat sendiri. Selepas selesai menjamu selera, Encik Ibrahim selaku wakil kami telah menyerahkan sumbangan berbentuk al-Quran dan kit pembersihan diri. Selepas itu, kami bergerak ke tempat perumahan pegawai keretapi daerah Dabong yang berhampiran di situ. Di situ merupakan tempat yang terakhir bagi misi kami kali ini. Selepas selesai, kami pun bersurai. Bagi kumpulan G2, kami ke Kuala Terengganu bagi menghantar Firdaus pulang ke kampusnya.

Kami sampai di Felda Pemanis pada jam 01.30 pagi, Ahad 22 Februari 2015.

Kesimpulan yang dapat saya ungkapkan bagi misi kali ini adalah walau dimana pun kita berada nikmat Allah itu tetap turun. hanya kita sebagai manusia yang tidak tahu bersyukur dengan nikmat-Nya. saya memetik kata-kata imam yang berkhutbah di masjid di kampung itu ketika solat Jumaat adalah “dalam musibah tu ada nikmat, dan kalau kita tak bersyukur dengan nikmat tu, kita akan ditimpa musibah pula.”

Harapan saya kepada belia di luar sana, sertailah program sukarelawan seperti ini agar kita tahu betapa susahnya untuk tabah apabila menerima ujian dan dugaan dari Allah. Ingatlah, bukan senang nak senang dan bukan susah nak susah.

***


Berikut adalah 5 klip video yang sempat dirakam sepanjang program berlansung.








            

Isnin, 16 Februari 2015

[136 : G2] Pertandingan Zapin Johor Terbuka Segamat 2015


Pertandingan Pertandingan Zapin Melayu Johor Terbuka Segamat 2015 sempena Karnival Kesihatan, Kebudayaan dan Sukan  telah diadakan pada Sabtu, 14 Februari 2015 di Dataran Segamat. Pertandingan Akhir ini dilakukan pada sebelah malam setelah tamat Saringan Awal pada sebelah petang. Zapin Seri Manis 2 memberanikan diri memasuki pertandingan ini yang berkonsepkan zapin asli Melayu Johor (dari senarai 14 jenis zapin Johor) dengan irama yang juga asli. Kami membawakan Zapin Kores - Tanjung Labuh dengan rentak lagu Bunga Hutan. Ia adalah hasil koreografi dan latihan oleh Fauzaien Norhani, Mohd Firdaus Zainal dan Azliyana Jamal. Lapan orang artis budaya Seri Manis Dua, empat lelaki dan empat perempuan bersama - sama menjayakan persembahan untuk pertandingan ini.



Tewas di Peringkat Akhir di hadapan ribuan penonton Dataran Segamat, namun ia satu pengalaman dan pembelajaran zapin yang cukup besar dan bermakna kepada artis budaya zapin. Terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan dan membantu dalam meneruskan kesinambungan seni budaya Melayu Johor.

Melangkah ke peringkat akhir adalah sesuatu yang tidak terfikirkan. Walaupun tiada rezeki di situ, namun pengalaman melepasi saringan dan 6 kali mempersembahkan zapin dalam sehari adalah sesuatu yang mengujakan untuk Zapin Seri Manis 2. Terima kasih kepada penganjur, barisan jurulatih yang sungguh dedikasi mengkoreografkan dalam masa dua hari dengan terpaksa mematuhi hukum dan peraturan Zapin Melayu Johor dari 14 jenis zapin Johor : Fauzaien Norhani, Mohd Firdaus Zainal dan Azliyana Jamal. Anda memang superb. 

Terima kasih kepada adik - adik penyambung legasi seni budaya zapin Johor : Hamka Arshad, Irfan, Aiman Danial, Faizal Sajat, Faieza Hashim, Norwahidah Abdullah, Aina Azizan dan Shuhadah. Juga untuk yang lain : Syikin Basri, Shahira Paiman, Akhmal Hafizi dan Aiman Hakimi. Melepasai penjurian lisan di atas pentas, menari zapin spontan beramai - ramai, bersama jurulatih dan banyak lagi. Semua ini tidak pernah berlaku sebelum ini kepada mereka. Satu lonjakan yang besar. Terima kasih kepada semua keluarga ahli zapin yang hadi memberikan sokongan, juga kepada rakan - rakan yang hadir memenuhi Dataran Segamat. Sukar untuk menembusi stigma pemikiran mengenai seni budaya asli. Sesuatu yang menjangkaui sehingga nilai falsafah, ketika remaja hari ini disogok dengan peperangan nilai luar yang bertubi - tubi. 

Terima kasih. Terima kasih. Terima kasih

# Gambar - gambar ada di pautan Facebook Belia Felda Pemanis

Berikut adalah dua video klip persembahan dari Seri Manis Dua. Pertama pada peringkat Saringan Awal manakala yang kedua adalah pada Peringkat Akhir.




Ini pula adalah 6 video klip persembahan kumpulan - kumpulan lain yang sempat kami rakam. Maaf, tidak semua kumpulan yang membuat persembahan sempat kami rakam.







Jumaat, 13 Februari 2015

[135] Biasiswa dan Pinjaman Untuk Lepasan STPM / Matrikulasi dan Setaraf


Senarai oragnisasi yang memberikan peluang Pinjaman / Pinjaman Boleh Ubah / Biasiswa / Dermasiswa kepada lepasan STPM / Matrikulasi / Setaraf untuk menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda. Sesetengahnya juga mungkin bermanfaat dan sesuai untuk lepasan SPM.

Kemaskini pada 13 Februari 2015. Sebarang perubahan dan pindaan, sila maklumkan kepada email kepada beliag2pemanis@gmail.com.


JPA: http://esilav2.jpa.gov.my/

 MARA: http://www.mara.gov.my/

Skim Dana Ehsan Pendidikan (SDEP): http://www.ypm.org.my/index.php?option=com_content&view=article&id=19&Itemid=30

Tun Rahah Scholarship Fund: http://www.yayasancemerlang.org.my/

UEM: http://www.uem.com.my/social/scholarship.html

Sime Darby: http://www.simedarby.com/

SCM: http://www.sc.com.my/

TNB: http://yayasan.tnb.com.my/sam/

TM: http://ytm.tm.com.my/

PNB: http://www.pnb.com.my/

Shell: http://www.shell.com.my/

Yayasan Pelajaran Mara: http://jadypm.edu.my/

JAKIM: http://www.islam.gov.my/

Biasiswa Tunku Abdul Rahman: www.yayasantar.org.my

Felda Johore Bulker Sdn Bhd: www.feldaholdings.com

Felda : www.felda.net.my

Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah: www.sabah.gov.my/jpan

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak: www.psc.sarawak.gov.my

Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah: www.biasiswa.sabah.gov.my

Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak Darul Ridzuan: www.maiamp.gov.my

 Pinjaman Pelajaran Kerajaan Negeri Perak: www.perak.gov.my

Majlis Agama Islam Negeri Johor: www.maij.gov.my

Pinjaman Pelajaran Kerajaan Negeri Selangor: www.selangor.gov.my

Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEN): tapem.melaka.gov.my

Gamuda Berhad: www.gamuda.com.my

Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan: www.jkmwpkl.gov.my

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja: www.kwsp.gov.my

Lembaga Zakat Selangor: www.e-zakat.com.my

Bank Rakyat Malaysia Berhad: www.yayasanbankrakyat.com.my

Pusat Zakat Sabah: www.zakat.sabah.gov.my

Yayasan Negeri Sembilan: www.yns.gov.my

Skim Biasiswa National Science: www.masduke.net/download/nsf.doc

Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi Malaysia: www.mosti.gov.my

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO): www.perkeso.gov.my

Sarawak Shell Berhad: www.shell.com.my

Sapura Industrial Berhad: www.sapuraindustrial.com.my

Terengganu Advanced Technical Institute: www.tatiuc.edu.my

Yayasan Felcra: esistem felcra.com.my/yayasan/?index.html

Yayasan Pahang: www.yp.org.my

Yayasan Sabah: www.ysnet.org.my

Yayasan Selangor: www.yayasanselangor.org.my

Yayasan Tenaga Nasional Berhad: yayasan.tnb.com.my

Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN): www.yakin.kelantan.gov.my

Yayasan Terengganu: www.ytrg.terengganu.gov.my

Yayasan Pelajaran Johor (YPJ): www.johordt.gov.my/ypj

Yayasan Biasiswa Sarawak Tunku Abdul Rahman: yayasansarawak.org.my/form/TAR.pdf

Yayasan Pelajaran MARA: http://www.ypm.org.my/index

# Semoga ia memberikan manfaat kepada semua.

Sabtu, 7 Februari 2015

[134] Bengkel Seni Tari Zapin Siri 2

ALHAMDULILLAH, Bengkel Seni Tari Zapin Siri 2 telah telah selamat dijayakan. Ia adalah hasil kerjasama dari Kelab Zapin Seri Manis 2, Persatuan Belia G2 Felda Pemanis, Alumni SMK Pemanis dan Pentadbiran SMK Pemanis. Ia merupakan kesinambungan dari Bengkel Asas Zapin Siri 1 yang diadakan pada bulan Ogos 2014 yang lalu. Bengkel dan latihan telah berlangsung selama 10 hari bermula 26 Januari - 4 Februari 2015.

Dua orang Jurulatih dari Alumni SMK Pemanis dan Persatuan Belia G2 Felda Pemanis telah menyumbang bakti dengan penuh dedikasi bagi menjayakan bengkel dan latihan. Terima kasih diucapkan kepada Mohd Fauzaien Norhani (Zaien Melowr) dan Mohd Firdaus Zainal. Mereka adalah pezapin dan jurulatih yang sudah lebih 10 tahun bergiat di dalam zapin dan masing - masing pernah membuat persembahan di luar negara.

Bengkel Zapin Siri 2 diadakan dengan matlamat (1) Sebagai latihan persediaan untuk lagu dan gerak tari baharu bagi dipersembahkan semasa Majlis Persaraan Pengetua SMK Pemanis pada 5 Februari nanti. (2) Memugar seni budaya tari tradisional Melayu Johor supaya tidak lekang dek zaman dan perubahan semasa. (3) Melatih pelapis dari kalangan generasi muda terhadap seni tari zapin.




Pada waktu siang, bengkel latihan ini diadakan di SMK Pemanis. Manakala pada waktu malam, ia disambung semula di kediaman jurulatih dan penyelaras program. Seramai 11 orang peserta terdiri dari 5 lelaki dan 6 perempuan telah menyertainya.
Majlis Ringkas Penyampaian Sijil Peserta dan Cenderahati Jurulatih telah disempurnakan oleh Puan Zabedah Abdul Rashid, GPK 1 SMK Pemanis sebentar tadi. Tahniah kepada adik - adik yang menyempurnakan latihan selama seminggu siang dan malam. Terima kasih kepada barisan Jurulatih yang dedikasi. 


Jurulatih : Mohd Fauzaien Norhani dan Mohd Firdaus Zainal








Gambar - gambar penuh boleh dilihat di Album Gambar Facebook Belia Felda Pemanis.

Manakala berikut adalah tiga klip video, termasuk satu Persembahan Khas sempena Majlis Persaraan Pengetua SMK Pemanis.




(Memang sukar untuk melestarikan seni budaya. Banyak halangan yang perlu ditempuhi. Menempuh stigma dan persepi generasi muda hari ini yang pesimis terhadap seni tari zapin. Nanum, semangat dan kesungguhan mengatasi segala - galanya. Terima kasih semua.)