Halaman

Jumaat, 2 November 2012

[53] Teks Ucapan Majlis Restu Calon SPM 2012


TEKS UCAPAN
MAJLIS RESTU CALON SPM 2012
SMK LKTP PEMANIS


Catatan : Teks ini telah disampaikan oleh Sdra Edy Mustaqim Muhamad, Ketua Pengawas SMK Pemanis pada Jumaat, 2 November 2012, 3 hari menjelang SPM 2012.

  • Yang Berusaha, Puan Masihah Haji Yusuf, Pengetua SMK LKTP Pemanis
  • Yang Dihormati, Encik Musa Sadin, Yang DiPertua PIBG SMK LKTP Pemanis
  • Yang Dihormati, Puan Rohaya Md Zain, GPK 1 dan semua Guru Penolong Kanan dan barisan pentadbir, SMK LKTP Pemanis
  • Guru – guru yang disayangi sekelian
  • Rakan – rakan seperjuangan kelompok 1995
  • Tuan Puan, Saudara saudari sekelian


Assalamualaikum dan Salam Perjuangan SPM 2012,

Lima tahun lepas, pada tarikh 3 Januari 2008, sekelompok anak kecil dari kumpulan 1995 menjejakkan kaki ke sekolah ini. Sesetengahnya masih hingusan, baru lepas melalui garis yang membezakan antara dunia kanak – kanak dan dunia remaja. Luka berkhatan bagi yang lelaki pun masih belum sembuh sempurna. Bagi yang perempuan, masih belum mengenal apa itu jenama Avon, Guchi dan Loreal.

Hari demi hari berlalu. Membesar dan mengenal dunia remaja di madrasah ilmu ini. Berlari berkejaran. Menimba ilmu, mengasah jatidiri. Mengenal dunia dengan lebih terbuka. Membuka minda untuk melihat bahawa ada yang lebih besar di hujung sana. Menyusun laluan hidup dengan bimbingan guru.

Sedetik, tak pun lebih, larian masa itu cepat benar berlalu. Lima tahun kini tiba di penghujungnya. Lima tahun yang penuh dengan citrawarna. Beberapa kali terjatuh, ada tangan yang dihulur menyambut bangkit kembali. Acapkali juga cinta monyet bertukar ganti sesama sendiri, semua itu menjadi antara kenangan terindah. Lucu rasanya mengenang semua itu, dialun sayu perpisahan di penghujung garisan.

Cikgu – cikgu dan rakan seperjuangan sekelian,

Kami mungkin bukan yang sempurna. Tidak sepandai mereka yang mampu ke Sekolah Berasrama Penuh atau MRSM. Tidak sebijak mereka yang mampu mendapat semuanya A dengan sebelah mata sahaja. Tidak sehebat rakan – rakan seangkatan di Sekolah Kluster dan Kecemerlangan.

Kami tahu dan mengukur ini semua di baju dan kasut sendiri. Kami tahu bahawa adalah lebih tidak beradab jika gagal kerana tidak mencuba, dari menerima kegagalan setelah penuh berusaha. Kami tahu bahawa usaha itu adalah sebenarnya sebahagian dari kejayaan.

Ketahuilah cikgu, di setiap hari dari setiap 69 orang calon SPM 2012 ini, tersemat keinginan untuk berjaya. Azam untuk membina masa depan yang lebih cerah. Sesetengah orang melalui jalan mudah untuk kehidupannya. Sesetengah yang lain ditentukan, setelah berusaha, bahawa laluannya penuh berliku. Itu semua adalah keadilan yang nyata dalam hidup. Allah tidak akan menguji seseorang hamba – Nya, melainkan Dia tahu bahawa hamba – Nya itu mampu menanggung ujian tersebut.


Cikgu – cikgu dan rakan seperjuangan sekelian,

Lima tahun menukar seorang anak kecil lepasan dunia kanak – kanak kepada remaja yang melihat dunia dengan mata dan hatinya. Lima tahun juga mampu merubah dari yang dungu kepada mampu berfikir dengan bimbingan.

Sesama rakan kelompok 1995, kehidupan kita di taman ilmu sekolah ini bakal berakhir. Isnin hadapan, tiada lagi berlarian memasuki kelas yang selama ini menjadi rumah kita dengan adik – beradik yang ramai. Tiada lagi kita tertunggu – tunggu bilakah cikgu – cikgu pilihan semua untuk masuk ke kelas mencurahkan ilmu. Tiada lagi kejar – mengejar di koridor sekolah, senda gurau di kantin atau tangis pujuk akibat sakat – menyakat sesama sendiri.

Semua ini bakal berakhir. Isnin depan, apa yang ada hanyalah kita semua tanpa cikgu – cikgu tersayang. Menghadap wajah pengawas peperiksaan dengan kertas bertanda SULIT. Muka – muka pejuang hari muka di kiri dan kanan. Sebelas tahun kita menanti untuk masuk ke dewan peperiksaan itu.

Sebelas tahun. Betapa itulah jumlah masa yang kita lalui untuk sampai ke kemuncaknya.

Cikgu, maafkan kami atas segala kebiadapan. Kami tahu kami bukanlah yang terbaik. Cikgu, maafkan kami juga atas segala kesusahan cikgu untuk membenamkan ilmu ke dada kami. Maafkan kami kerana cikgu tak jenuh membetulkan sikap, sahsiah dan keperibadian kami. Maafkan kami juga kerana seringkali menipu, membohong, kurang ajar, menidakkan sesuatu, tidak belajar dengan bersungguh dan leka dibuai arus dunia.

Cikgu, restukanlah semua ilmu yang cikgu sampaikan. Di dalam kelas mahupun di luarnya. Secara terus ataupun yang tersembunyi. Restukanlah perjuangan kami semua bermula Isnin ini. Berkatilah dan halalkanlah ilmu yang cikgu berikan. Suluh budiman yang sinarnya akan terus digunakan ke akhir hayat.

Rakan – rakan sekelian, berikanlah yang terbaik dari apa yang kalian termampu untuk diri sendiri, keluarga, sekolah dan komuniti kita ini. Marilah kita saling bermaafan dan  berlapang dada. Moga jejak kita Isnin hadapan mendapat keberkatan Allah juga.

Jangan disorok bunga kasturi,
Atas para dengan berangan,
Ilmu peneman perjalanan hari,
Mohon direstu sempurnakan perjuangan.

Sekian, wabillah …

1 ulasan:

Dialu - alukan untuk memberikan sebarang komen atau maklumbalas. Terima kasih! :)