Halaman

Ahad, 25 November 2012

[56] Melahirkan Jagoan Badminton


Cuti sekolah ini, Persatuan Belia G2 Felda Pemanis muncul dengan program Kejohanan Badminton Tertutup U14 dan U16 Anak Pemanis menerusi Kelab Badminton BCG2. Pertandingan badminton untuk bergu lelaki ini memfokuskan kepada pembangunan bakat - bakat baru pemain badminton pada umur bawah 14 tahun dan bawah 16 tahun. Sebanyak 13 bergu telah mendaftar dan mengambil bahagian, iaitu 7 bergu untuk bawah 14 tahun dan 6 bergu untuk bawah 16 tahun.





Dua perkara yang membanggakan dengan program ini :-
  • Dengan sokongan pembangunan sistem oleh Unit Komunikasi, ICT dan Media Baru, program ini menjadi program pelopor dan perintis kepada Sistem Pendaftaran Peserta Program Secara Online, yang dilakukan menerusi laman blog Persatuan. Semua 13 bergu mendaftar secara dalam talian, tanpa menggunakan sebarang borang kertas manual.
Sistem ini boleh dicapai di sini.


  • Program ini diurus oleh adik - adik di dalam Kelab Badminton BCG2, iaitu Alif Ramli, Ashraf Husin dan Muhammad Shafiq Wahid. Mereka ini baru sahaja berumur 16 tahun. Mereka mengeluarkan idea, merancang, mengurus dan mengendali program dengan bantuan dan sokongan dari Exco - exco Persatuan.
Program telah berjalan dengan jayanya. Boleh lihat gambar - gambar sepanjang dua hari tersebut di sini :
Sedikit dari gambar - gambar yang ada (selainnya, klik pautan di atas) 





Keputusan perlawanan adalah seperti berikut :


Boleh tonton dua episod videonya di sini :




Tahniah kepada semua yang telah menjayakan program. Harap pada masa - masa akan datang kita akan dapat melaksanakan program ini lagi!


Sabtu, 24 November 2012

[55] Mencipta Emas di UTHM

Empat hari (sebenarnya lima hari) berkampung di Universiti Tun Hussein Onn, Parit Raja, Batu Pahat, Johor. Untuk Ekspo Teknologi Inovasi Desa (TechRural) Peringkat Kebangsaan 2012.

Sebanyak 63 pasukan mempamerkan hasil penyelidikan dan inovasi mereka dari 16 sekolah / MRSM, IPT, Institusi Latihan Kemahiran dan kumpulan penyelidikan. Meliputi 5 kategori iaitu :


• Agriculture and Farming Technology                           
  Teknologi Berasaskan Pertanian dan Perladangan  


• Traditional Complimentary Medicine Technology
   Teknologi Berasaskan Perubatan Traditional

• Fisheries and Aquaculture Technology
  Teknologi Berasaskan Perikanan dan Akuakultur

• Forestry, Timber and Wood Technology
  Teknologi Berasaskan Perhutanan, Pembalakan dan Perkayuan

• Rural Tourism
  Pelancongan Luar Bandar

• Energy Production and Transmission
  Penghasilan Tenaga dan Penghantaran Kuasa 

• Food Processing and Packaging Technology
  Teknologi Pemprosesan dan Pembungkusan Makanan

Sebagai salah satu usaha pembangunan, penempatan, dan pemindahan teknologi dari Institusi Pengajian Tinggi ke sektor-sektor luar bandar bagi tujuan Pembangunan Desa Negara Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) untuk julungkalinya menganjurkan Ekspo Inovasi Desa peringkat Kebangsaan (TechRural 2012). TechRural 2012 merupakan sebuah wadah yang menghimpunkan para pereka, pakar, penyelidik, pengamal, dan pelajar bagi perkongsian idea dan maklumat pembangunan inovasi desa yang terkini dan relevan. TechRural 2012 juga menyediakan platform pertemuan yang ideal kepada para pereka dan pelabur untuk meneroka peluang perniagaan mahupun pengkomersialan produk atau rekabentuk baru.


Pasukan inovasi sains SMK Pemanis telah menghantar dua penyertaan. 

1. Discovery of Electricity Through Natural Polymer Electrolyte Membrane menerusi kategori Penghasilan Tenaga dan Penghantaran Kuasa

2. dHolland as Natural Pesticides : Production of Sooursop Leaves (Annona Muricata) to Reduce Termyte Population menerusi kategori Teknologi Berasaskan Perubatan Tradisional


Kedua - dua projek telah mendapat Anugerah Emas menerusi penjurian yang telah dilakukan oleh pakar - pakar dalam bidang berkenaan. Alhamdullillah.

Untuk album gambar boleh lihat di sini :

1. Tech Rural Hari Pertama - Hari Penjurian Projek Pertama
2. Tech Rural Hari Kedua - Hari Perasmian dan Penjurian Projek Kedua
3. Tech Rural Hari Ketiga - Pameran
4. Tech Rural Hari Keempat - Majlis Penyampaian Anugerah

Manakala di bawah ini adalah tiga videonya :









Terima kasih kepada semua yang telah bersama - sama di dalam pasukan inovasi sains ini. Semoga pada masa mendatang kita akan terus mencipta kejayaan!

Jumaat, 2 November 2012

[53] Teks Ucapan Majlis Restu Calon SPM 2012


TEKS UCAPAN
MAJLIS RESTU CALON SPM 2012
SMK LKTP PEMANIS


Catatan : Teks ini telah disampaikan oleh Sdra Edy Mustaqim Muhamad, Ketua Pengawas SMK Pemanis pada Jumaat, 2 November 2012, 3 hari menjelang SPM 2012.

  • Yang Berusaha, Puan Masihah Haji Yusuf, Pengetua SMK LKTP Pemanis
  • Yang Dihormati, Encik Musa Sadin, Yang DiPertua PIBG SMK LKTP Pemanis
  • Yang Dihormati, Puan Rohaya Md Zain, GPK 1 dan semua Guru Penolong Kanan dan barisan pentadbir, SMK LKTP Pemanis
  • Guru – guru yang disayangi sekelian
  • Rakan – rakan seperjuangan kelompok 1995
  • Tuan Puan, Saudara saudari sekelian


Assalamualaikum dan Salam Perjuangan SPM 2012,

Lima tahun lepas, pada tarikh 3 Januari 2008, sekelompok anak kecil dari kumpulan 1995 menjejakkan kaki ke sekolah ini. Sesetengahnya masih hingusan, baru lepas melalui garis yang membezakan antara dunia kanak – kanak dan dunia remaja. Luka berkhatan bagi yang lelaki pun masih belum sembuh sempurna. Bagi yang perempuan, masih belum mengenal apa itu jenama Avon, Guchi dan Loreal.

Hari demi hari berlalu. Membesar dan mengenal dunia remaja di madrasah ilmu ini. Berlari berkejaran. Menimba ilmu, mengasah jatidiri. Mengenal dunia dengan lebih terbuka. Membuka minda untuk melihat bahawa ada yang lebih besar di hujung sana. Menyusun laluan hidup dengan bimbingan guru.

Sedetik, tak pun lebih, larian masa itu cepat benar berlalu. Lima tahun kini tiba di penghujungnya. Lima tahun yang penuh dengan citrawarna. Beberapa kali terjatuh, ada tangan yang dihulur menyambut bangkit kembali. Acapkali juga cinta monyet bertukar ganti sesama sendiri, semua itu menjadi antara kenangan terindah. Lucu rasanya mengenang semua itu, dialun sayu perpisahan di penghujung garisan.

Cikgu – cikgu dan rakan seperjuangan sekelian,

Kami mungkin bukan yang sempurna. Tidak sepandai mereka yang mampu ke Sekolah Berasrama Penuh atau MRSM. Tidak sebijak mereka yang mampu mendapat semuanya A dengan sebelah mata sahaja. Tidak sehebat rakan – rakan seangkatan di Sekolah Kluster dan Kecemerlangan.

Kami tahu dan mengukur ini semua di baju dan kasut sendiri. Kami tahu bahawa adalah lebih tidak beradab jika gagal kerana tidak mencuba, dari menerima kegagalan setelah penuh berusaha. Kami tahu bahawa usaha itu adalah sebenarnya sebahagian dari kejayaan.

Ketahuilah cikgu, di setiap hari dari setiap 69 orang calon SPM 2012 ini, tersemat keinginan untuk berjaya. Azam untuk membina masa depan yang lebih cerah. Sesetengah orang melalui jalan mudah untuk kehidupannya. Sesetengah yang lain ditentukan, setelah berusaha, bahawa laluannya penuh berliku. Itu semua adalah keadilan yang nyata dalam hidup. Allah tidak akan menguji seseorang hamba – Nya, melainkan Dia tahu bahawa hamba – Nya itu mampu menanggung ujian tersebut.


Cikgu – cikgu dan rakan seperjuangan sekelian,

Lima tahun menukar seorang anak kecil lepasan dunia kanak – kanak kepada remaja yang melihat dunia dengan mata dan hatinya. Lima tahun juga mampu merubah dari yang dungu kepada mampu berfikir dengan bimbingan.

Sesama rakan kelompok 1995, kehidupan kita di taman ilmu sekolah ini bakal berakhir. Isnin hadapan, tiada lagi berlarian memasuki kelas yang selama ini menjadi rumah kita dengan adik – beradik yang ramai. Tiada lagi kita tertunggu – tunggu bilakah cikgu – cikgu pilihan semua untuk masuk ke kelas mencurahkan ilmu. Tiada lagi kejar – mengejar di koridor sekolah, senda gurau di kantin atau tangis pujuk akibat sakat – menyakat sesama sendiri.

Semua ini bakal berakhir. Isnin depan, apa yang ada hanyalah kita semua tanpa cikgu – cikgu tersayang. Menghadap wajah pengawas peperiksaan dengan kertas bertanda SULIT. Muka – muka pejuang hari muka di kiri dan kanan. Sebelas tahun kita menanti untuk masuk ke dewan peperiksaan itu.

Sebelas tahun. Betapa itulah jumlah masa yang kita lalui untuk sampai ke kemuncaknya.

Cikgu, maafkan kami atas segala kebiadapan. Kami tahu kami bukanlah yang terbaik. Cikgu, maafkan kami juga atas segala kesusahan cikgu untuk membenamkan ilmu ke dada kami. Maafkan kami kerana cikgu tak jenuh membetulkan sikap, sahsiah dan keperibadian kami. Maafkan kami juga kerana seringkali menipu, membohong, kurang ajar, menidakkan sesuatu, tidak belajar dengan bersungguh dan leka dibuai arus dunia.

Cikgu, restukanlah semua ilmu yang cikgu sampaikan. Di dalam kelas mahupun di luarnya. Secara terus ataupun yang tersembunyi. Restukanlah perjuangan kami semua bermula Isnin ini. Berkatilah dan halalkanlah ilmu yang cikgu berikan. Suluh budiman yang sinarnya akan terus digunakan ke akhir hayat.

Rakan – rakan sekelian, berikanlah yang terbaik dari apa yang kalian termampu untuk diri sendiri, keluarga, sekolah dan komuniti kita ini. Marilah kita saling bermaafan dan  berlapang dada. Moga jejak kita Isnin hadapan mendapat keberkatan Allah juga.

Jangan disorok bunga kasturi,
Atas para dengan berangan,
Ilmu peneman perjalanan hari,
Mohon direstu sempurnakan perjuangan.

Sekian, wabillah …

[52] Reveal : Di Sebalik Penggambaran Jersi Baru

MEMPERKENALKAN ... Jersi terbaru untuk pasukan sukan dan permainan Persatuan Belia G2 Felda Pemanis.



Dan ... ini adalah penggambaran di sebaliknya oleh model - model tersebut iaitu Mohd Idham Jalak dan Muhd Nur Ashraff Husin.