Halaman

Selasa, 26 Mac 2013

[74] Rencana : Daripada Impian, Lahir Tindakan



Daripada Impian Lahir Tindakan



Mizam Rahim
Ahli Lembaga Penasihat
Persatuan Belia G2 Felda Pemanis

Sebagaimana yang pernah disiarkan menerusi Utusan Malaysia, 5 Februari 2003
  

``LETAKKAN dua batang jari pada dada anda dan katalah dengan kuat, ``Saya mengetepikan kekurangan saya. Saya akan mencari apakah kebolehan yang sebenar.'' Mark Victor Hensen dan Jack Canfield dalam buku mereka Berani Menang (terjemahan, 2000) mengusulkan kaedah bagaimana kita boleh membina keyakinan terhadap diri sendiri, terutama bagi mereka yang telah lama melalui fasa putus harap dan kekelabuan masa depan.

Mark dan Jack percaya kepada pembinaan keyakinan kendiri dari dalam, berupaya untuk mencetuskan sinar baru bahawa jalan-jalan di hadapan masih lagi terang untuk ditempuhi. Dalam kata lain, bahawa apabila kita mengalami kegagalan atau bertemu dengan titik tamat kepada satu langkah yang pernah kita ambil, itu tidak bermakna dunia ini sudah berakhir buat kita. Tulisan Mark dan Jack dalam buku mereka itu juga memuatkan kisah-kisah benar, bagaimana individu-individu boleh berjaya menggapai impian mereka.

Apa yang nyata, impian bukanlah sesuatu yang memerosotkan daya fikir. Impian bukanlah angan-angan kosong. Mark dan Jack tidak menggunakan perkataan cita-cita secara kerap. Menurut mereka, impian yang ditanam akan meresap ke dalam minda untuk membuka jalan-jalan pemikiran terhadap tindakan-tindakan susulan realistik berikutnya.

Justeru, mereka berdua mencadangkan agar kita menulis senarai impian kita. Biarlah senarai itu menjadi beratus, malah beribu-ribu impian. Mungkin senarai impian cukup untuk menjadi sebuah buku, lalu kita namakan sebagai buku impian. Dan, percayalah, menurut Mark dan Jack lagi, bahawa minda kita akhirnya akan dipandu untuk menggapai semua impian tersebut.

Menggagaskan, lalu menulis impian, akan memaksa minda dan fizikal kita `bekerja' untuk memenuhinya. Kita akan menjadi lebih berani untuk bertindak. Lebih cekap mengintai dan menyambar peluang yang ada. Lebih teguh pendirian, dan tegar dalam prinsip. Segala-galanya bermula dengan menulis impian.

Namun masalahnya adalah untuk menulis impian pun, kita tidak berani.

Tidak berani mencuri sedikit masa untuk menulis impian. Tidak berani melawan rasionalisasi akal fikiran terhadap hujah bahawa menulis impian kelak akan dibayangi oleh unsur-unsur angan-angan kosong dan kemungkinan gagal untuk mencapainya. Saya berpendapat, keperluan untuk menulis impian adalah memenuhi fitrah semulajadi manusia, dalam fasa-fasa perjalanan mencapai misi kehidupan.

Tidak ramai yang mengerti bahawa menulis impian adalah antara beberapa perkara `remeh-temeh' yang sering dilabel manusia, lalu ditinggalkan. Padahal, perkara yang dianggap remeh antara penyebab kegagalan. Ketiadaan misi capaian yang jelas dalam bertindak. Dan, menulis impian itu, umpama kita menekankan keseimbangan dalam meniti tali teregang, seseorang yang ingin menitinya.

Bak kata Mark dan Jack, seseorang tidak akan meniti tali teregang itu, andai semua perkara yang perlu diimbangkan tidak dilakukan. Hidup ini juga umpama meniti di atas tali teregang. Menulis impian, adalah antara perkara-perkara yang dititikberatkan sebelum tali teregang itu hendak dititi.

Impian perlu kepada tindakan. Dalam hal ini, Wan Rafaei Abdul Rahman, dalam tulisannya ``Ciri-ciri Keusahawanan'' (dirangkumkan dalam buku Psikologi Melayu selenggaraan Abdul Halim Othman, 1993), menyatakan bahawa tanpa usaha kerja tidak akan berjalan dan tidak mendatangkan hasil.

Kesedaran orang Melayu (siapa lagi kalau bukan kita), untuk berusaha telah lama wujud. Hanya masalah utamanya ialah sama ada hendak atau tidak hendak sahaja. Ini kerana, menurut apa yang ditulis di dalam Psikologi Melayu itu, orang yang malas sahaja akan cuba berdalih hingga kerja tidak menjadi.

Penulis melihat bahawa persoalan atau dilema `hendak atau tidak hendak ini' berpunca daripada sikap memandang perlakuan menulis impian sebagai perkara kecil, lalu dikesampingkan. Usahawan, sebagai contoh, perlu ada buku impian dan buku idea mereka sendiri.

Kesemua impian yang dimimpi-mimpikan dalam lapangan keusahawanan yang diceburi, perlu ditulis. Walaupun ia adalah perkara-perkara yang kecil dan kelihatan tidak realistik ia wajar juga ditulis. Mungkin salah satu impian adalah ``aku ingin berjumpa dengan menteri XX''. Dengan menulis sebegitu, kita akan `dipaksa' menuju ke arah memenuhinya.

Maka, dilema `hendak atau tidak hendak' itu akan terhapus lantaran kita telah membuat penegasan awal bahawa kita memang `hendak'. Kekuatan menulis impian ini boleh menjangkau sehingga kita mampu memberikan gambaran sejelas mungkin terhadap apa yang bakal kita capai. Oleh kerana minda sentiasa diprovokasi untuk mencapai apa-apa yang telah ditulis itu, minda juga akhirnya mampu mencirikan secara detail elemen-elemen impian tersebut. Visual dan suasana di mana impian bakal tercapai, dengan bunyi dan warnanya sekali, turut digambarkan. Sehingga ke bahagian ini, impian yang ditulis akan melahirkan beberapa idea berguna. Impian yang ditulis juga mampu mencapai taraf matlamat.

Apabila ia mencapai taraf matlamat, ia sudah menjadi sesuatu yang mendasari prinsip untuk bertindak. Di saat inilah, idea-idea akan keluar, membuka jalan-jalan yang tidak pernah ternampak sebelum ini.

Mark dan Jack membawa cerita Ira Hayes, seorang tokoh pemikiran positif Amerika, yang mengesyorkan penggunaan `Buku Idea Minggu Ini', khususnya kepada mereka yang bergelar usahawan. Kerana idea biasanya bersifat elusif (mudah lari, hilang, sukar ditangkap dan meruap) maka sekali ia terlintas, ikatkanlah ia dengan menulis idea tersebut.

Seperti menulis impian dan matlamat, idea yang ditulis juga boleh menjadi satu senarai yang panjang.

Dalam senarai keutamaan, tulis Mark dan Jack lagi, kita akan mulakan usaha-usaha tindakan dnegan merealisasikan idea-idea yang paling mudha dan paling menguntungkan terlebih dahulu. Kemudian, kekuatan pengalaman dan aliran modal tunai (khusus untuk usahawan) yang dikumpulkan, akan mengupayakan kita untuk menjejaki realisasi idea-idea yang rumit, kompleks dan sukar.

Impian yang bertaraf matlamat perlu melepasi beberapa kotak senarai semak. Matlamat ini perlu ditentukan secara aktif. Ia juga perlu jelas, sejelasnya sehingga boleh digambarkan. Selain perlu dicatatkan, ia sebenarnya tidak mempunyai had panjang untuk dicatat.

Dua peringatan penting daripada Mark dan Jack adalah: Jangan berkompromi apabila anda menulis matlamat, dan jangan mencanangkan matlamat anda kepada semua orang.

Kerana sifatnya yang sedemikian, menulis matlamat akan menjadi tugas yang dibuat secara sukarela tetapi mandatori. Apakah rahsia-rahsia kekuatan mental dan keupayaan pembayangan seseorang yang berjaya? Mark dan Jack menulis lagi bahawa meningkatkan kekuatan mental hendaklah dengan langkah pertama iaitu membaca bahan-bahan yang membina.

Benarlah bahawa membaca bahan-bahan yang membina kekuatan fikiran dan buku-buku yang bagus akan berupaya untuk melonjakkan kita ke titik pencapaian matlamat. Sehingga pesan daripada Jim Rohn, seorang motivator perniagaan, mensyaratkan untuk cemerlang kita perlu mendisiplinkan diri membaca dua buah buku seminggu! (Jumlahnya akan menjadi seratus buah setahun, dan jika kita aktif dalam masa usia berguna 30 tahun, kita sudah membaca paling kurang pun 3,000 buah buku.)

Idea-idea yang disampaikan ini menunjukkan saling perkaitan antara impian yang kita ada, menurunkannya kepada penulisan matlamat, kemudian menjadi percambahan idea dan apa hubungannya dengan keupayaan pembayangan yang dilahirkan daripada tabiat membaca bahan-bahan membina.

Dimulakan dengan asas yang kukuh daripada membaca, maka orang yang boleh membaca tetapi tidak mahu membaca adalah tidak ubah seperti orang yang tidak boleh membaca. Mark sendiri, setelah jatuh muflis, sebelum menjadi motivator dan terkenal dengan karya ``Berani Menang'', terpaksa membuat `penyelidikan' di perpustakaan, semata-mata untuk melandaskan semula hidupnya.

Dan, antara buku yang disingkap oleh Mark di perpustakaan adalah How To Go Bankrupt by Yourself. Sanggupkah kita, setelah jatuh muflis dengan duit tunai cuma tinggal 25 sen sahaja untuk membeli petrol, membuat pembacaan sebegitu, semata-mata untuk memahami apa yang telah terjadi, supaya boleh menyusun impian dan matlamat kita semula?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dialu - alukan untuk memberikan sebarang komen atau maklumbalas. Terima kasih! :)