Halaman

Ahad, 18 Jun 2017

[244] 12 / 20 : Aku Budak #MatrikDiHatiku - Organisasi Pelajar di Kolej

Azhari boleh dihubungi menerusi laman sosial FacebookInstagram atau email beliau azhariganteng43@gmail.com

12. Episod 12 / 20 : Organisasi Pelajar di Kolej




12 / 20
Aku Budak #MatrikDiHatiku
Organisasi Pelajar di Kolej

oleh Azhari Imran

Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP)
JPP ni merupakan jawatan yang dipertandingkan bagi mewakilkan pelajar untuk aduan kepada pihak atasan kolej untuk komen dan penambahbaikan. Cara untuk menjawat jawatan ini adalah pelajar dikehendaki mendaftar sebagai calon untuk bertanding. Selepas itu, calon bertanding diberi tempoh untuk memanifestokan janji-janji manis supaya pelajar mengundi calon untuk menang. Antara manifesto-manifesto yang kurang dipercayai adalah melajukan wifi di kawasan kolej. Hehehe lagi? Menyediakan pendingin hawa di tempat-tempat belajar. Yelah dekat dewan kuliah dan perpustakaan dah ade pendingin hawa ni kenapa nak manifesto untuk wujudkan lagi? Selain itu, tugas JPP ni juga memaklumkan kepada pelajar sekiranya ada perhimpunan bulanan, waktu balik bermalam dan outing.

PRD

Pembimbing Rakan Dinamik (PRD)
PRD ni pula adalah berkaitan akademik-akademik pelajar. PRD bertanggungjawab untuk menguruskan program-program akademik pelajar sepanjang sesi pembelajaran di kolej matrikulasi. Cara untuk menjadi ahli PRD adalah dengan mengisi borang dan ditemuduga oleh pensyarah kaunseling. Antara program yang dianjurkan oleh PRD adalah karnival kerjaya, slot berkenaan cara untuk mengisi UPU, dan ceramah motivasi menjelang PSPM. PRD ini merupakan jawatankuasa di bawah unit bimbingan dan kaunseling. Maka, jika pelajar yang memerlukan khidmat nasihat dan kaunseling, ia boleh berurusan di unit kaunseling. Bukan setakat kaunseling dari segi disiplin sahaja, malah ia juga menerangkan tentang hala tuju dan masa depan. Pada setiap tahun, unit kaunseling akan menganjurkan program bimbingan untuk mengisi Unit Pusat Universiti (UPU) bagi pelajar menguruskan masa depan untuk menyambung ijazah di university-universiti pilihan.

JAPPIM

Jawatankuasa Pelajar Pusat Islam Matrikulasi (JAPPIM)
JAPPIM ni merupakan jawatankuasa untuk pelajar Islam yang ingin mengajak rakan-rakan lain mengenali Islam dengan lebih lagi. Antara aktiviti yang dijalankan oleh JAPPIM adalah Karnival Kesenian Islam, Majlis Berbuka Puasa Perdana, Solat Hajat bagi menghadapi peperiksaan, bacaan Yassin pada setiap malam Jumaat dan banyak lagi. JAPPIM juga bertanggungjawab untuk menjaga keharmonian kolej matrikulasi dengan menegah budaya “dating” dan seumpamanya.

Ketua Praktikum
Ketua praktikum merupakan wakil dari praktikum untuk menerima segala pesanan dari pensyarah. Sebagai contoh, pada hari itu, pensyarah tidak dapat masuk ke kelas kerana mempunyai sedikit halangan. Maka, pensyarah menghubungi ketua praktikum untuk menyampaikan kepada rakan praktikum yang lain. Ketua praktikum ini dilantik oleh persetujuan rakan-rakan praktikum yang lain. Untuk keadilan dan timbang rasa bagi markah koko akhir sem nanti, ketua praktikum boleh bergilir-gilir dengan rakan praktikum yang lain untuk menjawat jawatan itu.

Kelab Eksekutif Pusat Sumber (KEPS)
Masa tahun pertama aku dekat sini, KEPS ni bole dikatakan bergiat aktif juga la. Mereka ni macam pustakawan la kalau dekat sekolah. Mereka bertanggungjawab untuk memastikan kekemasan dan segala perihal berkenaan buku di dalam pusat sumber. Mereka juga mempunyai jawatankuasa tersendiri untuk menyelaras pusat sumber selama pengajian di matrikulasi. Tapi, bila masuk tahun kedua iaitu sesi lepas, KEPS ni tidak bergiat aktif kerana waktu operasi pusat sumber pada waktu malam dipinda sementara. Haa tu je la kot aku bole cerita pasal KEPS ni.

So ni je la cerita untuk jawatan di matrikulasi. Sebenarnya aku tak terlibat dalam semua jawatan tu. Jawatan tertinggi aku cuma pengerusi kelab beruniform KMJ je. hehehe

Bersambung ke Episod 13 

Rabu, 14 Jun 2017

[243] 11 / 20 : Aku Budak #MatrikDiHatiku : Program, Kebudayaan dan Perayaan

Azhari boleh dihubungi menerusi laman sosial FacebookInstagram atau email beliau azhariganteng43@gmail.com

11. Episod 11 / 20 : Program, Kebudayaan dan Perayaan\


11/ 20
Aku Budak #MatrikDiHatiku
Program, Kebudayaan dan Perayaan

oleh Azhari Imran

Mari kita cerita tentang kebudayaan. Bercerita tentang kebudayaan, program matrikulasi memupuk semangat perpaduan dan menghormati budaya kaum lain. Di dalam matrik, ia terdiri dari kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain.
Semasa (FUN FEST)
perkataan di belakang saja diterbalikkan .
hehe maknanya berkat.

Jadi, aku ingin bercerita tentang kebudayaan dan perayaan yang dianjurkan di KMJ. Untuk kaum melayu, sambutan hari raya disambut dengan meriah. Sambutan diceriakan dengan persembahan lagu raya oleh pelajar-pelajar. Persembahan ditambah meriah dengan persembahan oleh para pensyarah.
           
Untuk kaum Cina pula, mereka menganjurkan Fun Fest. Festival ini dikendalikan oleh pelajar Cina dan ahli-ahli majlis tertinggi yang lain. Antara aktiviti yang diadakan adalah seperti cabutan bertuah, flip bottle challenge, pingpong ball challenge, photobooth, gerai aneka jualan dan banyak lagi. Keunikan Fun Fest ditambah dengan ruangan untuk mencuba menulis sendiri tulisan cina yang di ajar oleh pelajar Cina.


Saya bergambar semasa sambutan #merdekaraya
Sebagai negara yang merdeka, kita patut berbangga dengan negara kita. Oleh itu, kolej matrikulasi di seluruh negera mempunyai budaya untuk menyambut hari kemerdekaan di kolej masing-masing. Jika anda semua masih ingat, tema “MerdekaRaya” pada tahun 2015 telah menjadi satu keunikan di mana disamping kita menyambut Hari Raya Aidilfitri, kita juga menyambut hari kemerdekaan di mana kita menyanjung wira-wira negara yang telah berkorban demi negara Malaysia yang tercinta.

Semasa (berbuka puasa)
saya ditugaskan untuk menyusun
 dulang sebelum dimasukkan
juadah ke dalamnya
Kebudayaan seterusnya adalah berbuka di masjid sama ada di dalam bulan Ramadhan mahupun bukan. Hal ini merupakan salah satu kerja kursus yang boleh dilaksanakan oleh pelajar dalam semester yang mempunyai subjek Pend. Agama Islam. Selain itu, jika pelajar menganjurkan program berbuka puasa di masjid ini, sedikit sebanyak ia akan membantu rakan - rakan yang ingin berjimat atas faktor kesempitan wang.  Kebaikan program ini adalah ianya akan merapatkan ukhwah dan memahami kesusahan orang lain.

Program di KMJ diteruskan lagi dengan Program Karnival Pendidikan dan Kerjaya. Wakil-wakil dari universiti awam mahupun swasta akan hadir ke kolej matrikulasi bagi mempromosikan universiti-universiti masing-masing untuk pelajar melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah kelak. Para pelajar wajib hadirkan diri bagi mengetahui input-input yang ingin disampaikan agar pelajar dapat membuat pemilihan yang tepat bagi program-program yang ditawarkan oleh pihak universiti. Antara input yang penting yang pelajar akan didedahkan adalah kelayakan pelajar itu sendiri untuk memohon supaya mudah untuk pelajar memilih program yang diminati di peringkat ijazah.
Semasa di (karnival pengajian tinggi).
Pihak universiti memberikan cenderahati
selepas mendengar penerangan ringkas
mengenai universiti tersebut
Pada sesi lepas, KMJ telah mengadakan minggu penghayatan Islam atau lebih dikenali dengan Johor Matriculation College Islamic Festival (JMCIF) . Antara aktiviti dijalankan di dalam festival itu adalah pertandingan nasyid, pertandingan azan, KMJ berselawat, slot ceramah bersama PU Rahmat, dan persembahan istimewa dari kumpulan nasyid UNIC.

Seterusnya adalah merupakan program yang dinamakan Malam Citra Budaya. Program ini dijalankan bertujuan untuk mempersembahkan budaya dari semua kaum. Contohnya seperti kaum Melayu mempersembahkan zapin, Cina pula dengan tarian singa dan India pula dengan  Bharatanatyam . Malam ni khas untuk pelbagai kaum menonjolkan bakat untuk mempersembahkan tarian tradisional mereka. Mereka akan berasa gembira jika kaum lain mengagumi keistimewaan persembahan mereka. Rakan-rakan dari kaum lain akan bersorak dan menyokong tanpa mengira kaum. Program ini bagus dijalankan untuk memupuk semangat perpaduan kaum antara pelajar matrikulasi.

Gambar praktikum L2S3

Gambar candid semada saya praktikum MS18 

Kami mencipta polaroid
selepas majlis makan malam blok
bertemakan black gold masquerade
 dan black and white
Sebelum terlupa, budaya di matrikulasi berikutnya adalah bergambar dalam praktikum. Sesiapa yang ingin mencipta kenangan, mereka membeli set album dan gambar untuk mengabadikan kenangan itu. Semua kelihatan segak dan cantic. Ada kelas mengikut tema warna, ada memakai baju batik, dan lebih vogue lagi ada yang memakai labcoat untuk bergambar. Haa best kan? Bukan selalu. Huhuhu

Acara akhir sekali di matrikulasi adalah makan malam perdana. Acara ini menghimpunkan semua penghuni kolej kediaman yang ingin rasa makan mewah seperti di hotel. Ini bagi menghargai para pelajar dan felo dalam menjaga keharmonian blok-blok kediaman sepanjang satu sesi pembelajaran di kolej matrikulasi. Aktiviti ini diserikan lagi dengan setiap blok kediaman menetapkan tema untuk para penghuni memakai pakaian pada malam itu. Kewujudan diva-diva akan terserlah pada malam itu.

Bersambung ke Episod 12.

Jumaat, 9 Jun 2017

[242] 10 / 20 : Aku Budak #MatrikDiHatiku : Kemudahan di Kolej

Azhari boleh dihubungi menerusi laman sosial FacebookInstagram atau email beliau azhariganteng43@gmail.com



10 / 20
Aku Budak #MatrikDiHatiku
Kemudahan di Kolej

oleh Azhari Imran

Apabila berpindah ke tempat baru, kita mesti nak tau apa yang disediakan. Selesa atau tidak? Sempurna ke? So di sini aku nak nyatakan apa kemudahan yang ada di kolej. Kemudahan ni sedikit sebanyak akan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran pelajar sendiri.

  1. Masjid
  • Bagi pelajar muslim, ianya satu kemudahan kerana ia berada di dalam kolej dan tidak perlu keluar.
  • Masjid KMJ diberi nama Masjid An-Nur.

  1. Dewan Kuliah
  • Dewan kuliah ada dua iaitu dewan kuliah besar dan dewan kuliah kecil. Dewan kuliah besar kebiasaannya adalah untuk golongan majoriti iaitu modul satu dan perakaunan. Manakala untuk dewan kuliah kecil pula, ia kebiasaanya digunakan untu modul dua dan tiga.
  • Dewan kuliah juga lengkap dengan keselesaan belajar iaitu meja dan kerusi, pendingin hawa dan LCD projector. So takde alasan untuk pelajar tak focus dalam kuliah. Tapi kadang-kadang, bila sejuk ia memberi keselesaan untuk tidur. Hehehe aku la tu.

  1. Asrama/blok kediaman
  • Blok kediaman ni adalah tempat tinggal korang untuk tempoh setahun/dua tahun.
  • Bagi pelajar PDT, pelajar perlu berdaftar semula blok kediaman pada semester ketiga.
  • Blok kediaman juga lengkap dengan kemudahan satu bilik boleh tinggal empat orang.
  • Bilik air dan tandas tiada di bilik ye. Ianya perlu dikongsi dengan rakan bilik lain juga.
  • Dekat asrama juga ada disediakan mesin basuh. Haa masuk je RM2, tunggu la selama 28 minit. Siapppp terus ampai.
  • Di bawah blok kediaman ni ada bilik bacaan untuk sesiapa yang ingin mengulangkaji sehingga lewat malam tapi taknak ganggu rakan lain.
  • Dekat KMJ ni ada enam blok kediaman. Blok A sampai blok F. Blok A dan blok B untuk pelajar lelaki. Blok C sampai F adalah blok kediaman bagi perempuan.

  1. Pusat Sukan
  • Pusat sukan ni adalah tumpuan untuk pelajar yang gemar bersukan. Pelajar boleh meminjam alatan sukan seperti bola, basikal, raket tenis dan macam-macam lagi.
  • Haa ingat senang-senang je pinjam? Kamu semua perlu memakai pakaian sukan, berkasut dan membawa kad matrik semasa ingin melakukan pinjaman alatan.

  1. ATM
  • ATM ni umpama nyawa bagi pelajar matrik. Setiap kali elaun keluar, ATM merupakan tempat yang akan ramai dikunjungi. Yela sebab nak top up duit dalam wallet tu
  • ATM juga adalah tempat popular kepada yang gemar membeli barangan online.
  • Tapi, ATM bole juga meragam. So tahap sabar tu kene tinggi.

 Ini tempat aku beli maggi, ubat gigi, dan macam2 lagi

Ini la tempat shopping alat tulis

  1. Koop dan Siswa
  • ni adalah supermarket bagi pelajar KMJ.
  • Koop adalah tempat jual maggi, milo 3in1, makanan ringan, ubat gigi, syampu dan banyak lagi
  • Siswa pulak adalah kedai buku dan alat tulis. Ada jual alat tulis, buku-buku untuk latihan tutorial, test pad, pocket file dan lain-lain.

  1. Pusat Khidmat Pelajar
  • Aku namakan pusat khidmat pelajar adalah kerana pusat-pusat ni yang akan berkhidmat untuk keperluan pelajar.
§  Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP)
·         Pejabat ni adalah untuk tujuan menguruskan surat akuan cuti sakit, urusan berkenaan akademik pelajar (pertukaran modul) dan masalah-masalah lain yang dihadapi pelajar.
·         Jika pelajar ingin pulang kerana terlibat dengan majlis perkahwinan keluarga, upacara sembahyang (bagi non-muslim), dan janji temu bersama doktor.  Pelajar perlu membuat surat permohonan rasmi disertakan bukti (cth : kad jemputan/surat akuan) supaya pihak kolej dapat memberi kebenaran untuk pulang ke rumah.

§  Pejabat Felo
·         Pejabat ni beroperasi waktu 9.00-11.00 malam pada hari biasa dan 10.00pg - 5.00ptg pada hujung minggu.
·         Apa-apa berkaitan kecemasan pada waktu malam dan hujung minggu berkenaan kesihatan dan keluarga, pelajar perlu merujuk di pejabat ini untuk tindakan berikutnya.

§  Pejabat asrama kediaman, Pusat Pos dan urusan ke klinik/hospital.
·         Waktu operasi pejabat ni adalah mengikut waktu pejabat 8.00pg-5.00ptg
·         Pejabat ini terletak di bawah blok E.
·         Segala kerosakkan berkaitan asrama/kolej kediaman juga perlu dilaporkan di situ.

§  Antara pusat-pusat yang lain adalah ruangan untuk para pelajar membuat ulangkaji dan kerja berkumpulan antara lelaki dan perempuan.
·         Balai ilmu
·         Lobi masjid
·         Balai Saujana
·         One Stop Centre (OSC)
·         Foyer Perpustakaan
·         Gazebo/Pondok di sekitar KMJ



 Balai Ilmu tempat belajar berkumpulan

Ini perpustakaan. Beg kene letak dekat rak tu sebelum masuk.
  1. Perpustakaan (Pusat Sumber Zaaba)
  • Ni adalah himpunan buku-buku untuk rujukan. Haa kalau nak jimat RM250 tu, bole la buat pinjaman buku rujukkan dekat perpustakaan.
  • Bercakap pasal peraturan, kita dah kenal dengan peraturan dalam perpustakaan ni adalah :
    • tidak membuat bising.
    • Selain tu, makanan dan minuman pun tak dibenarkan.
    • Lagi? Kalau nak masuk perpustakaan ni kena berkasut dan pakaian berkolar (bagi lelaki).
    • Beg pun tak dibenarkan dibawa masuk ke dalam tu.
    • Kalau bawa laptop, laptop sahaja dibenarkan (haa takleh bawak charger ke dalam tu).
  • Waktu operasinya adalah 8.00a.m - 4.30p.m. dan malam pun dibuka untuk beri peluang pelajar membuat ulangkaji dengan keselesaan pendingin hawa.


Khamis, 8 Jun 2017

[241] Pengalaman Bermakna Saya Untuk Projek Penempatan - oleh Hamka Arshad

Pengalaman Bermakna Saya Untuk Projek Penempatan
oleh Hamka Arshad

Hamka Arshad, hitam manis dan rajin bercakap, 17 tahun, merupakan peserta ARPRM - DofE Tahap Emas dari Persatuan Belia G2 Felda Pemanis. Beliau boleh dihubungi menerusi Facebook dan Instagram.

Pada tarikh 20 Mac 2017 sehingga 25 Mac 2017,  saya bersama dua orang rakan seperjuangan saya iaitu Kamsari Subroto selaku ketua projek dan Muhammad Irfan sebagai bendahari projek manakala saya pula ditugaskan sebagai setiausaha dalam Projek Penempatan Siri 7 pada kali ini. Kami bertiga di bawah naungan Persatuan Belia G2 Felda Pemanis membawa misi ke suatu tempat yang telah memberi banyak pengalaman yang bermakna kepada kami bertempat di Kampung Paya Besar, Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Nama Projek Penempatan Siri 7 pada kali ini ialah ‘Intervensi Krisis Pasca Bencana’. Antara objektif yang kami bertiga kendalikan ini ialah melaksanakan program khidmat masyarakat bersama penduduk kampung, mempelajari kepelbagaian nilai adat, budaya dan sejarah setempat, menyumbangkan kemahiran kita kepada komuniti setempat dan kami juga ingin mempromosikan sifat kesukarelawan kepada setiap generasi muda masa kini dan yang paling penting ialah kami ingin melayakkan diri untuk ditauliahkan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda Tahap Emas.

Antara saat yang paling saya terharu sebelum saya berangkat ke tempat yang ingin saya jalankan  projek ini ialah ketika saya kekurangan wang ringgit untuk dibelanjakan pada projek kali ini, hal ini kerana setiap ahli perlu menyediakan wang sebanyak RM500 untuk mengelakkan daripada berlakunya perkara yang tidak akan dijangka. Saya mengambil upah kerja sambilan untuk menambahkan kos kewangan diri saya tetapi ia masih tidak mencukupi. Justeru, ibu dan bapa saya dengan rela hatinya ingin membantu saya dengan meminjamkan wang daripada rakan karibnya sebanyak RM200 untuk saya gunakan sepanjang projek kali ini. Hal ini kerana, ibu bapa saya ingin saya berjaya mengendalikan projek itu dengan baik bersama ahli projek yang lain. Disitulah saya melihat betapa besarnya pengorbanan seorang ibu dan bapa demi melihat anaknya berjaya.

Pada hari pertama, saya dan dua orang rakan seperjuangan saya bertolak pada awal pagi lagi di tempat kediaman saya membawa satu harapan yang sangat tinggi ke sana. Perjalanan untuk sampai ke destinasi mengambil masa 3 jam 30 minit. Sepanjang perjalanan, kami bertiga seringkali berbincang tentang perkara yang akan kami lakukan di sana. Kami juga mengambil beberapa video untuk kami muatnaikkan di dalam media sosial seperti di Instagram dan Facebook untuk kami ceritakan perjalanan projek kami. Kami tiba di Kampung Paya Besar dengan disambut baik oleh beberapa orang penduduk kampung di markas, iaitu Kedai Kak Mah. Kami berkenalan dengan Abang Duan juga anak kepada Kak Mah yang bertindak sebagai penilai luaran bagi kami untuk projek kali ini. Pada mulanya saya amat teruja apabila kami bertiga akan diagihkan kepada keluarga angkat masing-masing. Saya telah menjadi anak angkat kepada Poklang dan Umi, salah seorang penduduk di kampung itu. Poklang telah membawa saya balik dan betemu dengan Umi dan ahli keluarganya. Poklang ini seorang yang amat baik hati dan aktif bersukan. Umi pula seorang yang penyayang kerana sepanjang saya berada di sana, beliau menjaga saya seperti anak kandungnya sendiri. Saya juga berkenalan dengan Kak Long, Kak Jaja dan Ilman iaitu anak kandung kepada Poklang dan Umi. Kehadiran saya disambut baik oleh keluarga ini membuatkan saya lebih senang untuk rapat dengan mereka. Saya amat bersyukur pada Allah kerana mempertemukan saya dengan insan sebaik mereka semua.

Antara pengalaman yang menarik bagi saya ialah saya dan rakan saya dapat belajar cara bermain sepak takraw dengan betul oleh Abang Duan dan orang kampung. Mereka mengajar kami teknik sepakan yang betul semasa kami bermain. Sebelum ini, saya sudah lama ingin belajar bermain sepak takraw dan akhirnya hajat saya tercapai disebabkan orang kampung sudi ingin mengajar kami. Saya belajar bermain di posisi ‘Killer’. Pada mulanya agak susah untuk bermain di posisi itu, namun saya terus berusaha sehingga saya mahir.

Selain itu, antara pengalaman yang bermakna sepanjang Projek Penempatan Siri 7 pada kali ini ialah saya dan dua orang rakan seperjuangan saya dapat bersama-sama dengan orang kampung pergi menembak ikan di sungai pada waktu malam pada malam kedua kami berada di situ. Sebelum ini, saya tidak pernah melakukan sebarang aktiviti air di sungai pada waktu malam tetapi semasa projek penempatan itu saya sendiri dapat merasai aktiviti itu bersama orang kampung dengan jayanya. Kami menaiki motorsikal bersama orang kampung dan menuju ke sungai bersama-sama pada awalnya, kemudian pergi turun ke sungai untuk menembak ikan. Tetapi saya tidak pandai berenang di tempat yang dalam untuk mencari ikan lalu mengambil keputusan untuk menolong Abu, salah seorang remaja di kampung itu memasak nasi kerana selepas menembak ikan kebiasaannya mereka akan bakar ikan itu dan makan bersama. Makanan itu dipanggil ‘Nasi Sungai’. Selepas hasil ikan yang ditembak dibawa naik dan dibakar, kami makan bersama-sama sambil mencicahkan ikan itu kepada budu agar rasanya lebih sedap.

  

Seterusnya, proses pembuatan wau juga diantara pengalaman yang bermakna dan menarik bagi saya. Pada awal pagi lagi, Abang Duan dan isterinya Kak Ca membawa kami masuk ke hutan yang berdekatan untuk mencari buluh yang betul dan sesuai untuk membuat rangka wau. Selepas mencari buluh, beliau mengajar kami cara-cara untuk meraut buluh dengan betul untuk dijadikan rangka wau. Kami juga telah di bawa ke rumah Pak Mat, salah seorang tukang ukir yang berpengalaman di kampung itu untuk kami belajar daripadanya cara untuk melukis corak untuk diletakkan pada wau. Saya amat kagum dengan kehebatan Pak Mat melukis corak untuk diatas wau kerana beliau seorang yang sangat teliti dengan setiap perkara yang dilakukan dan menampakkan kekemasan beliau melukis corak tersebut. Apabila wau sudah siap, saya pula diajar cara untuk menaikkan wau. Untuk pengalaman yang pertama ini, saya gagal untuk menaikkan wau saya. Tetapi atas usaha saya dan dibantu oleh Abang Duan, akhirnya saya berjaya menaikkan wau saya . Orang kampung juga tidak terkecuali untuk memberikan ilmu kepada saya lalu mereka mengajar saya mengendalikan wau dengan betul. Pada mulanya, mereka mentertawakan saya mungkin  kerana pergerakan saya yang kekok tapi lama-lama mereka sendiri senyum melihat bakat saya. Perkara ini telah mengajar saya bahawa setiap perkara yang kita lakukan dengan usaha yang gigih, ia pasti akan membuahkan hasil.

Seterusnya, saya amat berminat untuk menceritakan pengalaman saya bersama orang kampung pergi menggagau ikan secara beramai-ramai. Satu kampung turut serta. Bayangkan betapa meriahnya keadaan masa tu. Saya juga diajar untuk mencari kayu yang betul-betul lurus untuk digunakan sebagai pukat untuk menahan ikan. Saya juga diajar oleh Pok Din tentang cara untuk memukat dengan betul. Saya juga dapat menimba ilmu pengetahuan yang banyak tentang aktiviti menggagau ikan ni yang tidak pernah saya pelajari sebelum ni. Pok Din dan orang kampung banyak menceritakan pengalaman mereka menggagau ikan. Ia telah menarik minat saya untuk mencuba sesuatu yang baharu. Perkara yang saya suka tentang orang kampung disitu ialah mereka akan berkerjasama untuk melakukan sesuatu aktiviti. Setiap orang ada peranan masing-masing, ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’. Mereka sentiasa berusaha untuk menunjukkan kepada kami apa yang menarik di tempat itu. Saya dapat merasai pengalaman menahan pukat daripada roboh dek air sungai yang deras, saya dapat merasai pengalaman menangkap ikan menggunakan tangan. Ikan bukannya sikit, banyak pula tu. Hampir dua guni penuh kami dapat. Apa yang menarik ialah saya dapat rasai kemeriahan bersama orang kampung, dapat merasai kehidupan di kampung dengan baik. Sebab itu saya amat menyukai penduduk di kampung itu kerana tak kira muda atau tua mereka tetap bersatu untuk buat sesuatu perkara. Selepas dapat hasil, kami bakar ikan tu dan makan bersama-sama. Hal ini dapat mengeratkan hubungan silatulrahim dan nlai kekeluargaan diantara kami dan orang kampung.

Akhir sekali, pengalaman yang agak bermakna dan menarik apabila saya banyak belajar tentang ilmu sejarah dan geografi yang tidak ada dalam mana-mana buku teks. Perkongsian itu telah dikongsikan oleh Dato’ Rosli yang merupakan ketua kampung itu. Perkara yang saya suka tentang beliau ialah beliau tidak pernah jemu untuk menceritakan tentang sejarah dan ilmu geografi yang beliau mahir. Dan perkara yang dikongsikan amat bermanfaat untuk diri saya dan saya ingin kongsikan kepada rakan saya di sekolah. Syukur kami dipertemukan dengan orang yang sangat peramah. Tidak ketinggalan juga Mak Mah, mak angkat kepada Kamsari yang banyak menceritakan tentang perkara yang sepatutnya generasi kini lakukan. Dari riak wajahnya, terpapar di hatinya untuk melihat orang melayu dan generasi akan datang terus maju di mata dunia.

Kesimpulannya, saya amat menyukai penduduk kampung itu. Banyak perkara dan pengalaman yang saya pelajari disana. Terima kasih kepada Poklang dan Umi sekeluarga kerana menjaga saya dengan baik. Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan Projek Penempatan Siri 7 pada kali ini. Budi dan jasa semua, saya doakan Allah balas dengan keberkatan.