Halaman

Khamis, 8 Jun 2017

[241] Pengalaman Bermakna Saya Untuk Projek Penempatan - oleh Hamka Arshad

Pengalaman Bermakna Saya Untuk Projek Penempatan
oleh Hamka Arshad

Hamka Arshad, hitam manis dan rajin bercakap, 17 tahun, merupakan peserta ARPRM - DofE Tahap Emas dari Persatuan Belia G2 Felda Pemanis. Beliau boleh dihubungi menerusi Facebook dan Instagram.

Pada tarikh 20 Mac 2017 sehingga 25 Mac 2017,  saya bersama dua orang rakan seperjuangan saya iaitu Kamsari Subroto selaku ketua projek dan Muhammad Irfan sebagai bendahari projek manakala saya pula ditugaskan sebagai setiausaha dalam Projek Penempatan Siri 7 pada kali ini. Kami bertiga di bawah naungan Persatuan Belia G2 Felda Pemanis membawa misi ke suatu tempat yang telah memberi banyak pengalaman yang bermakna kepada kami bertempat di Kampung Paya Besar, Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Nama Projek Penempatan Siri 7 pada kali ini ialah ‘Intervensi Krisis Pasca Bencana’. Antara objektif yang kami bertiga kendalikan ini ialah melaksanakan program khidmat masyarakat bersama penduduk kampung, mempelajari kepelbagaian nilai adat, budaya dan sejarah setempat, menyumbangkan kemahiran kita kepada komuniti setempat dan kami juga ingin mempromosikan sifat kesukarelawan kepada setiap generasi muda masa kini dan yang paling penting ialah kami ingin melayakkan diri untuk ditauliahkan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda Tahap Emas.

Antara saat yang paling saya terharu sebelum saya berangkat ke tempat yang ingin saya jalankan  projek ini ialah ketika saya kekurangan wang ringgit untuk dibelanjakan pada projek kali ini, hal ini kerana setiap ahli perlu menyediakan wang sebanyak RM500 untuk mengelakkan daripada berlakunya perkara yang tidak akan dijangka. Saya mengambil upah kerja sambilan untuk menambahkan kos kewangan diri saya tetapi ia masih tidak mencukupi. Justeru, ibu dan bapa saya dengan rela hatinya ingin membantu saya dengan meminjamkan wang daripada rakan karibnya sebanyak RM200 untuk saya gunakan sepanjang projek kali ini. Hal ini kerana, ibu bapa saya ingin saya berjaya mengendalikan projek itu dengan baik bersama ahli projek yang lain. Disitulah saya melihat betapa besarnya pengorbanan seorang ibu dan bapa demi melihat anaknya berjaya.

Pada hari pertama, saya dan dua orang rakan seperjuangan saya bertolak pada awal pagi lagi di tempat kediaman saya membawa satu harapan yang sangat tinggi ke sana. Perjalanan untuk sampai ke destinasi mengambil masa 3 jam 30 minit. Sepanjang perjalanan, kami bertiga seringkali berbincang tentang perkara yang akan kami lakukan di sana. Kami juga mengambil beberapa video untuk kami muatnaikkan di dalam media sosial seperti di Instagram dan Facebook untuk kami ceritakan perjalanan projek kami. Kami tiba di Kampung Paya Besar dengan disambut baik oleh beberapa orang penduduk kampung di markas, iaitu Kedai Kak Mah. Kami berkenalan dengan Abang Duan juga anak kepada Kak Mah yang bertindak sebagai penilai luaran bagi kami untuk projek kali ini. Pada mulanya saya amat teruja apabila kami bertiga akan diagihkan kepada keluarga angkat masing-masing. Saya telah menjadi anak angkat kepada Poklang dan Umi, salah seorang penduduk di kampung itu. Poklang telah membawa saya balik dan betemu dengan Umi dan ahli keluarganya. Poklang ini seorang yang amat baik hati dan aktif bersukan. Umi pula seorang yang penyayang kerana sepanjang saya berada di sana, beliau menjaga saya seperti anak kandungnya sendiri. Saya juga berkenalan dengan Kak Long, Kak Jaja dan Ilman iaitu anak kandung kepada Poklang dan Umi. Kehadiran saya disambut baik oleh keluarga ini membuatkan saya lebih senang untuk rapat dengan mereka. Saya amat bersyukur pada Allah kerana mempertemukan saya dengan insan sebaik mereka semua.

Antara pengalaman yang menarik bagi saya ialah saya dan rakan saya dapat belajar cara bermain sepak takraw dengan betul oleh Abang Duan dan orang kampung. Mereka mengajar kami teknik sepakan yang betul semasa kami bermain. Sebelum ini, saya sudah lama ingin belajar bermain sepak takraw dan akhirnya hajat saya tercapai disebabkan orang kampung sudi ingin mengajar kami. Saya belajar bermain di posisi ‘Killer’. Pada mulanya agak susah untuk bermain di posisi itu, namun saya terus berusaha sehingga saya mahir.

Selain itu, antara pengalaman yang bermakna sepanjang Projek Penempatan Siri 7 pada kali ini ialah saya dan dua orang rakan seperjuangan saya dapat bersama-sama dengan orang kampung pergi menembak ikan di sungai pada waktu malam pada malam kedua kami berada di situ. Sebelum ini, saya tidak pernah melakukan sebarang aktiviti air di sungai pada waktu malam tetapi semasa projek penempatan itu saya sendiri dapat merasai aktiviti itu bersama orang kampung dengan jayanya. Kami menaiki motorsikal bersama orang kampung dan menuju ke sungai bersama-sama pada awalnya, kemudian pergi turun ke sungai untuk menembak ikan. Tetapi saya tidak pandai berenang di tempat yang dalam untuk mencari ikan lalu mengambil keputusan untuk menolong Abu, salah seorang remaja di kampung itu memasak nasi kerana selepas menembak ikan kebiasaannya mereka akan bakar ikan itu dan makan bersama. Makanan itu dipanggil ‘Nasi Sungai’. Selepas hasil ikan yang ditembak dibawa naik dan dibakar, kami makan bersama-sama sambil mencicahkan ikan itu kepada budu agar rasanya lebih sedap.

  

Seterusnya, proses pembuatan wau juga diantara pengalaman yang bermakna dan menarik bagi saya. Pada awal pagi lagi, Abang Duan dan isterinya Kak Ca membawa kami masuk ke hutan yang berdekatan untuk mencari buluh yang betul dan sesuai untuk membuat rangka wau. Selepas mencari buluh, beliau mengajar kami cara-cara untuk meraut buluh dengan betul untuk dijadikan rangka wau. Kami juga telah di bawa ke rumah Pak Mat, salah seorang tukang ukir yang berpengalaman di kampung itu untuk kami belajar daripadanya cara untuk melukis corak untuk diletakkan pada wau. Saya amat kagum dengan kehebatan Pak Mat melukis corak untuk diatas wau kerana beliau seorang yang sangat teliti dengan setiap perkara yang dilakukan dan menampakkan kekemasan beliau melukis corak tersebut. Apabila wau sudah siap, saya pula diajar cara untuk menaikkan wau. Untuk pengalaman yang pertama ini, saya gagal untuk menaikkan wau saya. Tetapi atas usaha saya dan dibantu oleh Abang Duan, akhirnya saya berjaya menaikkan wau saya . Orang kampung juga tidak terkecuali untuk memberikan ilmu kepada saya lalu mereka mengajar saya mengendalikan wau dengan betul. Pada mulanya, mereka mentertawakan saya mungkin  kerana pergerakan saya yang kekok tapi lama-lama mereka sendiri senyum melihat bakat saya. Perkara ini telah mengajar saya bahawa setiap perkara yang kita lakukan dengan usaha yang gigih, ia pasti akan membuahkan hasil.

Seterusnya, saya amat berminat untuk menceritakan pengalaman saya bersama orang kampung pergi menggagau ikan secara beramai-ramai. Satu kampung turut serta. Bayangkan betapa meriahnya keadaan masa tu. Saya juga diajar untuk mencari kayu yang betul-betul lurus untuk digunakan sebagai pukat untuk menahan ikan. Saya juga diajar oleh Pok Din tentang cara untuk memukat dengan betul. Saya juga dapat menimba ilmu pengetahuan yang banyak tentang aktiviti menggagau ikan ni yang tidak pernah saya pelajari sebelum ni. Pok Din dan orang kampung banyak menceritakan pengalaman mereka menggagau ikan. Ia telah menarik minat saya untuk mencuba sesuatu yang baharu. Perkara yang saya suka tentang orang kampung disitu ialah mereka akan berkerjasama untuk melakukan sesuatu aktiviti. Setiap orang ada peranan masing-masing, ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’. Mereka sentiasa berusaha untuk menunjukkan kepada kami apa yang menarik di tempat itu. Saya dapat merasai pengalaman menahan pukat daripada roboh dek air sungai yang deras, saya dapat merasai pengalaman menangkap ikan menggunakan tangan. Ikan bukannya sikit, banyak pula tu. Hampir dua guni penuh kami dapat. Apa yang menarik ialah saya dapat rasai kemeriahan bersama orang kampung, dapat merasai kehidupan di kampung dengan baik. Sebab itu saya amat menyukai penduduk di kampung itu kerana tak kira muda atau tua mereka tetap bersatu untuk buat sesuatu perkara. Selepas dapat hasil, kami bakar ikan tu dan makan bersama-sama. Hal ini dapat mengeratkan hubungan silatulrahim dan nlai kekeluargaan diantara kami dan orang kampung.

Akhir sekali, pengalaman yang agak bermakna dan menarik apabila saya banyak belajar tentang ilmu sejarah dan geografi yang tidak ada dalam mana-mana buku teks. Perkongsian itu telah dikongsikan oleh Dato’ Rosli yang merupakan ketua kampung itu. Perkara yang saya suka tentang beliau ialah beliau tidak pernah jemu untuk menceritakan tentang sejarah dan ilmu geografi yang beliau mahir. Dan perkara yang dikongsikan amat bermanfaat untuk diri saya dan saya ingin kongsikan kepada rakan saya di sekolah. Syukur kami dipertemukan dengan orang yang sangat peramah. Tidak ketinggalan juga Mak Mah, mak angkat kepada Kamsari yang banyak menceritakan tentang perkara yang sepatutnya generasi kini lakukan. Dari riak wajahnya, terpapar di hatinya untuk melihat orang melayu dan generasi akan datang terus maju di mata dunia.

Kesimpulannya, saya amat menyukai penduduk kampung itu. Banyak perkara dan pengalaman yang saya pelajari disana. Terima kasih kepada Poklang dan Umi sekeluarga kerana menjaga saya dengan baik. Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan Projek Penempatan Siri 7 pada kali ini. Budi dan jasa semua, saya doakan Allah balas dengan keberkatan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dialu - alukan untuk memberikan sebarang komen atau maklumbalas. Terima kasih! :)