Halaman

Jumaat, 20 September 2019

[417] Saya Amat Selektif

Catatan Mizam Rahim, Mentor Program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda - The Duke of Edinburgh's International Award (ARPRM - DofE), sebagaimana dipetik di Facebook beliau pada tarikh hantaran 17 September 2019

Melaluinya pada dua Kerajaan yang berbeza, selama 15 tahun, tentulah saya mempunyai banyak perkara yang boleh saya ulas. Sementelahan ianya dilakukan secara sukarela, tanpa paksaan, tanpa peruntukan dana tetap sebaliknya perlu dicari sana - sini, ia menjadi sesuatu yang amat teruji.
Dahulu, saya terfikir bagaimana untuk mengangkat semua nilai ini pada aras yang bukan biasa - biasa. Mengangkat makna sukarelawan bukan sekadar pada aktiviti gotong - royong dan cat balai raya sahaja. Ataupun, mengangkat nilai Projek Penempatan bukan sekadar komunikasi dan aktiviti dengan orang kampung tetapi meliputi ekologi, biodiversiti, alam sekitar dan warisan sejarah. Banyak lagi yang saya fikirkan.
Dengan menyampaikan maksud dan tujuan itu kepada anak - anak muda FELDA Pemanis, maksud itu berjaya saya terjemahkan.
Seiringnya, sebahagian mereka berpeluang terbang jauh dari bumi Pemanis. Sebahagian yang lain, juga melonjak dari aras noob dahulu ke orbital yang lebih bertenaga.
Tahun ini ia menjadi sedikit tragik kepada beberapa Badan Operasi dan Mentor baharu, mahupun Mentor Kanan. Cerita bergolok gadai, mengemis dan mengikat perut adalah lumrah. Tanyalah pada mereka yang laksanakan di seluruh dunia, apa yang mereka dapat selaku Mentor atau Award Leader? Tidak mengharapkan apa - apa kerana mereka telah dipasak dengan falsafah pembangunan generasi muda yang holistik secara jalanan sebagai pelengkap kepada sistem formal sedia ada.
Ya, saya amat selektif. Sebab itu saya ambil masa sedekad (10 tahun) sebelum Emas pertama saya terhasil. Saya juga akan memeriksa satu per satu buku rekod, ayat demi ayat (dengan bantuan Mentor yang lain), cross - check setiap aktiviti yang tidak dilakukan di hadapan mata saya, memastikan semua evidens sempurna dan cukup baik sehinga tahap mock - interview dan presentation, malah baju dan kasut sekalipun yang mereka pakai ke majlis.
Saya tak kisah mereka yang hendak pergi tinggalkan projek setelah selesai Tahap Perak. Saya juga tak kisah mereka yang akan kembali semula selepas beberapa tahun untuk menyambung tahap. Falsafahnya mudah : Semua kerana kesukarelaan dan masa akan mematangkan mereka untuk kembali berfikir dan membuat keputusan.
Sijil ini cukup sebagai kenangan saya pernah bersama dan melaluinya. Untuk tahun ke 5 menghasilkan Emas, juga tahun ke 15 saya melaksanakan ARPRM.
Untuk semua lebih 600 orang yang pernah bersama saya, tidak ada kiriman yang lebih baik dari doa untuk mereka. Kerana mereka pernah menjadi sebahagian hidup saya dan saya tahu doa itu adalah sebaik - baik bekalan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dialu - alukan untuk memberikan sebarang komen atau maklumbalas. Terima kasih! :)