Halaman

Ahad, 18 Oktober 2020

[583] Penilaian Dalaman dan Penyerahan Laporan ARPRM Tahap Emas - Mohd Faiz Ahmad

FAIZ SERAH LAPORAN EMAS, CALON TUNGGAL G2 TAHUN INI, JAMINAN KUALITI ARAS TINGGI DIKEKALKAN

SEGAMAT, 17 Oktober 2020 - Mohd Faiz Ahmad, 23 tahun menjadi satu - satunya calon Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda - The Duke of Edinburgh's International Award (ARPRM - DofE) dari #TeamG2 yang menyempurnakan laporan dan menyerahkan ke Kementerian Belia dan Sukan malam ini, menjadikan G2 kini mempunyai 30 orang Emas.

Faiz, graduan Kelas Pertama Kejuruteraan Elektrik (Kuasa) dari UNITEN, mengambil masa 4 tahun untuk menyempurnakan Tahap Emas. Secara keseluruhannya, Faiz telah mengambil masa 6 tahun 8 bulan 22 hari untuk perjalanan keseluruhan ARPRM beliau bermula dari Tahap Gangsa ke sempurna Emas.





Beliau kini sedang mengetuai sebuah projek kesukarelaan aras tinggi sebagai Pengurus Projek, #TAG4Future sejak Julai lalu di dua buah sekolah. 

Faiz telah sempurna semua 5 komponen yang ditetapkan menerusi piawaian antarabangsa DofE iaitu Khidmat Masyarakat, Kemahiran, Rekreasi Fizikal, Penjelajahan Lasak dan Projek Penempatan. Setiap komponen itu memerlukan masa dan tempoh yang ditetapkan.  

Kawalan ketat terhadap kualiti, sahsiah dan disiplin peserta ARPRM menyaksikan hanya Faiz sahaja tahun ini layak dan disahkan oleh Persatuan Belia G2 Felda Pemanis untuk ke pentas anugerah Emas.








Malam ini, laporan akhir setebal 270 halaman dan 94 halaman Buku Rekod telah diserahkan kepada Encik Maizatul Asrul Mohd Yunus, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Segamat untuk diserahkan ke Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor dan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.

Faiz diletakkan di bawah permentoran Encik Armizam Abd Rahim dan Encik Azizi Abd Rahim, yang telah melahirkan 29 orang penerima Emas antarabangsa sebelum ini. Di antara penerima tersebut, beberapa orang telah berpeluang ke luar negara, mengikuti projek berprestij, mendapat biasiswa Kerajaan dan GLC di samping menggondol Anugerah Perdana Belia Negara.

Sebelum penyerahan laporan, satu sesi penilaian dalaman telah dilaksanakan oleh Encik Azizi bagi menjamin kualiti penerima Tahap Emas ini.




Seluruh #TeamG2 mengucapkan syabas dan tahniah kepada Faiz di atas penyempurnaan Tahap Emas. 

Majlis Pentauliahan dijangka akan diadakan bulan hadapan di Putrajaya. 

#ARPRM #DofE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dialu - alukan untuk memberikan sebarang komen atau maklumbalas. Terima kasih! :)