Halaman

Isnin, 1 Mei 2017

[231] Kerja - Kerja Pendokumentasian Laporan ARPRM Tahap Emas

Satu perkara yang wajib bagi peserta ARPRM - DofE Tahap Emas apabila selesai menyempurnakan semua 5 komponen adalah menyediakan Laporan Peserta Tahap Emas. Seluruh kerja - kerja pelaporan ini, atau dipanggil pendokumentasian, merupakan himpunan catatan dan evidens (gambar, video, bahan - bahan pembuktian lain) yang dipersembahkan dalam bentuk pakej lengkap bagi membuktikan bahawa peserta telah menyempurnakan aktiviti dalam nilaian yang betul dan tepat.

Untuk semua peserta Tahap Emas di bawah Badan Operasi Persatuan Belia G2 Felda Pemanis, kerja - kerja pendokumentasian ini adalah fasa paling penting. Kita tidak tahu dan tidak boleh membuktikan apa yang telah kita lakukan melainkan kita telah mendokumentasikan dengan baik.



Justeru, G2 menetapkan satu standard tersendiri, berpandukan spesifikasi asas yang diberikan oleh Kementerian Belia dan Sukan, dalam menentukan kualiti dan nilai pendokumentasian semua peserta Tahap Emas di bawah Badan Operasi ini.

Semua peserta Tahap Emas ARPRM G2 hendaklah menyediakan Pendokumentasian ARPRM Tahap Emas (sama ada dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris) sebagaimana berikut :





  • Buku Rekod - Bertulis tangan, disemak dan tandatangan Mentor, Jurulatih, Panel Penilai Dalaman dan Panel Penilai Luaran. Ia merangkumi semua 5 komponen yang wajib untuk Tahap Emas.
  • Borang Biodata - Mentor, Jurulatih, Panel Penilai Dalaman dan Panel Penilai Luaran.


  • Borang Penilaian Komponen - Untuk semua lima komponen Tahap Emas.
  • Buku Log - Bertaip untuk semua lima komponen wajib.




  • Laporan Peserta Tahap Emas - Bertaip dengan format tersendiri yang disediakan oleh G2. Antara lain mengandungi : Pengenalan, Biodata, Laluan Tahap Gangsa & Perak, Biodata Mentor, Jurulatih, Panel Penilai, Laporan Setiap Komponen (Log Aktiviti, Ulasan, Cadangan, Pandangan, Gambar Aktiviti), Keratan Akhbar, Sijil dan Rumusan Akhir.
  • Video Aktiviti - Satu video dalam jangka masa 5 - 7 minit menceritakan sepintas lalu semua aktiviti peserta dari Tahap Gangsa, Perak dan penekanan pada 5 komponen Tahap Emas.
  • CD / DVD - Semua bahan dalam bentuk soft copy dimasukan kedalam CD / DVD
  • Slaid Pembentangan - Bahan - bahan laporan yang telah disiapkan dipersembahkan dalam bentuk slaid pembentangan.


Buku Rekod biasanya disediakan lebih awal, seiring peserta memulakan aktiviti pada Tahap Emas. Peserta juga bersedia dengan mengumpul semua bahan - bahan bukti sepanjang mengadakan / menjalankan aktiviti iaitu gambar, video, keratan akhbar, sijil, pamplet aktiviti atau apa - apa bahan yang bersesuaian.

Setiap peserta akan mengambil masa di antara 2 minggu hingga satu bulan bagi melengkapkan pendokumentasian mereka. Sepanjang tempoh tersebut, mereka akan dipantau oleh Mentor atau Panel Penilai Dalaman bagi memastikan laporan disediakan dengan betul menepati spesifikasi yang ditetapkan dan tidak menjejaskan kualiti.




Semua laporan yang telah siap akan dicetak warna sepenuhnya sebanyak 5 salinan, dijilidkan dan dipakejkan di dalam satu folder. Lima folder untuk lima set laporan akan disediakan, masing - masing untuk keperluan berikut :
  • Salinan asal untuk Kementerian Belia dan Sukan Malaysia
  • Salinan untuk Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor
  • Salinan untuk Pejabat Belia dan Sukan Daerah Segamat
  • Salinan untuk Mentor / Badan Operasi
  • Salinan untuk Peserta Tahap Emas





Sehingga kini, semua peserta dapat mematuhi standard yang ditetapkan oleh Badan Operasi G2 ini. Sebarang pertanyaan, boleh berhubung dengan Ketua Mentor / Penyelaras email : mizam_rahim@yahoo.com atau mana - mana Mentor dan Penerima Tahap Emas yang telah sempurna. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dialu - alukan untuk memberikan sebarang komen atau maklumbalas. Terima kasih! :)