Halaman

Ahad, 1 Disember 2019

[430] Catatan Laporan Program Anak Muda Wawasan Lestari Daerah Segamat


Catatan Laporan Program Anak Muda Wawasan Lestari Daerah Segamat

Oleh Muhammad Haffizi bin Zaini, 15 tahun

Pengalaman ini bermula apabila kami mendapat maklumat daripada Persatuan Belia G2 Felda Pemanis untuk mengisi borang bagi menyertai Program Anak Muda Wawasan Lestari (AMWAL) Daerah Segamat 2019. Seramai 7 orang yang telah mengisi borang permohonan tersebut. Ia terdiri daripada 5 orang lelaki dan 2 orang perempuan. Borang tersebut perlulah diisi dengan lengkap beserta kebenaran ibubapa tanpa maklumat palsu ataupun kesilapan tulisan.

Program Anak Muda Wawasan Lestari (AMWAL) merupakan program anjuran Pejabat Belia Dan Sukan Daerah Segamat. Program ini merupakan kerjasama antara Agensi Anti Dadah (AADK) Daerah Segamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Segamat dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Segamat.


26 November 2019 (Hari Pertama)
Kami bertolak ke Kolej Komuniti Segamat 2 Batu AnamSegamat dengan menaiki 2 buah kereta yang dipandu oleh Encik Armizam dan Abg Azhairel pada pukul 1 petang. Perjalanan mengambil masa selama 1 jam . Apabila tiba di Kolej Komuniti Segamat 2, kami mengeluarkan beg masing-masing dari kereta dan mengambil gambar bersama-sama. Selepas itu , kami terus ke tempat untuk pendaftaran peserta . Selesai membuat pendaftaran peserta kami berkumpul sementara menunggu peserta yang belum hadir untuk berdaftar. 


Selepas itu, kami diberi sedikit taklimat dan icebreaking sepanjang berlangsungnya program  Antaranya peserta tidak dibenarkan membawa barang terlarang sepanjang program seperti rokok, vape dan wang .Fasilitator telah mengambil barang-barang tersebut dan disimpan di dalam plastik yang bertulis nama peserta. Selepas itu, kami diberikan fail setiap seorang peserta oleh fasilitator. Di dalam fail tersebut berisi buku catatan , sebatang pen dan tag peserta.  Selepas itu , kami bergerak ke bilik masing-masing. Setiap bilik terdiri daripada empat orang peserta. Saya berasa gembira kerana dapat duduk sebilik dengan rakan-rakan. Setelah sampai di bilik , kami mengemas barang dan berehat sebentar sementara menunggu aktiviti seterusnya.




Selepas itu, semua peserta berkumpul di dewan kuliah untuk memulakan aktiviti pertama. Aktiviti bermula dengan dikendalikan oleh Encik Shahezam iaitu dari MUOTRAININGdotcom. Beliau banyak memberi isi isi yang bermanfaat dan tunjuk ajar untuk menjadi seorang yang berguna. Selepas itu, kami teruskan lagi dengan aktiviti suai kenal dan pembentukan kumpulan. Encik Shahezam telah membuat aktiviti yang melibatkan semua peserta . Kami diminta untuk membuat bulatan besar di dalam dewan kuliah tersebut. Kemudian, kami perlu menunjukkan tapak tangan dan meletakkan jari telunjuk ke tapak tangan rakan di sebelah . Selepas itu, apabila wisel ditiupkan oleh fasilitator, kami perlu menangkap tangan rakan yang berada di tapak tangan kita sebentar tadi dengan pantas. Sesiapa yang telah ditangkap jarinya, peserta akan dikenakan denda dan harus keluar dari bulatan tersebut. Denda yang akan dikenakan oleh peserta yang kalah adalah peserta perlu joget di hadapan peserta yang berada dalam bulatan. Aktiviti ini dijalankan sehingga adanya seorang pemenang. Aktiviti ini dapat memberi banyak manfaat kepada peserta. Antaranya peserta dapat memberikan fokus yang baik dan manjadikan seseorang yang lebih peka dan pantas apabila membuat satu pekerjaan. Selepas itu, Encik Shahezam bercerita tentang pengalamannya yang pernah menjadi sukarelawan di Gunung Ledang . Beliau menceritakan tentang sejarah Gunung Ledang.









Selepas itu aktiviti diteruskan dengan pembentukan kumpulan. 5 peserta wanita diberi peluang untuk memilih sendiri ahli kumpulannya. Selain itu, 5 peserta wanita tersebuat perlu memberikan sebab dan harus yakin dengan peserta yang dipilih menjadi sebagai ahli kumpulannya. Tambahan pula, peserta yang dipilih itu juga perlu bersetuju dan memberi sebab untuk menjadi kumpulan tersebut. Selepas itu, kami diberi rehat selama 2 jam 30 minit untuk pengurusan diri dan makan malam. Kemudian, kami bergerak ke kantin untuk makan malam. Setelah selesai makan malam, semua peserta bergegas ke dewan kuliyah untuk aktiviti seterusnya.







Pengisian pada waktu malam pula adalah aktiviti dalam kumpulan . Semua peserta dipecahkan dalam dua kumpulan sahaja untuk aktiviti malam tersebut. Kami bermain burung, batu dan air. Kami dikehendaki melalui laluan yang disediakan dan perlu melepaskan diri ke tempat lawan dengan bermain burung, batu dan air. Aktiviti ini memerlukan semangat yang tinggi pada setiap peserta. Pada pendapat saya aktiviti adalah salah satu aktiviti yang seronok dan menghiburkan . Selepas itu kami diberikan sedikit taklimat berkenaan aktiviti untuk hari kedua dan setiap kumpulan disuruh untuk membuat 2 video semasa menjalankan aktiviti khidmat masyarakat di Kampung Paya Lang. Sebelum masuk tidur, kami bergerak ke kantin untuk minum malam.









27 November 2019 (Hari Kedua)
Pada hari kedua kami bangun seawal jam 6 pagi untuk pengurusan diri dan menunaikan solat subuh berjemaah. Selesai menunaikan solat subuh berjemaah, kami bergerak ke kantin untuk sarapan pagi. Selepas itu, setiap kumpulan diberi peluang untuk berbincang tentang video yang harus dibuat. Pada pukul 8 pagi kami bergerak ke Kampung Paya Lang dengan menaiki bas Kolej Komuniti Segamat 2. Setelah samapai di destinasi, kami beratur mengikut kumpulan dan berjalan ke surau Kampung Paya Lang. Sampai di surau tersebut kami diberi taklimat ringkas berkenaan aktiviti khidmat masyarakat oleh Ketua Kampung Kampung  Paya Lang. Selepas itu, kami terus memulakan aktiviti khidmat masyarakat seperti mengemas barang-barang di dalam surau, menyapu daun kering, mengelap tingkap, membersihkan longkang, mengangkat batu bata dan mop lantai. Aktiviti ini dilakukan lebih kurang satu jam. Selepas itu, kami mendengar taklimat sedikit oleh urusetia. Banyak manfaat yang diperoleh semasa aktiviti ini dijalankan. Antaranya peserta dapat merapatkan hubungan silaturahim dan sikap bekerjasama . Selain itu,  peserta juga dapat mengisi masa lapang dengan membuat aktiviti seperti ini . Secara tidak langsung peserta dapat menjaga disiplin yang baik. Pada masa aktiviti gotong-royong dijalankan ada juga yang sibuk mengambil gambar dan video untuk dihantar ke urusetia sebagai pelaporan setiap kumpulan.

















Selepas itu, kami diberikan masa selama satu jam lagi untuk mencari penduduk kampung untuk ditemubual tentang sejarah Kampung Paya Lang sambil bersiar-siar melihat permandangan di Kampung Paya Lang. Kami sempat menebual beberapa penduduk kampung Paya Lang yang sudah lama menetap disitu. Ada yang tua, muda dan di kampung tersebut terdapat kaum Melayu, India dan Cina. Kebanyakannya mengatakan di Kampung Paya Lang ini adalah kawasan banjir. Keistimewaan Di Kampung Paya Lang ini adalah terdapat tempat untuk proses tauhu. Selain itu , di Kampung Paya Lang ini  mempunyai banyak haiwan peliharaan . Antaranya lembu, rusa dan kuda. Selepas itu , kami bergerak ke bas sambil menunggu kumpulan lain.





Setelah semua peserta dan urusetia tiba di bas kami terus bergerak ke Kolej Komuniti Segamat 2 untuk meneruskan aktiviti seterusya . Sebelum itu kami bergerak ke kantin untuk makan tengahari. Selepas itu, kami terus ke Dewan Kuliah untuk mendengar ceramah tentang Pendedahan Peluang Pendidikan Latihan Kemahiran & Keusahawanan oleh pihak KKS2. Pada masa itu, pihak KKS2 melihat keadaan kami yang penat dan mengantuk jadi pihak KKS2 membuat satu aktiviti yang menyeronokkan . Aktiviti tersebut ialah menari Making Melodies in My Heart . Selepas itu pihak KKS2 menceritakan tentang sejarah KKS2 dan lagu KKS2 . Seterusnya kami diberi borang yang perlu diisi oleh peserta berkenaan kemasukan KKS2. Kemudian , semua peserta bergerak ke 1 bilik khas di KKS2 . Di dalam bilik tersebut terdapat hasil karya pelajar KKS2 yang menarik . Antarnya  robot sumo , keychain dan ada juga peralatan untuk memotong untuk menghasilkan sesuatu. Peralatan tersebut dipanggil laser cutter. Selepas itu , kami balik ke bilik untuk pengurusan diri, solat dan makan malam .









Pada waktu malam pula , aktiviti diteruskan dengan Cerita Orang Gagal dengan kerjasama PDRM & AADK.  Seorang bekas penagih dadah telah berada di dewan kuliyah dan menceritakan tentang kisah silamnya . Beliau berasal dari Felda Kemelah, Segamat dan terjebak dengan dadah seawal umur 17 tahun. Beliau juga pernah memasuki 2 pusat serenti iaitu di Raub, Pahang dan di Ipoh, Perak. Beliau juga pernah dihukum di penjara selama setahun di Simpang Renggam dan setahun juga di Penjara Seremban di samping menerima sebatan rotan. Akhirnya beliau di tempatkan di pusat serenti di Ipoh, Perak dan diawasi dengan baik supaya tidak terjebak lagi dengan jenayah dadah. Beliau juga memberikan banyak nasihat kepada kami supaya tidak menjadi beliau yang dahulu. Antaranya, memilih rakan yang baik, saling sayang menyayangi antara keluarga, sentiasa menjalankan amalan yang baik dan paling penting ialah berhenti daripada menghisap rokok / vape kerana jenayah dadah ini berpunca daripada rokok / vape.








Selepas itu kami semua bergambar bersama-sama buat kenang-kenangan. Sebelum kami dibenarkan untuk balik ke bilik untuk tidur, kami melihat tayangan video setiap kumpulan semasa aktiviti khidmat masyarakat di Kampung Paya Lang petang tadi. Semasa melihat video tersebut, banyak gelagat yang dapat dilihat seperti gembira semasa melihat habitat haiwan, perasaan duka kerana penat berjalan satu tempat ke satu tempat dan semangat berpasukan. Setelah menyaksikan video tersebut kami diberi taklimat ringkas berkenaan aktiviti pada hari terakhir . Selepas itu,kami pergi ke kantin untuk minum malam dan terus ke bilik masing-masing untuk tidur.














28 November 2019 (Hari Ketiga)
Pada hari terakhir, akan diadakan Lawatan Experience Leaning  bertempat di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotakik (PUSPEN), Muar  dengan menaiki bas KKS2. Pada awal pagi kami bangun untuk solat subuh dan mengemas beg dan membawa ke kereta . Selepas itu kami berkumpul dan diberi sarapan pagi. Perjalanan ke PUSPEN Muar di Bukit Gambir mengambil masa dalam 45 minit. Setelah sampai ke destinasi kami beratur mengikut kumpulan untuk mendengar taklimat khas untuk masuk ke kawasan tersebut . Selepas itu kami berjalan masuk menuju ke dewan . Selepas itu, pihak  pengurusan melaksanakan satu aktiviti yang menyeronokkan. Kami diminta mencari pasangan yang sama untuk bermain aktiviti pegang, ramas, gentil dan usap. Saya rasa aktiviti ini dapat merapatkan lagi hubungan antara rakan.







Aktiviti diteruskan dengan setiap kumpulan mendengar perkongsian pengalaman klien PUSPEN. Setiap satu kumpulan mempunyai 3 orang klien PUSPEN. Mereka juga memberikan nasihat yang baik kepada saya dan ahli kumpulan. Ini merupakan kali pertama saya pergi ke pusat sebegini dan menjadi pengalaman yang patut saya hargai. Sesi ditutup dengan rumusan daripada pihak PUSPEN Muar dan Urusetia AMWAL. Sebelum balik ke KKS2 untuk majlis penutupan program, kami semua bersama klien PUSPEN mengambil gambar kenang-kenangan. Tiba di KKS2 kami terus ke kantin untuk menjamu selera.

Program Anak Muda Wawasan Lestari (AMWAL) Daerah Segamat telah berakhir dengan rasminya pada pukul 3 petang selepas Majlis Penutup Sijil yang disempurnakan oleh Pengarah, Jabatan Belia dan Sukan Johor. Tuan Pengarah telah banyak memberikan nasihat dan amanat kepada kami semua.










Selepas itu, diadakan sesi penyampaian cenderahati kepada agensi yang bekerjasama dan hadiah kepada setiap kumpulan. Ia diakhiri dengan sesi bergambar bersama urusetia. Selepas itu kami bersalam – salaman sesama sendiri sebelum berangkat pulang. Perasaaan sedih dan terharu jelas tergambar di wajah masing -masing . Walaupun keletihan , kami berasa puas dan gembira sepanjang perjalanan program ini.

Pada pendapat saya , program ini dapat mengisi masa belia di luar sana dengan perkara yang berfaedah. Selain  itu,  program ini juga dapat memupuk semangat kesukarelawan dalam diri sendiri. Banyak pengalaman dan ilmu baharu yang saya dan rakan – rakan lain perolehi untuk dijadikan panduan pada masa hadapan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dialu - alukan untuk memberikan sebarang komen atau maklumbalas. Terima kasih! :)