TEKS UCAPAN
MAJLIS RESTU CALON SPM 2012
SMK LKTP PEMANIS
Catatan : Teks ini telah disampaikan oleh Sdra Edy Mustaqim Muhamad, Ketua Pengawas SMK Pemanis pada Jumaat, 2 November 2012, 3 hari menjelang SPM 2012.
- Yang Berusaha, Puan Masihah Haji Yusuf, Pengetua SMK LKTP Pemanis
- Yang Dihormati, Encik Musa Sadin, Yang DiPertua PIBG SMK LKTP Pemanis
- Yang Dihormati, Puan Rohaya Md Zain, GPK 1 dan semua Guru Penolong Kanan dan barisan pentadbir, SMK LKTP Pemanis
- Guru – guru yang disayangi sekelian
- Rakan – rakan seperjuangan kelompok 1995
- Tuan Puan, Saudara saudari sekelian
Assalamualaikum
dan Salam Perjuangan SPM 2012,
Lima tahun lepas, pada tarikh 3
Januari 2008, sekelompok anak kecil dari kumpulan 1995 menjejakkan kaki ke
sekolah ini. Sesetengahnya masih hingusan, baru lepas melalui garis yang
membezakan antara dunia kanak – kanak dan dunia remaja. Luka berkhatan bagi
yang lelaki pun masih belum sembuh sempurna. Bagi yang perempuan, masih belum
mengenal apa itu jenama Avon, Guchi dan Loreal.
Hari demi hari berlalu. Membesar dan
mengenal dunia remaja di madrasah ilmu ini. Berlari berkejaran. Menimba ilmu,
mengasah jatidiri. Mengenal dunia dengan lebih terbuka. Membuka minda untuk
melihat bahawa ada yang lebih besar di hujung sana. Menyusun laluan hidup
dengan bimbingan guru.
Sedetik, tak pun lebih, larian masa
itu cepat benar berlalu. Lima tahun kini tiba di penghujungnya. Lima tahun yang
penuh dengan citrawarna. Beberapa kali terjatuh, ada tangan yang dihulur
menyambut bangkit kembali. Acapkali juga cinta monyet bertukar ganti sesama
sendiri, semua itu menjadi antara kenangan terindah. Lucu rasanya mengenang
semua itu, dialun sayu perpisahan di penghujung garisan.
Cikgu
– cikgu dan rakan seperjuangan sekelian,
Kami mungkin bukan yang sempurna.
Tidak sepandai mereka yang mampu ke Sekolah Berasrama Penuh atau MRSM. Tidak
sebijak mereka yang mampu mendapat semuanya A dengan sebelah mata sahaja. Tidak
sehebat rakan – rakan seangkatan di Sekolah Kluster dan Kecemerlangan.
Kami tahu dan mengukur ini semua di
baju dan kasut sendiri. Kami tahu bahawa adalah lebih tidak beradab jika gagal
kerana tidak mencuba, dari menerima kegagalan setelah penuh berusaha. Kami tahu
bahawa usaha itu adalah sebenarnya sebahagian dari kejayaan.
Ketahuilah cikgu, di setiap hari
dari setiap 69 orang calon SPM 2012 ini, tersemat keinginan untuk berjaya. Azam
untuk membina masa depan yang lebih cerah. Sesetengah orang melalui jalan mudah
untuk kehidupannya. Sesetengah yang lain ditentukan, setelah berusaha, bahawa
laluannya penuh berliku. Itu semua adalah keadilan yang nyata dalam hidup.
Allah tidak akan menguji seseorang hamba – Nya, melainkan Dia tahu bahawa hamba
– Nya itu mampu menanggung ujian tersebut.
Cikgu
– cikgu dan rakan seperjuangan sekelian,
Lima tahun menukar seorang anak
kecil lepasan dunia kanak – kanak kepada remaja yang melihat dunia dengan mata
dan hatinya. Lima tahun juga mampu merubah dari yang dungu kepada mampu
berfikir dengan bimbingan.
Sesama rakan kelompok 1995,
kehidupan kita di taman ilmu sekolah ini bakal berakhir. Isnin hadapan, tiada
lagi berlarian memasuki kelas yang selama ini menjadi rumah kita dengan adik –
beradik yang ramai. Tiada lagi kita tertunggu – tunggu bilakah cikgu – cikgu
pilihan semua untuk masuk ke kelas mencurahkan ilmu. Tiada lagi kejar –
mengejar di koridor sekolah, senda gurau di kantin atau tangis pujuk akibat
sakat – menyakat sesama sendiri.
Semua ini bakal berakhir. Isnin
depan, apa yang ada hanyalah kita semua tanpa cikgu – cikgu tersayang.
Menghadap wajah pengawas peperiksaan dengan kertas bertanda SULIT. Muka – muka
pejuang hari muka di kiri dan kanan. Sebelas tahun kita menanti untuk masuk ke
dewan peperiksaan itu.
Sebelas tahun. Betapa itulah jumlah
masa yang kita lalui untuk sampai ke kemuncaknya.
Cikgu, maafkan kami atas segala
kebiadapan. Kami tahu kami bukanlah yang terbaik. Cikgu, maafkan kami juga atas
segala kesusahan cikgu untuk membenamkan ilmu ke dada kami. Maafkan kami kerana
cikgu tak jenuh membetulkan sikap, sahsiah dan keperibadian kami. Maafkan kami
juga kerana seringkali menipu, membohong, kurang ajar, menidakkan sesuatu,
tidak belajar dengan bersungguh dan leka dibuai arus dunia.
Cikgu, restukanlah semua ilmu yang
cikgu sampaikan. Di dalam kelas mahupun di luarnya. Secara terus ataupun yang
tersembunyi. Restukanlah perjuangan kami semua bermula Isnin ini. Berkatilah
dan halalkanlah ilmu yang cikgu berikan. Suluh budiman yang sinarnya akan terus
digunakan ke akhir hayat.
Rakan – rakan sekelian, berikanlah
yang terbaik dari apa yang kalian termampu untuk diri sendiri, keluarga,
sekolah dan komuniti kita ini. Marilah kita saling bermaafan dan berlapang dada. Moga jejak kita Isnin hadapan
mendapat keberkatan Allah juga.
Jangan
disorok bunga kasturi,
Atas
para dengan berangan,
Ilmu
peneman perjalanan hari,
Mohon
direstu sempurnakan perjuangan.
Sekian, wabillah …
TERBAIK
BalasPadam