Gambar dan Video oleh Azhari, Adilah, Sharifah dan Suria.
Gambar penuh di Facebook Belia Felda Pemanis atau terus klik album khusus di sini.
Koleksi video ada di Saluran YouTube G2 Pemanis.
LAPORAN LAWATAN
TEKNOLOGI PERTANIAN
(TAMAN BOTANI,TANAH
TINGGI CAMERON HIGLANDS DAN LADANG LIMAU BALI)
28 - 30 Ogos 2013
HARI PERTAMA
Pada 28 Ogos 2013 yang lalu, seramai 28 orang pelajar daripada Kelab Inovasi dan Rekacipta serta Kelab Rakan Alam Sekitar dari SMK LKTP Pemanis bersama staf – staf dari Pejabat Pertanian Segamat telah menyertai lawatan sambil belajar selama 3 hari 2 malam ke beberapa tempat iaitu Taman BotanI di Shah Alam, Tanah Tinggi Cameron Highland dan ladang Pertanian Limau Bali, Tambun. Guru pengiring dari SMK LKTP Pemanis ialah Tuan Haji Muzafar Shah bin Ghazali dan Cik Normah Taib.
Pada 28 Ogos 2013 yang lalu, seramai 28 orang pelajar daripada Kelab Inovasi dan Rekacipta serta Kelab Rakan Alam Sekitar dari SMK LKTP Pemanis bersama staf – staf dari Pejabat Pertanian Segamat telah menyertai lawatan sambil belajar selama 3 hari 2 malam ke beberapa tempat iaitu Taman BotanI di Shah Alam, Tanah Tinggi Cameron Highland dan ladang Pertanian Limau Bali, Tambun. Guru pengiring dari SMK LKTP Pemanis ialah Tuan Haji Muzafar Shah bin Ghazali dan Cik Normah Taib.
Kami
dikehendaki berkumpul di kantin sekolah jam tujuh pagi dengan berpakaian baju
sukan sekolah. Sebelum lawatan bermula Tuan Haji Muzafar telah melantik
Muhammad Azhari bin Imran sebagai ketua bagi kumpulan pelajar lelaki dan
Noradilah binti Sahari pula ketua bagi
kumpulan pelajar perempuan. Selepas itu, kami sekali lagi diberi arahan agar membentuk
satu lagi kumpulan kecil. Tuan Haji Muzafar juga menasihatkan agar kami
mematikan telefon bimbit semasa lawatan.
Bas
dari Jabatan Pertanian Segamat tiba di SMK LKTP Pemanis jam 7.30 pagi. Pelajar
berbaris dan menuju ke bas. Pelajar dibantu dengan staf-staf untuk menyusun
beg-beg di bahagian bonet bas. Apabila pelajar sudah menaiki bas dan duduk
dengan selesa. En Azuan iaitu Pegawai dari Pejabat Pertanian Segamat selaku
ketua rombongan telah memberi taklimat perjalanan kepada kami semua. Doa pun
dibacakan. Bas bertolak jam 7.45 pagi.
Perjalanan
baru masuk satu jam telah menimbulkan pelbagai reaksi dari pelajar-pelajar. Ada
antara mereka yang masih berbual dan ada yang telah lena dibuai mimpi. Setelah
dua jam perjalanan, kami berehat sebentar di hentian rehat dan rawat (RnR)
Seremban. Kami diberi masa selama setengah jam untuk bersarapan dan berehat.
Selepas itu, perjalanan diteruskan ke Taman Botani, Shah Alam. Kami tiba di
situ jam 12.30 tengahari. Taklimat mengenai Taman Botani telah disampaikan oleh
pegawai yang bertugas di situ iaitu Cik Syima.
Cik
Syima telah membawa kami menaiki bas Taman Botani ke beberapa tempat yang
menarik di situ antaranya Taman Herba, Taman Haiwan dan banyak lagi. Kami
diturunkan di Taman Herba. Di situ kami telah diberi tugasan untuk mencari 10
jenis tumbuhan herba. Kami di arah untuk mencatat nama saintifik tumbuhan herba
dan kegunaannya. Kami bergambar di situ. Seterusnya, kami ke Taman Haiwan. Semasa lawatan di situ, yang paling
menggelikan hati kami semua apabila burung kakak tua di situ telah mengajuk
kata-kata kami. Seterusnya, di Taman Botani tersebut juga mempunyai dua ekor
kucing yang comel dan gebu. Hal ini membuatkan CIk Normah teruja untuk
melihatnya.
Selepas
itu, kami semua dibawa melintasi jambatan gantung. Di pertengahan jambatan
gantung, sebahagian pelajar sempat menggegarkan jambatan untuk menakutkan
pelajar lain yang ingin melintasi jambatan. Dalam ketakutan mereka, timbul
reaksi gelak ketawa yang memeriahkan lagi suasana Taman Botani tersebut.
Setelah itu, kami berkumpul untuk menunggu bas. Hujan renyai-renyai membuatkan
kami agak dingin dan sejuk. Kami tak berkesempatan untuk melawat Rumah 4 Musim
kerana sedang diselenggara. Setelah bas sampai, kami terus menaiki bas tersebut. Lutut kami terasa lenguh
sekali. Sebelum pulang kami berkumpul untuk bergambar sekali lagi. Sebelum
pulang, kami telah mengucapkan terima kasih kepada Kak Syima kerana sudi
menerima kunjungan kami di situ. Lawatan pertama kami itu tamat jam 2 petang.
Perjalanan
diteruskan ke Tanah Tinggi Cameron Higland. Setelah 30 minit perjalanan, kami
berhenti di Hentian Rehat dan Rawat Rawang untuk makan tengahari. Selepas perut
kami diisi, perjalanan yang panjang diteruskan. Perjalanan ini mengambil masa
kira-kira 7 jam untuk sampai. Sepanjang perjalanan menaiki Tanah Tinggi Cameron
Highland tersebut, semua pelajar berada dalam keadaan senyap kerana ada yang
berasa pening, loya dan berasa tidak selesa. Akhirnya, kami tiba di Hotel Rosa Passadena jam 9.30
malam. Tuan Haji Muzafar memberi kad bilik kepada ketua-ketua bilik yang
dilantik. Beliau juga berpesan agar solat terlebih dahulu sebelum tidur.
Selepas solat pelajar terus berehat.
HARI KEDUA
Seawal
jam enam pagi,pelajar bersiap dan bersolat. Pada jam enam pagi, pelajar
berkumpul di lobi hotel untuk bersarapan. Pelajar menikmati sarapan tersebut
dengan begitu berselera. Perjalanan pada hari kedua bermula jam 8.15 ke Taman
Agro Al – Mashoor iaitu kebun penanaman strawberi. Seorang pegawai Pejabat
Pertanian Daerah Cameron Highland iaitu Encik Aidil telah mengiringi kami pada
lawatan hari kedua tersebut.
Kami
tiba jam 9.30 pagi. Di situ kami didedahkan kaedah tanaman strawberi. Ia
ditanam tidak menggunakan tanah malah ia digantikan dengan cocopit iaitu sabut kelapa. Buah strawberi dapat dikutip dengan
penghalisan sebanyak 1 kg dalam tempoh satu tahun. Selepas itu, pelajar diberi
tugasan untuk mencatat cara penanaman buah strawberi, jenis-jenis strawberi dan
lain-lain.
Kemudian,
pelajar membeli belah di situ, antaranya ialah teh strawberi, coklat strawberi,
dan lain-lain. Pelajar juga dapat menikmati strawberi yang dicelup coklat
panas. Rasanya sungguh enak. Semua sisa – sisa coklat yang ada dihabiskan oleh
mereka. Lawatan di Taman Agro Al Mashoor tamat jam 10.05 pagi.
Lawatan
kami diteruskan ke MARDI iaitu di Taman
Agroteknologi pada jam 10.15 pagi. Di situ kami pergi ke beberapa tempat yang
menarik. Kami telah melawat tempat-tempat lain antaranya Taman Kaktus, Taman
Bunga Ros dan lain-lain. Kami melihat beberapa tumbuhan yang ada di situ. Di
MARDI juga, kami telah diberi tiga tugasan sekali gus iaitu mencatat nama
tumbuhan berpasu, nama bunga-bungaan dan tanaman dapur. Kami menjumpai
nama-nama tumbuhan yang agak pelik yang selalu tidak pernah dijumpai. Kami juga
telah didedahkan dengan teknik hidroponik tumbuh-tumbuhan yang ada di Cameron
Highland. Antara teknik yang digunakan ialah takungan, aliran dan berbantal.
Kami
juga telah melawat tempat ataupun kilang memproses daun teh. Kami melihat
pelbagai mesin-mesin yang digunakan di situ. Lawatan kami dihentikan seketika
kerana ingin solat dan makan.
Perjalanan
diteruskan ke Big Red Strawberry Farm. Di situ kami melihat pelbagai jenis
sayur-sayuran. Paling menarik perhatian kami, salad yang terdapat di situ
dibekalkan ke restoran McDonald di seluruh Malaysia. Hal ini kerana salad yang
tumbuh di sana agak segar.
Perjalanan
yang terakhir pada hari kedua ialah kami dibawa melawat ladang teh di sana.
Suasana di sana sungguh nyaman. Kami diberi masa selama satu jam untuk berehat,
bergambar dan menikmati suasana yang nyaman di situ. Kami sempat menjamah
secawan teh Cameron Highland yang segar dan menyelerakan. Lawatan pada hari
kedua tamat jam 4.52 petang. Kami bertolak ke hotel jam 5 petang.
Pada
belah malam pula, selepas kami makan malam, jam 8.45 malam kami berkumpul untuk
melakukan brainstorming untuk
membincangkan ataupun merumuskan segala informasi dan juga catatan yang telah
dilakukan. Hal ini dilakukan bertujuan membentuk prinsip kepimpinan di dalam diri.
Program ini berakhir jam 9.45 malam. Peserta dikehendaki tidur awal agar dapat
rehat yang secukupnya.
HARI KETIGA
Hari
yang terakhir di Cameron Highland. Pelajar bangun dan bersiap seawal 6 pagi.
Pelajar turun bersarapan jam tujuh pagi. Checkout
dari hotel jam 7.50 pagi. Semua pelajar berkumpul di luar hotel sebelum
menaiki bas. Kami bertolak ke ladang limau bali, Tambun jam 8.30. Belum sampai
satu jam perjalanan, sebahagian pelajar yang masih lagi penat menyambung
rehatnya dengan tidur.
Setelah
dua jam perjalanan, kami tiba di ladang tersebut jam 10.36 pagi. Encik Shafe Azally wakil pegawai
teknikal jabatan pertanian dari Pejabat Pertanian Daerah Kinta telah mengiringi
kami ke ladang tersebut.
Pemilik
ladang tersebut, En Chin telah menerangkan kualiti limau bali yang berada di
Tambun. Dia menyatakan bahawa limau bali yang diusahakan di Tambun mendapat
maklum balas yang baik daripada pengunjung atau pelancong yang pergi di situ.
Hal ini kerana limau bali yang ditanam di Tambun bukan sahaja isinya besar
malah isinya juga berasa manis berbanding limau bali yang terdapat di
negeri-negeri lain.
En
Chin telah membawa kami melawat ke sekeliling ladang. Dia juga member amaran
agar jangan menyentuh buah itu kerana khuatir buah itu telah disembur oleh
racun perosak. En Chin juga telah memberi kami rasa limau bali yang ditanam
disitu. Ternyata rasanya seperti yang dikatakan. Ianya manis dan isinya tebal
yang membuatkan kami tak henti-henti mengambil sehingga dua ke tiga kali kerana
tidak cukup hanya mengambil seulas. Para peserta berkesempatan membeli limau
bali untuk dibawa pulang.
Sebelum
pulang, Tuan Haji Muzafar wakil rombongan menyampaikan cenderamata kepada En
Chin. En Shafe pula menyampaikan saguhati kepada wakil Pejabat Pertanian
Segamat. Program pada hari itu tamat jam 11.45. Perjalanan pulang terus ke
Segamat dan kami selamat sampai di SMK LKTP Pemanis jam tujuh petang.
Laporan disediakan oleh
Muhammad Azhari Bin Imran
Kelab Inovasi dan Rekacipta
Kelab Inovasi dan Rekacipta
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Dialu - alukan untuk memberikan sebarang komen atau maklumbalas. Terima kasih! :)