Rabu, 29 Oktober 2014

[116] Kursus Pengurusan Jenazah Untuk Generasi Z





Sijil Penghargaan dari Pengarah,
Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor
Pada hari Rabu, 29 Oktober 2014 telah diadakan Kursus Pengurusan Jenazah Untuk Generasi Z di SMK LKTP Pemanis. Program adalah anjuran bersama Pusat Pembangunan Belia Daerah Segamat (dibawah Kerajaan Negeri), Persatuan Belia G2 Felda Pemanis, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), SMK Pemanis dan Masjid Felda Pemanis Dua. 

Ia telah dikendalikan oleh Tuan Imam Mohamad Haji Husin dan Tuan Bilal Haji Kamari. Dua orang tokoh ini merupakan orang yang banyak pengalaman dan kemahiran di dalam pengurusan jenazah di Felda Pemanis amnya, dan Pemanis Dua khususnya. Tuan Imam dan Bilal telah memberikan sedikit teori dan menjalankan amali 3 dari 4 perkara yang wajib disempurnakan apabila seorang Muslim itu meninggal dunia.

Ini merupakan kali kedua ia diadakan. G2 pernah mengadakan Kursus Pengurusan Jenazah 2010, kira - kira 4 tahun lalu. Modelnya ketika itu adalah Zul Azli Muji dan diadakan di Masjid Felda Pemanis Dua.

Generasi Z, mereka yang lahir lewat tahun 1990 - an dari kelompok pelajar Tingkatan 3 (Batch 1999) telah dipilih untuk mengikuti program ini. Mereka baharu sahaja selesai menjalani Penaksiran Tingkatan 3 atau PT3.













Majlis Penutup telah disempurnakan oleh Cik Syammiah Daud, Ketua Unit Modal Insan, Pusat Pembangunan Belia Johor (JOYDEC - Johor Youth Development Centre). Terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan program ini. Semoga ada ilmu yang dapat kita perolehi.

Persatuan Belia G2 merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih  semua. SMK Pemanis sebagai tuan rumah. Pusat Pembangunan Belia Daerah Segamat, Pusat Pembangunan Belia Johor (JOYDEC), Tuan Imam Mohamad Haji Husin, Tuan Bilal Haji Kamari, Zura dan rakan - rakan, Cik Syammiah Ketua Unit Modal Insan JOYDEC, Ustaz Mutti dan Ustazah. Paling bernilai untuk adik - adik Batch 1999 SMP. Cikgu Rohaya GPK 1 dan paling berani tentunya model jenazah iaitu Makkah. Rakan - rakan G2 yang sentiasa berikan sokongan. Kita telah sempurnakan pemindahan ilmu Fardhu Kifayah. 

Di belakang tabir, Amin dan Fazrul Razi menyiapkan sijil - sijil penyertaan kursus. Azhairel dan Hafizan sebagai urusetia teknikal.


 

Gambar - gambar penuh boleh dilihat di sini : Kursus Pengurusan Jenazah

Manakala berikut adalah 4 klip video sepanjang program yang sempat dirakam.





Isnin, 27 Oktober 2014

[115] - 27 Oktober 2014 : Ulang Tahun Pendaftaran G2

SELAMAT ULANG TAHUN PENDAFTARAN G2 - 27 Oktober 2014

Pada tahun 2007, Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Akta 668) telah diluluskan oleh Parlimen, diperkenankan oleh Yang Di Pertuan Agung dan diterbitkan di dalam Warta Kerajaan. Akta 668 ini telah mewujudkan Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia yang berperanan untuk melaksanakan Akta 668 tersebut. Selama dua tahun, 2008 dan 2009, semua Pertubuhan Belia diberikan masa untuk menyusun semula organisasi mereka bagi disesuaikan menurut Akta 668 ini. Semua Pertubuhan Belia sebelum ini adalah didaftarkan menerusi Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) yang dikuatkuasakan oleh Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS), Kementerian Dalam Negeri. Ia sama seperti pendaftaran NGO lain termasuk Parti Politik. Namun begitu, dengan pengwujudan Akta 668 yang khusus untuk Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia ini, semua Pertubuhan Belia diasingkan pendaftarannya daripada Akta 335 ROS ini.

Sehubungan itu, dalam tempoh dua tahun (2008 dan 2009) itu, banyak organisasi belia berpindah pendaftaran dari Akta 335 ROS ke Akta 668 ROY. Sehingga ke hari ini, statistik terkini ROY menunjukkan terdapat 9,285 buah Pertubuhan Belia Berdaftar seluruh Malaysia yang telah diluluskan permohonan atau pemindahan pendaftaran oleh Kerajaan Malaysia semenjak 2008. Jumlah Pertubuhan Belia yang membuat permohonan mendaftar pula adalah sebanyak 10,782 buah.

Persatuan Belia G2 Felda Pemanis merupakan salah satu dari 9,285 buah Persatuan itu, dengan nombor pendaftaran PPBM 5436 / 09 yang diluluskan pendaftaran di bawah Akta 668 ROS pada 27 Oktober 2009.


SELAMAT ULANG TAHUN PENDAFTARAN G2! - 27 Oktober 2014. 
Generasi Merentas Sempadan.
Semoga terus utuh sebagai sebuah organisasi sukarela.

Mengimbas Kenangan :


Gambar di atas adalah Pegawai dan Ahli Jawatankuasa Pertama untuk Persatuan Belia G2 Felda Pemanis setelah diluluskan pendaftaran oleh Pendaftar Pertubuhan Belia. Gambar dirakam setelah selesai Mesyuarat Agung Tahunan Bilangan Pertama pada Januari 2010, setelah lulus pada Oktober 2009.

Dipilih dalam Mesyuarat Agung tersebut adalah : Dua orang Pegawai (Pengerusi dan Naib Pengerusi) dan 7 orang Ahli Jawatankuasa. 


Selasa, 21 Oktober 2014

[114] Persembahan Zapin Untuk Jamuan Syarikat ISB Sdn Bhd

Setelah bertahun tidak mengadakan persembahan di khalayak umum untuk majlis - majlis, adalah sesuatu yang mengujakan untuk melihat Kumpulan Zapin kembali beraksi. Latihan demi latihan yang diadakan secara intensif adalah bertujuan untuk mengasah kembali kemahiran berzapin dan mendidik generasi baharu untuk mahir dalam seni tari budaya ini.

Isnin, 20 Oktober 2014 jam 6.15 petang di Hotel VIP, Segamat. Terima kasih kepada Syarikat ISB Sdn Bhd yang percaya kepada kami, menjemput kami dari Seri Manis 2 untuk menyerikan majlis mereka. Tentunya terima kasih kepada Encik Afizan Imran, salah seorang staf ISB yang menawarkan kami untuk beraksi. Terima kasih juga kepada Encik Rahman dari ISB yang mengurus kami semasa di majlis tersebut.

Imbas kembali sedikit gambar semasa sesi latihan sebelum diadakan persembahan. 10 orang, 5 lelaki dan 5 perempuan dengan jurulatihnya Saudara Mohd Firdaus Zainal, yang mula mengenali zapin sejak berusia 11 tahun. Kini merupakan seorang mahasiswa Ijazah tahun 2 di Universiti Malaysia Terenggganu.




Dan, ini gambar - gambar ketika kami bersiap - siap untuk persembahan yang mengujakan bagi kami itu :)





Kemudian, tibalah masanya untuk melakukan persembahan. Saksikanlah. Ada gambar dan video :)








Selesai persembahan, ini yang terjadi. Haha :)







Jom makan!



Sebelum tamat, mari kita amati status yang ditulis oleh Irfan.





Selasa, 14 Oktober 2014

[113] Bengkel Pengurusan Pemimpin ARP RM Tahap Emas Negeri Johor 2014

BENGKEL Pengurusan Pemimpin Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARP RM) Tahap Emas berlangsung pada Ahad dan Isnin, 12 dan 13 Oktober 2014 di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Johor. Ia menghimpunkan Mentor ARP RM Tahap Emas yang terdiri dari guru - guru sekolah, penggerak Badan Bukan Kerajaan (NGO - Persatuan) dan Pegawai - Pegawai Rakan Muda. 

Program adalah anjuran Kementerian Belia dan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor. Persatuan Belia G2 Felda Pemanis turut bersama, sebagai salah satu Badan Operasi Program yang diberikan lesen oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.

Menerusi bengkel tersebut, Mentor ARP RM Tahap Emas dari Negeri Johor telah didedahkan dengan beberapa info bermanfaat yang dapat digunakan dalam membimbing, menyelia dan menjadi mentor kepada peserta Emas di bawah mereka.

Antaranya adalah bagaimana hendak menguruskan peserta Tahap Emas, penyediaan laporan, 'tips and tricks', pembentangan akhir dan urusan teknikal atau dokumentasi.

Bengkel ini banyak memberikan maklumat berguna dalam usaha Johor untuk terus menjadi negeri yang unggul dalam melahirkan para peserta ARP RM.








Selasa, 7 Oktober 2014

[112] Korban Aidil Adha - 3 Video Korban (2011, 2012 dan 2014)

Ibadah qurban merupakan amalan yang sangat dituntut dalam Islam. Ia  telah disyariatkan pada tahun kedua hijrah. Dalil pensyariatannya sabit  dengan al-Quran dalam surah al Kauthar ayat 2 dan surah al-Hajj ayat  36.

Hukumnya adalah sunat (sunat muakkadah). Amalan ini dilakukan oleh  umat Islam di seluruh dunia setiap tahun apabila tibanya ‘Idul Adha pada  10 Zulhijjah dan Hari-hari Tasyrik iaitu pada 11,12 dan 13 Zulhijjah - Sumber : JAKIM

Berikut adalah 3 klip video Ibadah Korban yang dilakukan di Felda Pemanis. Ia adalah antara rakaman yang sempat didokumentasikan untuk tahun 2011, 2012 dan 2014.



Ahad, 5 Oktober 2014

[111] Bengkel Audit Dalaman ARP RM Tahap Perak

Badan Operasi Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARP RM), Persatuan Belia G2 Felda Pemanis baharu sahaja selesai melaksanakan Bengkel Audit Dalaman Tahap Perak untuk pesertanya. Bengkel telah diadakan pada Sabtu, 4 Oktober 2014 yang lalu selama 3 jam di Pusat Internet 1Malaysia Felda Pemanis Satu.

Ia adalah sebahagian persediaan untuk Sesi Penilaian yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor dalam waktu terdekat ini menjelang tauliah ARP RM Peringkat Negeri. Menerusi Bengkel Audit Dalaman ini, semua dokumentasi ARP RM Peserta Tahap Perak dinilai oleh disemak dan dinilai oleh panel dalaman G2 yang juga merupakan bekas peserta ARP RM dan Peserta Tahap Emas. Mana - mana kesilapan dan kekurangan dalam pendokumentasian, diperbetulkan. 

Bengkel Audit Dalaman ini dikendali dan diselaraskan oleh Mentor merangkap Ketua Jurulatih Program ARP RM G2.

Dalam masa yang sama, G2 juga melaksanakan pendaftaran untuk peserta Tahap Emas. Semua peserta yang telah melepasi Tahap Perak dan akan melepasinya (menerusi Kumpulan 2014 yang diaudit ini) telah  diberikan taklimat untuk sasaran ke Tahap Emas dan borang pendaftaran Tahap Emas. 







G2 juga akan mengubah strategi perlaksanaan ARP RM mulai tahun depan dengan penumpuan kepada peserta Tahap Emas, di samping cuba untuk mewujudkan rangkaian permentoran bagi peserta baru Tahap Gangsa dan Perak. 

Bengkel ini telah disertai oleh kira - kira 20 orang peserta Tahap Perak ARP RM dan 5 orang fasilitator selaku penilai dalaman iaitu Encik Hanafie Hasim (Pengerusi Persatuan), Encik Mohd Syawal Baharudin (Naib Pengerusi Persatuan), Encik Azizi Abd Rahim (Ahli Lembaga Penasihat Persatuan), Encik Mohd Firdaus Haji Zainal (Exco Persatuan, Peserta Tahap Emas) dan Encik Mohd Hazizi Jemiran (Exco Persatuan, Bekas Peserta ARP RM)

Gambar - gambar penuh Bengkel ada di Facebook Belia Felda Pemanis menerusi album gambarnya di sini.


G2 mengucapkan terima kasih kepada Encik Iftitah Ishak, Pengurus Pusat Internet 1Malaysia Felda Pemanis Satu di atas kerjasama menyediakan tempat untuk bengkel ini dilaksanakan.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...