CATATAN
PENGALAMAN
GERAKAN
MISI BANTUAN SUKARELAWAN INTERVENSI KRISIS PASCA BENCANA (BANJIR)
KE KAMPUNG KEMUBU,DABONG,
KUALA KRAI, KELANTAN
Catatan Pengalaman oleh
MOHD AZHARI IMRAN
Peserta ARPRM Tahap Emas Persatuan Belia G2 Felda Pemanis
Pada
19-21 Feb 2014 yang lepas, Persatuan Belia G2 Felda Pemanis bersama Jabatan
Belia Sukan Johor telah melaksanakan program gerakan misi bantuan sukarelawan
ke kampung Kemubu di daerah Dabong, Kelantan. Program ini disertai oleh 12
orang sukarelawan lelaki dan 3 orang sukarelawan wanita. Empat orang lelaki
daripada 12 sukarelawan itu adalah dari G2. Program ini dilaksanakan adalah
bertujuan untuk merawat psikologi mangsa di sana yang masih trauma dan
menunjukkan keprihatinan kepada mangsa yang terlibat.
19 Februari
2014 (Hari Pertama)
Semua
sukarelawan dikehendaki berkumpul di Pejabat Belia Sukan daerah Segamat(PBSS)
jam 6 petang. Terdapat sukarelawan yang hadir dari daerah Kulai dan Mersing.
Kami belia G2 yang terdiri daripada Encik Armizam, Encik Azizi, Firdaus Zainal dan
saya, Azhari Imran bertolak dari Felda Pemanis jam 5.30 petang. Setelah siap
mengatur barang di dalam boot kereta, kami bertolak ke Pejabat Belia Sukan
dengan berhati-hati. Sepanjang perjalanan, kami terpaksa berhimpit seketika di
kerusi belakang kerana sarat dengan barang Firdaus Zainal yang hendak memulakan
sesi pembelajaran di UMT bagi semester seterusnya. Setelah tiba di PBSD Segamat,
Encik Ibrahim iaitu Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Segamat (Pegawai
Rakan Muda Daerah Segamat) telah menyambut kami dengan senyuman yang mesra.
Setelah sampai, kami menurunkan barang untuk dipindahkan ke van Jabatan Belia
Sukan.
Sementara
menunggu pegawai dari daerah lain sampai, kami menjamu selera yang telah
disediakan iaitu nasi ayam penyet. Kami mengisi perut kami sehingga tiada lagi
ruang untuk nasi itu masuk ke dalam perut kami. Alhamdulillah, sangat kenyang
malam itu. selepas itu kami menunaikan solat maghrib. Selepas selesai, kami
diberi taklimat oleh Encik Ibrahim tentang tentatif dan objektif program yang
ingin dijalankan. selepas selesai menyusun barang-barang bantuan ke dalam van,
kami bertolak ke Taman Yayasan untuk pelepasan oleh YB Anuar Manap, Ahli Parlimen Sekijang. Sementara
menunggu YB sampai, kami mengisi minyak kenderaan bagi meneruskan perjalanan.
Ketika ini, saya ingin menceritakan kisah lucu dimana saya disuruh untuk
mengisi minyak. Selepas saya masukkan nozel pam minyak kedalam tangki, saya pergi
membayar ke kaunter. Selepas itu saya terus masuk ke kereta kerana menyangkakan
Encik Armizam sudah mencabut nozel tersebut. setelah itu, kereta pun bergerak.
Tiba-tiba satu bunyi seperti tin aluminium jatuh dan semua menoleh kebelakang.
Kami berempat terkejut kerana nozel pam minyak itu tercabut dari pam dan masih
terpasang pada tangki minyak kereta itu. semua tertawa menyaksikan kecuaian
saya. Saya segera keluar dari kereta dan mencabut nozel tersebut dan ingin
kembalikan ke tempat asalnya. Pekerja di situ membantu saya sambil turut
tertawa. perasaan malu dalam diri saya ketika itu menyusup dari kepala sampai
ke kaki.
Malam
itu konvoi kami dilepaskan oleh YB Anuar Manap jam 10 malam. Perjalanan
sepanjang 8 jam ini diketuai oleh Encik Ibrahim. Hal ini kerana beliau telah ke
sana sebulan yang lepas dalam misi bantuan bersama pihak lain.
20 Februari
(Hari Kedua)
Bagi
memendekkan perjalanan yang jauh, kami menggunakan Lebuhraya Pantai Timur (LPT)
yang baru sahaja dibuka awal tahun ini. Perjalanan di LPT mengambil masa hanya
dua jam ke Kuala Terengganu. Sedang asyik memandu, Encik Ibrahim telah terlajak
untuk memasuki persimpangan Ajil. Kami terpaksa berpatah balik untuk menemukan
persimpangan itu semula. untuk berpatah balik menggunakan jalan yang betul
mengambil masa yang lama dan juga akan menggunakan minyak yang banyak. Kami
semua nekad untuk berpatah balik dengan melawan arah. Keadaan tenang malam itu
sedikit melicinkan perjalanan kami dan dengan tiba-tiba peronda LPT telah
menahan kami dan Encik Ibrahim telah berunding. Alhamdulillah, kami dilepaskan
daripada sekatan itu tanpa denda dan saman.
Perjalanan
diteruskan lagi sehingga ke Felda Chiku dan kami berhenti berehat dan solat
subuh di situ. Jarak antara Chiku dengan Dabong tidaklah jauh sangat sekitar 4
jam perjalanan. kami teruskan perjalanan sehingga sampai ke daerah Dabong jam 9
pagi. Kami terus menuju ke surau untuk berjumpa dengan Abg Din. Di situ juga,
kami berjumpa dengan ketua kampung dan setiausaha JKKP kampung tersebut. Encik
Ibrahim telah menerangkan tentang tentatif program sepanjang kami di situ.
Program itu akan bermula selepas solat Jumaat. Sementara menunggu solat Jumaat,
kami berehat di rumah penginapan yang telah disediakan Abg Din.
Misi
kami bermula jam 3 petang. Encik Ibrahim telah bahagikan beberapa kumpulan. Kami
memberi bantuan kepada mangsa-mangsa di situ. Bantuan dari kami berbentuk kit
kebersihan diri seperti bedak, alatan wangian, alat pembersih diri dan
lain-lain. Sepanjang ziarah kami di kampung itu, kami mendengar luahan hati
dari penduduk situ dan apa yang membanggakan kami adalah mereka mengatakan yang
pasukan dari Johor merupakan pasukan yang paling ramai datang membantu
membersihkan kawasan itu. Kami selesai
agenda kami yang pertama pada petang itu dalam lingkungan 5 petang.
Program
kami seterusnya adalah mengadakan sesi bersama kanak – kanak. Saya dan Firdaus
dikehendaki untuk mengendalikan slot ini. Antara aktiviti yang telah kami
aturkan adalah mewarna dan sukaneka berbagai acara. Antara acaranya adalah
mencari “cekelak” (gula-gula) di dalam tepung, masukkan air ke dalam botol
menggunakan straw dan juga melempar getah ke dalam cawan. kami menjangkakan
hanya dalam lingkungan 40 – 50 orang kanak-kanak sahaja tetapi kanak-kanak yang
hadir pada petang itu mencecah dalam 70 – 80 orang. Sambutan yang amat
menggalakkan. program pada hari kedua tamat pada jam 7 malam.
Sesi
ini bertujuan untuk menghiburkan kanak – kanak dan melarikan mereka dari trauma
yang dahsyat setelah bencana melanda. Ia juga dengan harapan agar kanak – kanak
tersebut kekal positif untuk terus hidup.
Pada
malam itu kami berehat dan melakukan aktiviti sendiri. Kami dari G2 mengambil
peluang ini untuk ke pekan Jeli untuk bersiar-siar. Kami pulang ke rumah
penginapan jam 10 malam.
21 Februari
2014 (Hari Ketiga)
Kisah
hari ketiga dan terakhir kami di kampung itu bermula jam 6 pagi. Kami bersiap
dan solat Subuh. selepas itu, anak saudara Abg Din telah menghantar sarapan
untuk menjamu kami. selepas selesai bersarapan kami pun bersiap sedia dan
berkemas kerana selepas program hari itu, kami akan terus bergerak pulang.
Dalam keadaan sibuk bersiap, seorang pakcik telah datang ke rumah penginapan
kami dan beliau telah menjemput kami untuk datang ke rumahnya. Setelah siap
mengemas barang ke dalam kenderaan masing-masing, kami pun pergi ke rumah
pakcik yang menjemput kami tadi.
Setelah
sampai ke rumah pakcik itu tadi, kami disambut dengan mesra. pakcik itu
menceritakan kisah dan pengalaman ketika menghadapi banjir tempoh hari. paras
air yang memasuki rumah pakcik itu hampir menenggelamkan seluruh rumahnya.
sambil pakcik itu menceritakan kisah pengalamannya itu, kami dijamu dengan roti
canai dan kuah kari yang dibuat sendiri. Selepas selesai menjamu selera, Encik
Ibrahim selaku wakil kami telah menyerahkan sumbangan berbentuk al-Quran dan
kit pembersihan diri. Selepas itu, kami bergerak ke tempat perumahan pegawai
keretapi daerah Dabong yang berhampiran di situ. Di situ merupakan tempat yang
terakhir bagi misi kami kali ini. Selepas selesai, kami pun bersurai. Bagi
kumpulan G2, kami ke Kuala Terengganu bagi menghantar Firdaus pulang ke
kampusnya.
Kami sampai di Felda Pemanis pada jam 01.30 pagi, Ahad 22 Februari 2015.
Kesimpulan
yang dapat saya ungkapkan bagi misi kali ini adalah walau dimana pun kita
berada nikmat Allah itu tetap turun. hanya kita sebagai manusia yang tidak tahu
bersyukur dengan nikmat-Nya. saya memetik kata-kata imam yang berkhutbah di
masjid di kampung itu ketika solat Jumaat adalah “dalam musibah tu ada nikmat,
dan kalau kita tak bersyukur dengan nikmat tu, kita akan ditimpa musibah pula.”
Harapan saya kepada belia di luar sana, sertailah program sukarelawan seperti ini agar kita tahu betapa susahnya untuk tabah apabila menerima ujian dan dugaan dari Allah. Ingatlah, bukan senang nak senang dan bukan susah nak susah.
***
Gambar - gambar penuh di Album Gambar Facebook Belia Felda Pemanis
Berikut adalah 5 klip video yang sempat dirakam sepanjang program berlansung.