Pengalaman Bermakna Saya Untuk Projek Penempatan
oleh Hamka Arshad
Hamka Arshad, hitam manis dan rajin bercakap, 17 tahun, merupakan peserta ARPRM - DofE Tahap Emas dari Persatuan Belia G2 Felda Pemanis. Beliau boleh dihubungi menerusi Facebook dan Instagram.
Pada
tarikh 20 Mac 2017 sehingga 25 Mac 2017,
saya bersama dua orang rakan seperjuangan saya iaitu Kamsari Subroto
selaku ketua projek dan Muhammad Irfan sebagai bendahari projek manakala saya
pula ditugaskan sebagai setiausaha dalam Projek Penempatan Siri 7 pada kali
ini. Kami bertiga di bawah naungan Persatuan Belia G2 Felda Pemanis membawa
misi ke suatu tempat yang telah memberi banyak pengalaman yang bermakna kepada
kami bertempat di Kampung Paya Besar, Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Antara
saat yang paling saya terharu sebelum saya berangkat ke tempat yang ingin saya
jalankan projek ini ialah ketika saya
kekurangan wang ringgit untuk dibelanjakan pada projek kali ini, hal ini kerana
setiap ahli perlu menyediakan wang sebanyak RM500 untuk mengelakkan daripada
berlakunya perkara yang tidak akan dijangka. Saya mengambil upah kerja sambilan
untuk menambahkan kos kewangan diri saya tetapi ia masih tidak mencukupi.
Justeru, ibu dan bapa saya dengan rela hatinya ingin membantu saya dengan
meminjamkan wang daripada rakan karibnya sebanyak RM200 untuk saya gunakan
sepanjang projek kali ini. Hal ini kerana, ibu bapa saya ingin saya berjaya
mengendalikan projek itu dengan baik bersama ahli projek yang lain. Disitulah
saya melihat betapa besarnya pengorbanan seorang ibu dan bapa demi melihat
anaknya berjaya.

Antara
pengalaman yang menarik bagi saya ialah saya dan rakan saya dapat belajar cara
bermain sepak takraw dengan betul oleh Abang Duan dan orang kampung. Mereka
mengajar kami teknik sepakan yang betul semasa kami bermain. Sebelum ini, saya
sudah lama ingin belajar bermain sepak takraw dan akhirnya hajat saya tercapai
disebabkan orang kampung sudi ingin mengajar kami. Saya belajar bermain di
posisi ‘Killer’. Pada mulanya agak susah untuk bermain di posisi itu, namun
saya terus berusaha sehingga saya mahir.
Selain
itu, antara pengalaman yang bermakna sepanjang Projek Penempatan Siri 7 pada
kali ini ialah saya dan dua orang rakan seperjuangan saya dapat bersama-sama
dengan orang kampung pergi menembak ikan di sungai pada waktu malam pada malam
kedua kami berada di situ. Sebelum ini, saya tidak pernah melakukan sebarang
aktiviti air di sungai pada waktu malam tetapi semasa projek penempatan itu
saya sendiri dapat merasai aktiviti itu bersama orang kampung dengan jayanya.
Kami menaiki motorsikal bersama orang kampung dan menuju ke sungai bersama-sama
pada awalnya, kemudian pergi turun ke sungai untuk menembak ikan. Tetapi saya
tidak pandai berenang di tempat yang dalam untuk mencari ikan lalu mengambil
keputusan untuk menolong Abu, salah seorang remaja di kampung itu memasak nasi
kerana selepas menembak ikan kebiasaannya mereka akan bakar ikan itu dan makan
bersama. Makanan itu dipanggil ‘Nasi Sungai’. Selepas hasil ikan yang ditembak
dibawa naik dan dibakar, kami makan bersama-sama sambil mencicahkan ikan itu
kepada budu agar rasanya lebih sedap.
Seterusnya,
proses pembuatan wau juga diantara pengalaman yang bermakna dan menarik bagi
saya. Pada awal pagi lagi, Abang Duan dan isterinya Kak Ca membawa kami masuk
ke hutan yang berdekatan untuk mencari buluh yang betul dan sesuai untuk
membuat rangka wau. Selepas mencari buluh, beliau mengajar kami cara-cara untuk
meraut buluh dengan betul untuk dijadikan rangka wau. Kami juga telah di bawa
ke rumah Pak Mat, salah seorang tukang ukir yang berpengalaman di kampung itu
untuk kami belajar daripadanya cara untuk melukis corak untuk diletakkan pada
wau. Saya amat kagum dengan kehebatan Pak Mat melukis corak untuk diatas wau
kerana beliau seorang yang sangat teliti dengan setiap perkara yang dilakukan
dan menampakkan kekemasan beliau melukis corak tersebut. Apabila wau sudah
siap, saya pula diajar cara untuk menaikkan wau. Untuk pengalaman yang pertama
ini, saya gagal untuk menaikkan wau saya. Tetapi atas usaha saya dan dibantu
oleh Abang Duan, akhirnya saya berjaya menaikkan wau saya . Orang kampung juga
tidak terkecuali untuk memberikan ilmu kepada saya lalu mereka mengajar saya
mengendalikan wau dengan betul. Pada mulanya, mereka mentertawakan saya
mungkin kerana pergerakan saya yang
kekok tapi lama-lama mereka sendiri senyum melihat bakat saya. Perkara ini
telah mengajar saya bahawa setiap perkara yang kita lakukan dengan usaha yang
gigih, ia pasti akan membuahkan hasil.
Kesimpulannya,
saya amat menyukai penduduk kampung itu. Banyak perkara dan pengalaman yang
saya pelajari disana. Terima kasih kepada Poklang dan Umi sekeluarga kerana
menjaga saya dengan baik. Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam
menjayakan Projek Penempatan Siri 7 pada kali ini. Budi dan jasa semua, saya
doakan Allah balas dengan keberkatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Dialu - alukan untuk memberikan sebarang komen atau maklumbalas. Terima kasih! :)