Selasa, 10 September 2019

[413] Penerima Emas ARPRM G2 Sesi 2019 - Biodata, Catatan dan Video

Berikut adalah biodata dan video penerima Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda - The Duke of Edinburgh's International Award (ARPRM - DofE) Tahap Emas (Gold Standard) dari Persatuan Belia G2 Felda Pemanis untuk sesi 2019.

Syabas dan tahniah buat 7 orang penerima 2019 yang menjadikan sebagai penerima ke 23 hingga 29 sepanjang sejarah #15TahunARPRMG2



EMAS 23
MUHAMMAD AFFIF HAZIQ BIN MALIK


"Dari Tahap Gangsa sehingga mencapai Emas, saya dapat mengenal pasti kebolehan dan kelemahan yang ada dalam diri saya. Juga secara tidak langsung banyak memberikan peluang dan ruang untuk saya menambah ilmu hidup yang dapat membantu saya pada masa akan datang. Ia juga dapat membuka mata saya dengan melihat keindahan alam semulajadi ini melalui aktiviti penjelajahan lasak. Saya juga dapat menimba ilmu baharu iaitu komunikasi yang dapat menjadikan saya lebih yakin dan berani."
Muhammad Affif Haziq bin Malik, 17 tahun, merupakan seorang cucu peneroka Felda Pemanis 2, anak kepada pasangan Malik bin Mohd Nor dan Norhidayu binti Samat. Beliau muncul sebagai Emas ARPRM - DofE dari G2 yang ke 23 dalam sejarah 15 tahun ARPRM G2.
Seorang Timbalan Ketua Pengawas SMK LKTP Pemanis, Pengerusi Unit Beruniform Kadet Polis dan Naib Pengerusi Kelab STEM+.
Memulakan cabaran tahap Gangsa dan ditauliahkan pada tahun 2016, kemudian Perak pada tahun 2017. Affif kemudian meneruskan cabaran peringkat Emas sejurus tamat Perak hujung 2017 dan selesai pada Mac 2019.
Sepanjang pelaksaan program dari Gangsa ke Emas, beliau dibimbing oleh Mentor projek, Encik Armizam Abd Rahim.
Untuk Tahap Emas, beliau menyempurnakan dokumentasi rekod dan pembentangan dalam Bahasa Inggeris di bawah Mentor bersama Encik Azizi bin Abd Rahim.
Tahniah Affif untuk pencapaian Emas ARPRM - DofE pada 11 September ini di Cyberjaya




EMAS 24
NURALIAH SYAMIMI BINTI ABDUL WAHAB


Emas ke 24 G2 menulis ini :
"Sepanjang saya melaksanakan tahap Gangsa sehingga Emas, terdapat banyak perkara yang saya peroleh. Antaranya ialah saya menjadi seorang yang aktif di sekolah mahupun di luar sekolah berbanding sebelum saya mengenali dunia ARPRM . Saya dapat peluang untuk memperbaiki kemahiran berkomunikasi lebih baik lagi selepas menyempurnakan kemahiran. Saya lebih berani tampil ke hadapan untuk bercakap di hadapan orang ramai. Selain itu, saya berjaya untuk hidup dalam keadaan sumber makanan dan air yang terhad semasa melaksanakan jelajah lasak di Tahap Emas. Saya dapat memberikan sumbangan kepada komuniti seperti menjadi seorang tutor. Ia melatih saya untuk menjadi seorang warga pendidik pada masa hadapan."
Anak sulung dari 5 beradik pasangan Abdul Wahab bin Omar dan Aishah binti Sahari ini merupakan cucu peneroka Felda Pemanis 2. Nuraliah Syamimi binti Abdul Wahab, 17 tahun, akan mengambil peperiksaan SPM tahun ini di SMK LKTP Pemanis.
Mula mengenali ARPRM melalui media sosial. Beliau juga tertarik dengan ARPRM lantas melaksanakan Tahap Gangsa setelah cukup umur 14 tahun pada 2016 kerana berminat dengan pengalaman yang ditempuhi oleh makcik beliau yang pernah melaksanakannya dahulu.
Meneruskan Tahap Perak dan sempurna pada tahun 2017, beliau kemudian melangkah ke cabaran Tahap Emas dan selesai pada Mac 2019.
Di sekolah, Aliah merupakan seorang Timbalan Ketua Pengawas 2 SMK LKTP Pemanis , Pengerusi STEM +, AJK Petanque , AJK Pergerakan Puteri Islam Malaysia , AJK rumah sukan Phoenix dan Ahli Student Leader Board. Beliau bersama Affif yang juga merangkul Tahap Emas dan Nora yang sedang berjuang tahap itu banyak memenangi anugerah di dalam projek Inovasi.
Manakala menerusi G2, beliau adalah salah seorang sukarelawan di dalam Projek Sukarelawan Pendidikan #TeamTutor dan aktif dalam kegiatan penjelajahan lasak.
Tahniah Aliah untuk pencapaian ARPRM DofE Tahap Emas.


EMAS 25
SULIYZA BINTI ROSLI


Saya megenali ARPRM ini melalui seorang rakan saya yang menyertainya. Saya mula berminat untuk turut menyertai kerana sering mendengar pengalamannya semasa menyertai aktiviti-aktiviti yang diadakan.
Bermula dari Tahap Gangsa sehingga ke Tahap Emas ini, saya berpeluang turut serta dalam pelbagai aktiviti yang melibatkan masyarakat setempat seperti Projek Sukarelawan Pendidikan untuk mengajar adik-adik yang menduduki peperiksaan UPSR yang kini semakin mempengaruhi cita-cita saya. Ia juga sedikit sebanyak meningkatkan keyakinan saya untuk berkomunikasi. Selain itu, menerusi aktiviti jelajah lasak ia banyak menguji kekuatan mental saya untuk menghadapi cabaran seperti keadaan yang tidak selesa dan sumber minuman yang terhad.
Suliyza Rosli, 17 tahun, anak pasangan peneroka Felda Pemanis Satu Rosli bin Rusdi dan Salmah binti Samu memulakan cabaran Tahap Gangsa ketika di Tingkatan Dua tahun 2016. Kemudian meneruskan ke Tahap Perak pada 2017. Cabaran Emas beliau sempurna pada Mac 2019.
Beliau merupakan pelajar SMK LKTP Pemanis. Di sekolah, memegang amanah sebagai Naib pengerusi Pembimbing Rakan Sebaya, Naib pengerusi SPBT, Naib Pengerusi Kelab Bola Jaring, Penolong Setiausaha Unit Beruniform Kadet Polis, AJK Rumah Sukan Chimera dan Ahli Student Leader Board.
Beliau juga adalah sukarelawan dalam beberapa projek di bawah G2.
Tahniah Suliyza Rosli untuk pencapaian ARPRM Tahap Emas.


EMAS 26
HAIRUL ASRAF BIN ABAS


Melihat rakan-rakan turut serta menyertai pelbagai aktiviti yang diikuti dan terfikir akan kelebihan ARPRM serta melihat pencapaian-pencapaian yang diperoleh oleh rakan melalui program ARPRM, saya mengambil keputusan untuk turut sama. Berbanding rakan - rakan sebaya yang lain, saya terlewat sedikit. Tetapi itu bukan halangan untuk saya menyempurnakan ARPRM dan mencapai Tahap Emas tahun ini.
Menerusi ARPRM, saya dapat membantu diri saya untuk bercakap dengan orang luar tidak mengira bangsa kerana semasa menyempurnakan Gangsa dan Perak, komponen Kemahiran - Inovasj adalah yang sangat membantu saya ketika itu. Inovasi memerlukan tahap keyakinan yang tinggi untuk bercakap dengan orang luar terutama ketika membengangkan projek.
Hairul Asraf Abas, 20 tahun muncul Emas ARPRM G2 ke 26. Beliau merupakan anak bongsu kepada pasangan peneroka Felda Pemanis Dua Abas bin Mujar @ Mujir dan Mirsah bin Kurdi.
Asraf adalah bekas pelajar SMK LKTP Pemanis dan kemudiannya menyambung pelajaran untuk STPM di SMK Buloh Kasap. Kini beliau merupakan mahasiswa Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam bidang Pengurusan Polisi.
Beliau juga merupakan Exco Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Tingkatan Enam memegang potfolio Ketua Biro Disiplin. Semasa di SMK Pemanis, beliau amat aktif di dalam inovasi dan memenangi banyak anugerah pada peringkat antarabangsa termasuk IIID.
Sepanjang ARPRM beliau 3 tahap, Asraf adalah di bawah permentoran Encik Armizam Abd Rahim. Beliau menggalas amanah sebagai Ketua Projek Penempatan dan Ketua Projek Jelajah Lasak Tahap Emas dan Perak. Seorang yang cool dan mempunyai daya perancangan - kepimpinan, Asraf adalah satu - satunya lelaki anak jati Felda Pemanis tahun ini yang melangkah ke Ijazah Sarjana Muda.
Tahniah Asraf untuk pencapaian Emas ARPRM ke 26.


EMAS 27
MUSTAKIM ABDUL KAHAR



Anak kedua dari 3 adik beradik yang semuanya lelaki, MUSTAKIM ABDUL KAHAR membesar dan tinggal di Kg Bangas, Gelang Chin - Chin, Segamat. Beliau adalah anak kepada Encik Abdul Kahar bin Said dan Puan Norlizan bin Sumitro. Bersama dengan Persatuan Belia G2 Felda Pemanis untuk aktiviti - aktiviti kesularelaan, belia dan ARRPM, Mustakim melengkapkan perjalanan ARPRM dengan pencapaian pada Tahap Emas.
Beliau memulakan Gangsa pada tahun 2015 semasa di Tingkatan Empat ketika G2 mengadakan Sesi Taklimat ARPRM di SMK Buloh Kasap. Ketika 2015 itu, G2 bakal melahirkan Emas ARPRM pertama dalam sejarah. Seterusnya beliau sempurna Tahap Perak pada tahun 2017. Kedua - dua tahap ini adalah di bawah permentoran Tuan Haji Muzaffar Shah Ghazali.
Mengulas mengapa beliau melibatkan diri di dalam ARPRM, Mustakim yang lebih mesra dipanggil Akim di kalangan peserta ARPRM G2 berkata, "Saya mula melibatkan diri dlm ARPRM untuk mendapatkan markah kokurikulum yang tinggi. Walaubagaimanapun kemudiannya, saya mula tertarik dan berniat untuk meneruskan ARPRM ke peringkt yang seterusnya. Hal ini adalah kerana saya mula mengetahui akan kelebihan ARPRM serta pencapaiannya mampu melonjakkan diri saya untuk pergi jauh lagi."
Beliau juga menambah, "Kehilangan Mentor pada Tahap Gangsa dan Perak kerana perpindahan Tuan Haji Muzaffar ke sekolah lain tidak menghalang keinginan saya untuk menyambung ke Tahap Emas di bawah bimbingan Mentor yang baharu.
Sebenarnya, bukanlah Mentor yang baharu sangat. Saya kembali kepada Encik Armizam yang pernah saya jumpa ketika di Tingkatan Empat di SMK Buloh Kasap dan menyatakan hasrat untuk mencuba cabaran pada Tahap Emas. Beliau menyambutnya dengan baik dan hari - hari yang berikutnya menyaksikan cabaran ini berjaya saya realisasikan. Tambahan lagi, ketika itu saya berada di Tingkatan Enam dan saya berkenalan dengan Asraf dari G2 dan Felda Pemanis yang juga baharu memulakan Tahap Emas. Saya fikir, saya mempunyai rakan yang mempunyai hala perjuangan yang sama dengan saya dan ini adalah satu peluang yang amat baik. Asraf yang terlebih dahulu mempelawa saya bersamanya apabila mengetahui yang saya sudahpun mempunyai Tahap Perak."
Semasa di SMK Buloh Kasap, Akim merupakan Ketua Pengawas (2016 - Tingkatan Lima) dan Ketua Pelajar / Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Tingkatan Enam (MPPT6) dan Pengerusi Biro Disiplin untuk sesi 2017 / 2018. Sebelum itu, beliau menjadi Pengawas sekolah dari tahun 2014 lagi.
Akim juga merupakan Pengerusi Kadet Remaja Sekolah, Ketua Komandan Sekolah dan Sarjan Kadet Remaja Sekolah di samping bergiat aktif di dalam Kelab Rekacipta, Softball dan Petaque. Beliau adalah salah seorang dari yang membuat lukisan mural di dinding SMK Buloh Kasap sehingga dipertandingkan ke Peringkat Kebangsaan. Malah, Elemen Kemahiran beliau di dalam ARPRM Tahap Emas juga adalah Lukisan Artistik yang beliau pelajari dari gurunya dan tidak termasuk di dalam subjek untuk peperiksaan STPM. Dua dari 5 elemen di daalam ARPRM Tahap Emas beliau adalah di bawah bimbingan guru SMK Buloh Kasap manakala 3 elemen yang lain di bawah jurulatih Encik Armizam selaku Mentor beliau sendiri.
Beliau juga aktif di dalam Pasukan Projek Sukarelawan Pendidikan sebagai Sukarelawan Tutor Akademik dan terlibat memberi motivasi kepada para pelajar sekolah. Beliau pernah memberikan ceramah di hadapan para pelajar UiTM Jasin ketika di Tingkatan Enam.
Cemerlang di dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Akim tidak memasuki Matrikulasi atau Asasi malah menolak tawaran ke Politeknik. Beliau memilih untuk ke Tingkatan Enam dan mengambil STPM. Kini, Akim merupakan mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Maritim) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Mengakhiri temubual catatan ini, Akim mengulas, "Sepanjang saya menyempurnakan ARPRM terutamanya bagi komponen khidmat masyarakat, ianya dapat melatih diri saya untuk lebih menghargai sesuatu yang kita ada serta dikongsikan bersama orang lain. Saya juga berpegang kepada prinsip setiap keinginan dan kemahuan bermula dari usaha yang gigih."
Tahniah Akim untuk pencapaian sijil antarabangsa ARPRM - DofE Emas ke 27 dari G2 sepanjang #15TahunARPRMG2.


EMAS 28
NUR AMIRAH SYAFIQAH BINTI MOHD FAIZAL



"Saya mula mengenali ARPRM pada tahun 2013 ketika di Tingkatan 1, ketika itu saya mula menetap di FELDA Pemanis 1 bersama datuk dan nenek. Tetapi pada usia 13 tahun masih belum layak lagi untuk menyertai ARPRM. Kawan - kawan di sekolah malah sepupu saya selalu bercerita mengenai ARPRM, jadi saya berminat untuk tahu dengan lebih lanjut. Mereka memujuk untuk saya menyertai dan dari situ saya mula mengenali Encik Armizam yang membawa saya ke dunia ARPRM, kesukarelaan dan belia."
NUR AMIRAH SHAFIQAH BINTI MOHD FAIZAL, cucu peneroka FELDA Pemanis 1 merupakan anak kepada Puan Liza binti Ngadiman dan Encik Mohd Faizal bin Fadzil. Lebih mesra dikenali sebagai Mirae, beliau kini berusia 19 tahun dan merupakan mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM, Skudai), salah satu Research University. Mirae merupakan antara lepasan SPM yang cemerlang di SMK LKTP Pemanis dan Kolej Matrikulasi Johor.
Mirae memulakan catatanya dengan ayaut ini : "Sepanjang perjalanan dari Tahap Gangsa hinggalah ke Emas, saya belajar macam mana untuk menjadi '#TheSurvivor". Perkataan itu nampak senang, nampak mudah. Tetapi apabila saya rasa sendiri pengalaman daripada setiap komponen komponen yang pernah saya lakukan, ada pengalaman perit, sakit, pedih semua ada. Setiap pengalaman itu mengajar saya untuk menjadi lebih kuat. Saya seroang perempuan dan saya sukakan cabaran. Sepanjang itu juga, ARPRM mengajar saya untuk menjadi peramah, periang dan selalu mendedahkan diri kepada masyarakat. Dari sini juga, saya dapat meningkatkan keyakinan diri."
Menurut Mirae lagi, "Selain daripada akademik, pencapaian yang saya paling bangga ialah saya dapat keluar daripada kepompong hidup saya untuk sekian lamanya. Walaupun bukan dari keluarga yang senang, bukan orang yang cerdik pandai, saya berjaya 'survive' dengan adanya orang orang kuat di sekeliling saya termasuk Mentor saya yang sentiasa bersama dari awal hingga akhir perjalanan saya nanti. Saya bangga dengan apa yang saya ada dan bersyukur tak terhingga. Semoga semuanya dibawah redhaNya.
"Saya bangga dan amat bertuah kerana memiliki seorang ibu yang sepenuh hati memberikan sokongan kepada anaknya dan sentiasa berhubung dengan Mentor saya, bukan sahaja untuk urusan ARPRM tetapi untuk pandangan - pandangan terhadap diri saya dan masa depan saya."
Akhirnya, beliu menitipkan kata - kata ini, "ARPRM mengajar saya untuk memperbaiki diri saya dari semasa ke semasa. Apa yang saya kurang, saya cuba tambah. Apa yang saya ad , saya cuba tingkatkan. Saya belajar bahawa kekuatan tu bukan datang semula jadi tapi dari usaha kita sendiri. Dan saya usaha dapatkan kekuatan tu dari program ARPRM."
Tahniah Mirae untuk pencapaian bertaraf antarabangsa menerusi penarafan Emas ARPRM - DofE ke 28 sepanjang sejarah #15TahunARPRMG2



EMAS 29
IMAN NURHAQIM BIN NORRIZAM


"Pada mulanya, saya mengenali ARPRM daripada rakan - rakan, terutamanya Irfan, terlibat dalam pelbagai program sukarelawan yg telah dianjurkan oleh Persatuan Belia G2 Felda Pemanis. Saya mula tertarik dengan program sukarelawan yang banyak membantu masyarakat sekeliling selain daripada mengeratkan hubungan antara satu sama lain."
IMAN NURHAQIM NORRIZAM, 19 tahun, memulakan catatan dengan mengimbas bagaimana beliau boleh terlibat dalam program ARPRM. Iman melengkapkan Tahap Gangsa pada tahun 2016 dan kemudiannya Perak pada tahun 2017. Perjalanan ARPRM Iman lengkap dengan Emas yang disempurnakan pada Mac 2019.
Cucu peneroka Felda Pemanis Dua ini merupakan anak kepada Encik Norrizam bin Samakon dan Puan Salmah binti Ali. Iman merupakan bekas Timbalan Ketua Pengawas di SMK LKTP Pemanis dan Bendahari Kelab STEM+ kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Kolej Matrikulasi Johor (KMJ) dalam modul Sains. Di KMJ, Iman merupakan Setiausaha Kelab Softball dan bergiat aktif di dalam Kelab YADIM KMJ.
Seterusnya, Iman menambah, "Sejak mengenali ARPRM, saya dapat melaksanakan pelbagai program kesukarelawan dan meningkatkan lagi kemahiran berkomunikasi saya bersama masyarakat sekeliling. Kemahiran itu juga dapat menjadikan saya lebih rapat lagi dengan masyarakat setempat menerusi program Lantera Kasih contohnya yang dilaksanakan bagi membantu serba sedikit golongan yang kurang berkemampuan."
"Dari sudut rekreasi pula, saya dapat menambah pengetahuan dalam bersukan dengan teknik yang betul. Contohnya, dalam permainan badminton, saya dapat belajar cara permainan yang betul supaya dapat bermain ke peringkat yg lebih tinggi."
"ARPRM banyak membantu saya untuk menjadi seorang remaja yang berkualiti dan berguna kepada negara kerana kita memerlukan generasi yang lebih produktif untuk pembinaan masa hadapan yang lebih baik."
Tahniah Iman untuk pencapaian antarabangsa menerusi penarafan Emas ARPRM ke 29 di dalam sejarah #15TahunARPRMG2 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dialu - alukan untuk memberikan sebarang komen atau maklumbalas. Terima kasih! :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...