Kerana #KitaHamba
oleh Hairul
Asraf Abas
Sukarelawan Lentera
Kasih 8.0
Assalammualaikum
w.b.t, Alhamdulillah setelah sebulan kita menghadapi bulan Ramadan yang penuh
dengan pelbagai cabaran, dugaan dan rintangan akhirnya kita dapat merasai
syawal yang penuh kesederhanaan. Ramadan kali ini telah membawa kita kepada
satu norma baharu yang mana kita menyambutnya dengan penuh kesabaran dan
kesederhanaan tidak kira tingginya pangkat atau darjat, miskin mahupun kaya.
Pelbagai coretan-coretan yang terjadi sepanjang dalam bulan Ramadan ini.
Ramadan kali ini sangat memberi kesan yang penuh menginsafi diri saya sebagai
hamba dimuka bumi. Kita bukan sahaja menghadapi bencana penularan wabak Covid-19,
malah kita menghadapi kesukaran dalam pelbagai aktiviti seharian kita.
Bagi
saya sebagai seorang mahasiswa, saya bukan sahaja melihat kesan wabak ini
kepada kesihatan manusia secara kasar, saya juga melihat kesan penularan wabak
ini telah memberi kesukaran kepada masyarakat dalam menyara kehidupan terutama
mereka yang tinggal di kawasan-kawasan pedalaman. Di antara mereka ada yang
menyara kehidupan dengan hasil jualan dipinggir - pinggir jalanan yang mana
mereka bergantung terus kepada orang awam membeli jualan-jualan mereka.
Dari
situ, saya telah melibatkan diri saya dalam sukarelawan kebajikan melalui Persatuan
Belia G2 Felda Pemanis. Melalui persatuan, saya memanfaatkan masa dan tenaga
saya dalam Projek Lentera Kasih 8.0 yang mana projek ini kita membantu
golongan-golongan asnaf dan juga mereka yang terkesan daripada penularan Covid-19.
Dalam projek ini saya bersama rakan-rakan saya yang terlibat untuk
sukarelawan ini telah pergi menjejaki
kluster - kluster yang terkesan akibat Covid-19. Seramai 172 buah keluarga yang
terdiri daripada 34 buah kampung-kumpung dan diseluruh daerah telah kami temui.
Kami
membantu mereka dalam memberikan sumbangan dalam bentuk keperluan harian hasil
daripada sumbangan derma dan sedekah daripada orang ramai. Sepanjang Projek
Lentera kasih ini dijalankan dalam bulan Ramadan, perkara yang paling terkesan
adalah kemampuan sesebuah keluarga yang selama ini hidup bergantung kepada
aktiviti harian mereka tergendala akibat Perintah Kawalan Pergerakan. Beberapa
kluster yang menghadapi kesukaran dalam menyara hidup keluarga mereka sendiri.
Tersentak
dalam diri saya melihat kehidupan yang penuh daif dalam kalangan mereka yang
tinggal di pedalaman yang jauh dari kebanyakan orang bandar. Betapa sedih saya
melihat kemiskinan yang berlaku di depan mata saya sendiri. Pelbagai ragam yang
saya lihat daripada penerima-penerima sumbangan yang kami edarkan. Ada di antara
penerima yang menitiskan air mata mereka apabila saya bersama rakan saya
Persatuan Belia G2 Felda Pemanis menjejaki mereka.
Saya
juga tidak terlepas dengan kesedihan yang mereka mereka tunjukkan kepada kami.
Tetapi, kesedihan saya, saya simpannya dalam hati dan saya ceritakan dalam ini.
Bukan itu sahaja, perkara yang paling memilukan saya sepanjang menjalankan
amanah dari penyumbang-penyumbang sedekah ini adalah ada di antara
penerima-penerima ini tinggal sendirian dengan tiada kemudahan asas. Hanya
hidup bercahaya lilin di kala malam menjelma, berair sungai untuk membersihkan
diri. Saya terfikir bagaimana mereka ini hidup jauh daripada arus pemodenan
zaman, sedangkan di luar sana sudah bercahaya di bawah mentol. Paling miskin di
luar bandar pun masih ada keperluan asas seperti bekalan air bersih.
Tersentak
daripada itu, saya sedar yang mana kita sebagai hamba Allah ini sentiasa berasa
syukur dengan apa sahaja yang kita miliki. Melihat kesukaran yang kita hadapi,
ingatlah bahawa ada lagi orang yang lebih susah. Jangan mudah mengeluh dengan
kesukaran yang kita hadapi. Apa yang saya dapat sepanjang Projek Lentera Kasih
8.0 edisi khas puasa ini berlangsung adalah semakin banyak kita bantu orang
lain, semakin luas rezeki kita dapat.
Projek
Lentera Kasih 8.0 edisi bulan Ramadan kali ini telah mengajar saya erti
kehidupan yang sebenar. Tidak akan wujud keperitan hidup jika kita tidak
menghayati erti kehidupan yang sebenarnya. Melalui jaringan hubungan sosial ini
ia telah membuka mata saya untuk melihat kehidupan orang lain.
Sampai di sini sahaja
pengalaman dan bingkisan-bingkisan saya sepanjang Projek Lentera Kasih 8.0.
Saya
ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada En. Armizam Abd Rahim dan juga
Persatuan Belia G2 Felda Pemanis kerana memberi peluang kepada saya untuk
melibatkan diri dalam menjadi sukarelawan Projek Lentera Kasih 8.0. Sebagai
mahasiswa, saya berharap pengalaman yang saya miliki ini dapat dijadikan contoh
kepada mahasiswa diluar sana yang perlu bergiat aktif dalam kesukarelawan.
Dalam tempoh bergelar mahasiswa, pengalaman ini merupakan platform yang terbaik
untuk mahasiswa membentuk diri dan pemikiran yang berkualiti. Pengalaman yang saya miliki ini akan saya
kongsikan kepada rakan-rakan saya dan juga kepada adik - adik saya. Saya akhiri
kata-kata saya dengan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin.
“Sedekah
itu tidak Memiskinkan, tidak Bermasa & tidak Bersyarat”
malah
“Sedekah
Menghubungkan Kita dengan Tuhan”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Dialu - alukan untuk memberikan sebarang komen atau maklumbalas. Terima kasih! :)