KESUKARELAAN MyVAC URUS SUNTIKAN VAKSIN FASA 2 BERMULA, #TeamG2 KOMITED DENGAN 7 SUKARELAWAN
SEGAMAT, 21 April - Projek kesukarelaan yang panjang, Malaysia Vaccine Support Volunteers atau MyVAC di bawah Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pengajian Tinggi bermula untuk daerah Segamat dengan Sesi Taklimat Sukarelawan yang diadakan hari ini di Pejabat Belia dan Sukan Daerah Segamat.
#TeamG2 menzahirkan komitmen dengan menyediakan 7 orang sukarelawan MyVAC untuk pelaksanaan suntikan vaksin COVID - 19 Fasa 2 yang akan dilaksanakan di daerah Segamat bermula Mei sehingga Ogos ini.
Menurut Encik Maizatul Asrul Mohd Yunus, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Segamat, "MyVAC bertujuan untuk menggembleng tenaga sukarelawan sebagai pemudah cara dan membantu petugas barisan hadapan dalam melancarkan pergerakan penerima vaksin di Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) seluruh negara dan daerah."
"Untuk daerah Segamat, kita mempunyai 12 PPV yang telah diatur untuk Fasa 2 ini," tambah beliau lagi.
Sesi taklimat telah disampaikan oleh Encik Hasdi bin Ismail, Pegawai Unit Rakan Muda PBSD Segamat. Turut hadir adalah Dr Mohd Syaiful bin Aris dan En Shafarizan bin Senawi dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Segamat yang juga berkesempatan menyampaikan taklimat dan penerangan kepada para sukarelawan yang hadir.
PKD Segamat juga melaporkan sehingga kini, seramai sekitar 26,000 orang telah mendaftar untuk menerima vaksin COVID -19 menerusi Fasa 2 yang disasarkan kepada warga emas dan golongan rentan atau berisiko. Bilangan ini dijangka akan bertambah dari masa ke semasa.
Projek MyVAC sebagai teras sokongan pengurusan pemberian vaksin kini berjalan seluruh negara menyaksikan ribuan sukarelawan belia dimobilisasikan untuk tujuan itu.
#MyVAC #LindungiDiriLindungiSemua #KitaJagaKita #KitaBelumMenang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Dialu - alukan untuk memberikan sebarang komen atau maklumbalas. Terima kasih! :)