Siapakah belia? Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mentakrifkan belia ialah mereka yang berumur 15 hingga 25 tahun, manakala pertubuhan Komanwel pula meletakkan umur 15 hingga 29 tahun sebagai belia. Di negara kita, definisi belia ialah mereka yang berumur 15 hingga 40 tahun.
Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) mentakrifkan belia sebagai individu yang berumur tidak kurang daripada 15 tahun dan tidak lebih 40 tahun. Husain Mohamed (1977) mentakrifkan belia sebagai ‘orang muda’ yang bertenaga dan lebih produktif serta menguntungkan dari segi tenaga kerja (modal insan).
Menurut Husain, belia mempunyai beberapa sifat seperti sifat mencabar, resah gelisah serta memiliki kecenderungan menentang ‘establishment’ dan ‘status quo’ masyarakat. Implikasi buruk boleh tercetus mereka bersifat antisosial dan radikal. Justeru, belia adalah golongan yang boleh digunakan sama ada untuk tujuan kebaikan atau sebaliknya.
Di negara kita, belia membentuk lebih daripada 40 peratus daripada populasi penduduk. Justeru, dasar pembangunan belia secara holistik mesti diberi fokus supaya mereka dapat memainkan peranan dalam proses pembangunan negara terutama menjadikan negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Pengabaian terhadap golongan ini boleh membawa kepada pelbagai implikasi negatif kepada aspek pembangunan sosioekonomi negara. Amnya belia di negara ini dibangunkan melalui sistem pendidikan. Namun, secara khususnya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mempunyai tanggungjawab besar dalam soal pembangunan mereka.
Selain itu, peranan badan bukan kerajaan (NGO) juga sentiasa didambakan membantu membangun dan memajukan belia. Ada pihak membuat komentar bahawa KBS kini lebih banyak memberi tumpuan kepada pembangunan belia dalam bidang sukan sedangkan pembangunan aspek lain kurang diberi perhatian. Sejauh mana benarnya komentar itu harus dijawab KBS secara berfakta dan tuntas.
Umumnya, belia masa kini harus diberi peranan lebih dalam proses membuat keputusan. Ini harus ditekankan dalam usaha mengisi ruang peranan belia secara dinamik dalam proses pembangunan negara. Soalnya, bagaimana proses membuat keputusan beliau ini boleh dimainkan secara berkesan? Pada hemat saya, cara terbaik ialah menerusi persatuan belia di mana tenaga dan idea mereka boleh digarap serta dilaksanakan melalui pelbagai aktiviti.
Persatuan belia harus diberi kebebasan membuat keputusan dalam melaksanakan aktiviti bermula peringkat perancangan sehingga kepada pelaksanaan projek atau program. KBS mungkin boleh berperanan sebagai fasilitator, penasihat, pembimbing dan membantu dari segi kewangan. Mereka juga mesti diberi ruang dan peluang dalam proses pembuatan keputusan dalam Dasar Belia Negara.
Persatuan belia yang diterajui kepemimpinan yang dinamik penting dalam menggerakkan penyertaan aktif belia dalam pembangunan dan kesejahteraan masyarakat. Persatuan belia juga mesti mempunyai komitmen memperjuangkan perkara berkaitan hak asasi dan demokrasi. Tidak ada maknanya jika negara mempunyai banyak persatuan belia tetapi pasif dan hanya bergantung pada kerajaan untuk menggerakkan aktiviti. Pada 2005, terdapat 8,000 persatuan belia dengan 2.8 juta ahli.
Saya yakin jika persatuan belia dapat memainkan peranan aktif maka belia akan melalui sosialisasi politik yang bermakna dalam kehidupan mereka. Ia sekali gus membina potensi kepemimpinan sebagai pewaris negara pada masa depan. Kajian Indeks Belia 2006 menunjukkan sosialisasi politik belia di negara ini pada tahap sederhana dan perlu dipertingkatkan.
Jika diambil kira kelayakan umur mengundi di negara ini, belia mempunyai pengaruh besar dalam kejayaan sesebuah parti politik bertanding dalam pilihan raya. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pernah mengeluarkan statistik menunjukkan sehingga Disember 2007, terdapat 15.1 juta rakyat Malaysia berusia 21 tahun layak mendaftar sebagai pemilih. Namun, lebih 4.6 juta belum berbuat demikian.
Dalam konteks perhubungan kaum, belia yang hidup dalam kepelbagaian sama ada dari segi etnik, bahasa, budaya dan agama harus memiliki kemampuan berkomunikasi secara efektif serta bersifat persuasif dengan rakan pelbagai keturunan. Dalam berinteraksi, belia harus memiliki ‘moral reasoning’ dengan pegangan prinsip dan etika jelas supaya gagasan 1Malaysia yang bermatlamat mengukuhkan perpaduan, dapat dicapai sepenuhnya.
Persatuan belia harus mampu melihat sesuatu dari perspektif sendiri supaya sikap dan pemikiran dapat dibentuk secara terarah serta dimanfaatkan untuk proses pembangunan negara. Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) yang diwakili pelbagai pertubuhan belia juga harus digembleng.
MPBN boleh diibaratkan sebagai ‘Parlimen Belia’ dan mempunyai peranan penting membantu kerajaan membangun dan memajukan beliau. Justeru, persatuan belia bernaung di bawah MPBN wajar mengambil peluang memperjuangkan dasar, idea serta hasrat belia pada hari ini.
Belia dan kerajaan mesti membina komunikasi efektif supaya segala dasar, perancangan dan aktiviti belia dilaksanakan dengan baik dan berkesan demi kepentingan bangsa serta negara. Persatuan belia harus membantu kerajaan dalam menangani isu berkaitan belia.
Setakat ini, belum terserlah persatuan belia mengambil inisiatif menganjur seminar bagi membahaskan isu belia serta menyediakan perancangan tuntas bagi membantu kerajaan menanganinya. Dalam konteks ini, persatuan itu harus mengenal pasti dan mendefinisikan masalah dengan jelas supaya dapat mengemukakan sebanyak mungkin penyelesaian dengan pelbagai metodologi. Ia memerlukan belia berfikir secara kritikal menggunakan ‘inferens’ dan ‘reasoning’ yang baik supaya mampu memilih alternatif yang tepat dan berkesan.
Penulis adalah Ketua Unit Penerbitan di Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Dipetik dari Berita Harian.