Perlembagaan


PERLEMBAGAAN
PERSATUAN BELIA G2 FELDA PEMANIS
SEGAMAT, JOHOR DARUL TAKZIM
(Sebagaimana Yang Diluluskan oleh Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia)

FASAL 1:    NAMA 
 
Pertubuhan belia ini dikenali sebagai Persatuan Belia G2 Felda Pemanis atau ringkasnya Pertubuhan di dalam Perlembagaan ini. 
 

FASAL 2:    ALAMAT DAN TEMPAT URUSAN   
                        
(1)    Alamat Pos Berdaftar 

Alamat pos berdaftar pertubuhan belia ini ialah di No 209, Felda Pemanis Dua, 85009 Segamat, Johor Darul Takzim.

 
(2)    Alamat Urusan Berdaftar  

Alamat urusan berdaftar pertubuhan belia ini ialah di No 209, Felda Pemanis Dua, 85009 Segamat, Johor Darul Takzim.
 
(3)    Alamat  pos berdaftar  dan  alamat  urusan berdaftar  ini  tidak  boleh  diubah  tanpa kelulusan  Jawatankuasa Kerja    dan  hanya  boleh dikuatkuasakan setelah  mendapat  kebenaran  bertulis daripada  Pendaftar Pertubuhan Belia. 
 
 
FASAL 3:    TAFSIRAN 
 
(1)    “PERTUBUHAN BELIA” ertinya Persatuan Belia G2 Felda Pemanis.

 
(2)    “MESYUARAT AGUNG TAHUNAN” ertinya mesyuarat yang wajib diadakan oleh pertubuhan belia ini pada tiap-tiap tahun seperti yang disebutkan dalam Fasal 12 Perlembagaan ini. 
 
(3)    “JAWATANKUASA KERJA”   ertinya badan pengelola bagi pertubuhan belia ini seperti yang disebutkan dalam Fasal 15 Perlembagaan ini. 
  
(4)  “JAWATANKUASA KECIL” ertinya Jawatankuasa yang sah dibentuk atau dilantik di bawah Perlembagaan ini mengikut Fasal 17 Perlembagaan ini.  
 
(5)   “PEJABAT” ertinya alamat urusan berdaftar pertubuhan belia seperti yang ditetapkan dalam Fasal 2 Perlembagaan ini. 
 
(6)   “AHLI” ertinya ahli pertubuhan belia seperti yang disebutkan dalam fasal 6 Perlembagaan ini. 
 
(7)  “PENDAFTAR PERTUBUHAN BELIA”   ertinya Pendaftar Pertubuhan Belia yang dilantik   di bawah subseksyen 4(1) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007.   


FASAL 4:  TUJUAN 
 
(1)     Menjadi platform untuk menyatupadukan generasi gugusan Felda Pemanis meliputi Felda Pemanis Satu dan Dua, yang berumur 15 – 40 tahun merangkumi anak, menantu, cucu, cicit dan semua keturunan daripada peneroka Felda Pemanis;

(2)     Mengadakan aktiviti yang dapat membina peribadi, meningkatkan kesetianegaraan dan mewujudkan kesedaran terhadap perlunya menjauhi unsur dan nilai negatif dikalangan ahli-ahli;

(3)     Mengadakan dan memberi peluang kepada ahli untuk terlibat dalam aktiviti kebudayaan, sukan, kerohanian, kemasyarakatan, kesukarelaan, pendidikan, teknologi maklumat, keusahawanan, kemahiran, kepimpinan dan pelbagai bidang pembangunan positif belia;

(4)     Menggalakkan penyertaan ahli – ahli  dalam program pembangunan komuniti setempat; 


(5)     Mengutarakan idea, cadangan dan resolusi terhadap pelbagai isu dan dasar Kerajaan khususnya yang melibatkan generasi muda.

(6)     Menjalankan aktiviti-aktiviti lain yang dapat memperkukuh sumber kewangan pertubuhan;

(7)     Menyokong dan berkerjasama dengan Kerajaan dan agensi kerajaan berkaitan pelaksanaan program pembangunan belia.

(8)     Bergabung dengan mana – mana Pertubuhan Belia pada peringkat yang lebih tinggi, atau mana – mana Pertubuhan Sosial yang difikirkan boleh membawa manfaat kepada Pertubuhan dan mendapat kelulusan ahli Jawatankuasa Kerja.

  
  FASAL 5:  PERMOHONAN MENJADI AHLI 
 
(1)  Syarat-syarat untuk menjadi ahli pertubuhan belia ini adalah seperti berikut :

(a)  Warganegara Malaysia;
(b)  Berumur tidak kurang daripada 15 tahun dan tidak melebihi 40 tahun;
(c) Sanggup mematuhi peraturan atau perlembagaan pertubuhan belia ini pada setiap
      masa

(2)  Permohonan untuk menjadi ahli pertubuhan belia ini hendaklah dibuat dengan mengisi borang ahli dan hendaklah dihantar kepada Setiausaha untuk dikemukakan kepada Jawatankuasa Kerja Pertubuhan Belia untuk kelulusan.

(3)  Jawatankuasa Kerja Pertubuhan Belia boleh menolak mana-mana permohonan untuk menjadi ahli tanpa perlu memberi sebarang sebab dan keputusannya adalah muktamad.

(4)  Tiap-tiap pemohon yang permohonannya telah diluluskan hendaklah membayar bayaran masuk dan yuran tahunan yang pertama.

(5)  Seseorang pelajar Universiti atau Kolej Universiti tidak boleh diterima menjadi ahli pertubuhan belia ini kecuali mendapat kebenaran terlebih dahulu secara bertulis oleh Naib Canselor Universiti atau Kolej Universiti berkenaan.


FASAL 6:  BAYARAN MASUK, YURAN DAN BAYARAN LAIN

(1)  Bayaran masuk dan yuran yang perlu dijelaskan oleh ahli adalah seperti berikut: 
    
Bayaran masuk   RM 1.00
Yuran Tahunan   RM 1.00 

(2)  Yuran tahunan hendaklah dibayar tidak lewat dari 1hb Februari tiap-tiap tahun kepada Bendahari. Sekiranya yuran itu tidak dibayar, ahli yang berkenaan tidak boleh menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan dan tidak boleh mengundi dan diundi.

(3)  Sekiranya  yuran  tahunan  tidak   dijelaskan  dalam  tempoh  satu  tahun  tanpa  alasan  yang munasabah,  Jawatankuasa Kerja  berhak memberhentikan keahlian ahli yang berkenaan.   
 
(4)  Bayaran-bayaran lain untuk perkara yang tertentu boleh dikenakan ke atas ahli-ahli dengan persetujuan Jawatankuasa. 
 
(5) Sekiranya ahli yang telah dibatalkan keahliannya ingin menjadi ahli semula, beliau dikehendaki untuk mengemukakan permohonan baru dengan menyertakan bayaran   pendaftaran, yuran tahunan dan  penalti  sebanyak  RM 50.00 Permohonan ini tertakluk kepada kelulusan Jawatankuasa Kerja.  
 
 
FASAL 7:  TANGGUNGJAWAB DAN HAK AHLI 
 
(1)          Setiap ahli bertanggungjawab mematuhi peraturan dan perlembagaan pertubuhan belia ini pada setiap masa; 

(2)          Setiap ahli bertanggungjawab untuk memelihara nama baik pertubuhan belia ini pada setiap masa; 

(3)          Setiap ahli bertanggungjawab membayar yuran yang dikenakan tepat pada waktunya; 

 
(4)          Setiap ahli berhak menerima satu salinan Perlembagaan pertubuhan belia ini;


(5)          Setiap ahli yang layak, berhak untuk hadir, bercakap, mengundi dan diundi untuk sebarang jawatan dalam mesyuarat yang berkenaan; 



FASAL 8:  PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI 
 
(1)  Mana-mana  ahli   yang  membuat  permohonan  bertulis untuk  berhenti  menjadi  ahli  dan  permohonannya  itu  diluluskan  oleh Jawatankuasa  Kerja  adalah  dianggap  sebagai  telah  berhenti menjadi ahli. 
 
(2)  Setiap ahli yang didapati menjalankan sesuatu kegiatan yang bertentangan  dengan   Perlembagaan  pertubuhan  belia  boleh   dipecat  atau digantung  keahliannya  bagi  sesuatu  tempoh  masa  sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa Kecil Disiplin atau sebarang jawatankuasa kecil lain yang sah dibentuk di bawah perlembagaan ini.  Sebelum tindakan  sedemikian  diambil,  ahli  itu  hendaklah  diberikan  surat tunjuk  sebab.  Ahli berkenaan hendaklah diberi peluang untuk membela diri. Pemecatan  atau  penggantungan  itu  hendaklah berkuatkuasa  dari  tarikh  yang  ditetapkan  oleh  jawatankuasa kecil berkenaan.  Ahli yang terbabit boleh mengemukakan   rayuan kepada Jawatankuasa Kerja dalam tempoh empat belas (14) hari dari  tarikh  keputusan pemberhentian tersebut.  Jawatankuasa Kerja mempunyai  kuasa sama ada  untuk  menerima,  menolak  atau membuat  apa-apa  keputusan  yang  lain  berhubung  dengan  rayuan tersebut dan keputusan Jawatankuasa Kerja tersebut adalah muktamad.  

(3) Jawatankuasa Kecil Disipilin hendaklah terdiri daripada Pengerusi, Naib Pengerusi dan 3 (tiga) orang lagi yang terdiri dari mana – mana Pegawai dan Ahli Jawatankuasa yang dilantik oleh Pengerusi. Setiausaha hendaklah menjadi Setiausaha Jawatankuasa Kecil Disiplin.


FASAL 9:   MESYUARAT AGUNG TAHUNAN 
  
(1)  Mesyuarat  Agung Tahunan  adalah  badan  yang  tertinggi  dan menyeluruh  bagi  pertubuhan belia  ini  berdasarkan  kepada  tujuan  dan matlamatnya. 
 
(2)  Mesyuarat  Agung  Tahunan  hendaklah  diadakan  tidak  lewat dari tarikh 31 Mac tiap-tiap tahun pada tarikh dan tempat yang akan  ditetapkan  oleh  Jawatankuasa  Kerja.  Sekurang-kurangnya empat belas (14) hari notis, hendaklah diberikan secara bertulis oleh Setiausaha kepada semua   ahli. Notis  itu  hendaklah  disertakan  dengan  agenda  mesyuarat bersama-sama  dengan  semua  salinan  dokumen   yang dinyatakan dalam agenda tersebut. 
 
(3)  Korum  Mesyuarat  Agung  Tahunan  hendaklah  dihadiri  oleh tidak  kurang  satu  perlima  (1/5)  daripada  bilangan  keahlian yang  layak  mengundi atau dua kali ganda dari jumlah ahli jawatankuasa, mana – mana yang dicapai dahulu.  Sekiranya  korum  tidak  mencukupi selepas  satu  (1)  jam  dari  masa  yang  ditetapkan,  maka mesyuarat  itu  hendaklah  ditunda  kepada  tarikh  baru  dalam tempoh tiga puluh (30) hari. Sekiranya korum masih lagi tidak mencukupi  pada  tarikh  baru  mesyuarat  itu,  maka   ahli-ahli yang  hadir  bolehlah  meneruskan  mesyuarat  seperti  yang telah ditetapkan kecuali meminda perlembagaan pertubuhan belia.      
 
(4)  Setiausaha hendaklah menghantar kepada semua ahli dan Pendaftar Pertubuhan Belia salinan Penyata Tahunan tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan dalam tempoh tiga puluh (30) hari setelah selesainya mesyuarat tersebut. 
 
 




FASAL 10:  AGENDA MESYUARAT AGUNG TAHUNAN 
 
(1)  Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah mengandungi antara lain agenda-agenda berikut:-  
 
(a)    menerima dan mengesahkan Minit Mesyuarat Agung Tahunan yang lepas;  
(b)    menerima dan  meluluskan  Laporan  Jawatankuasa Kerja/Jawatankuasa Kecil berkenaan aktiviti pertubuhan belia dalam sepanjang tahun yang lalu;  
(c)    menerima dan  meluluskan  Laporan  Bendahari  dan  Penyata Kewangan yang telah diaudit bagi  tahun yang lalu;  
(d)    menguruskan  hal-hal  lain  yang  dibentangkan  di  dalam   Mesyuarat Agung Tahunan ; dan    
(e)    memilih  Jawatankuasa  Kerja  yang  baru  mengikut  fasal  15.1 Perlembagaan  ini  dan melantik  dua  (2)  orang  juruaudit mengikut  fasal  21.1   Perlembagaan  ini  setiap  dua  (2)  tahun sekali.  Jawatankuasa Kerja adalah dipilih setiap dua (2) tahun sekali.

(2) Satu per lima (1/5) daripada jumlah ahli atau dua kali ganda jumlah Ahli Jawatankuasa Kerja, mengikut mana – mana jumlah yang dicapai dahulu, adalah cukup bilang bagi mengadadakan Mesyuarat Agung Tahunan.



FASAL 11:   MESYUARAT AGUNG KHAS 
 
(1)  Mesyuarat Agung Khas bagi pertubuhan belia ini boleh diadakan: 
  
(a)    bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa Kerja;  atau   
(b)    atas  permintaan  secara  bertulis  oleh  tidak  kurang daripada separuh  (1/2)  daripada  jumlah  ahli  yang  berhak mengundi dengan menerangkan tujuan-tujuan dan sebab-sebabnya.   
(c)    Mesyuarat  Agung  Khas  yang  diminta  oleh  ahli-ahli hendaklah diadakan  pada  satu  tarikh  dalam  tempoh  satu (1)  bulan  dari  tarikh penerimaan permintaan mesyuarat tersebut. 
(d)    Korum Mesyuarat Agung Tahunan boleh digunakan untuk Mesyuarat  Agung Khas tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah   jam  dari  waktu  yang  telah  ditetapkan  bagi  mesyuarat  itu, maka mesyuarat  itu hendaklah dibatalkan, dan sekurang-kurangnya enam  (6)  bulan  daripada  tarikh  ini  Mesyuarat  Agung  Khas  atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidak  boleh diadakan. 
 
 


FASAL 12:  JAWATANKUASA KERJA  
 
(1)           Jawatankuasa Kerja hendaklah terdiri daripada: 

(a)    seorang Pengerusi;  
(b)    seorang Naib Pengerusi; 
(c)    seorang Setiausaha; 
(d)    seorang Bendahari;
(e)    tidak lebih tujuh (7) orang Ahli Jawatankuasa Biasa yang dipilih dalam Mesyuarat Agung; dan
(f)      tidak lebih tiga (3) orang Ahli Jawatankuasa Biasa yang dilantik oleh Ketua.

(2)           Setiausaha,  Bendahari dan tidak lebih tiga (3) orang Ahli Jawatankuasa Biasa  adalah dilantik oleh  Pengerusi  dengan   persetujuan  Jawatankuasa  Kerja  dalam mesyuarat  pertama  Jawatankuasa Kerja tersebut selepas Mesyuarat  Agung Tahunan.  
 
(3)        Semua ”pemegang jawatan” sepertimana yang ditafsirkan dalam Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia  2007 adalah tertakluk kepada Seksyen 13 Akta tersebut berkaitan kehilangan kelayakan.   

(4)        Jawatankuasa Kerja hendaklah dipilih semula setiap 2 (tahun) tahun sekali.

(5)      Ahli Jawatankuasa Kerja hendaklah memegang jawatan dan berkhidmat untuk selama tempoh penggal perkhidmatannya.

(6)                 Jika seseorang Ahli Jawatankuasa Kerja yang telah dipilih di dalam Mesyuarat Agung Tahunan meletak jawatan, tempatnya tidak boleh diganti dengan orang lain, melainkan mesyuarat agung yang berikutnya memilih seseorang yang lain untuk menggantikannya.

(7)                 Jawatan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja tidak menjadi kosong disebabkan seseorang ahli itu telah dilantik menjadi Pegawai mengikut Fasal 12.2

(8)                 Jika Setiausaha tidak memanggil mesyuarat dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh permohonan itu dibuat maka ahli yang memohon boleh memanggil mesyuarat itu dengan syarat semua Ahli Jawatankuasa Kerja dijemput hadir.

(9)                 Lima (5) orang  Ahli Jawatankuasa adalah menjadi cukup bilang bagi menjalankan mesyuarat jawatankuasa kerja.

(10)         Jika Pengerusi berhenti atau diberhentikan maka Naib Pengerusi akan memangku jawatan itu dan jika Pemangku Pengerusi itu berhenti juga atau diberhentikan maka salah seorang daripada Ahli Jawatankuasa boleh dilantik memangku jawatan itu.
(10)             Jika Pengerusi dan Naib Pengerusi tidak hadir di dalam Mesyuarat Jawatankuasa maka salah seorang daripada ahli-ahli yang hadir itu boleh dilantik menjadi Pengerusi.


   

FASAL 13:   TANGGUNGJAWAB JAWATANKUASA KERJA  
 
(1) Melantik Ketua Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil. 
 
(2) Menguatkuasakan dasar – dasar dan keputusan Mesyuarat Agung Tahunan atau Khas. 
 
(3) Mengurus dan mentadbir pertubuhan belia ini dan menjalankan program atau aktiviti dari semasa ke semasa. 
 
(4) Mengkaji dan meluluskan perbelanjaan pentadbiran dan perbelanjaan program atau aktiviti yang diluluskan. 
 
(5) Meluluskan peraturan-peraturan baru atau cadangan pindaan perlembagaan untuk dibahas dalam Mesyuarat Agung Tahunan atau Khas. 
 
(6) Menimbang rayuan terhadap keputusan Jawatankuasa Kecil Disiplin bagi ahli-ahli pertubuhan belia. 
 
(7) Membuat pelantikan dan pemberhentian kakitangan pengurusan yang bergaji jika ada. 
   
(8)  Menimbang permohonan mana – mana orang untuk menjadi ahli pertubuhan belia. 


 FASAL 14:  TUGAS AHLI JAWATANKUASA KERJA 
 
(1) Pengerusi 

(a)    Mempengerusikan semua mesyuarat Jawatankuasa Kerja. 
(b)    Menjadi ketua dan bertanggungjawab ke atas pentadbiran dan pengurusan pertubuhan belia. 
(c)    Melantik Setiausaha, Bendahari dan tidak lebih dari tiga (3) orang Ahli Jawatankuasa Biasa  pertubuhan belia dengan persetujuan Jawatankuasa Kerja.   
(d)   Menandatangani cek pertubuhan belia bersama-sama Bendahari  dan Setiausaha pertubuhan belia.


(2) Naib Pengerusi

(a)    Menjalankan tugas Pengerusi semasa ketiadaan Pengerusi.
(b)    Membantu Pengerusi melaksanakan tanggungjawab mentadbir dan mengurus pertubuhan belia.


(3) Setiausaha

(a)    Bertanggungjawab kepada Pengerusi. 
(b)    Melaporkan kepada Pengerusi segala tindakan berkaitan pentadbiran dan pengurusan pejabat pertubuhan belia. 
(c)    Mengendalikan urusan surat – menyurat, penyimpanan rekod, fail dan dokumen pertubuhan belia.
(d)    Mengemaskini daftar ahli pertubuhan belia. 
(e)    Menghadiri semua mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan membuat catatan minit mesyuarat. 
(f)      Menguruskan persediaan, pelaksanaan dan pelaporan Mesyuarat Agung Tahunan pertubuhan belia. 
(g)    Mengemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan Belia dalam masa 60 hari selepas Mesyuarat Agung Tahunan atau sekiranya tiada Mesyuarat Agung Tahunan, 60 hari selepas berakhirnya setiap tahun kalendar, penyata tahunan pertubuhan belia sepertimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 22, Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007.

(4) Bendahari

(a)    Menguruskan hal berkaitan kewangan pertubuhan belia. 
(b)    Menyedia dan membentangkan Penyata Kewangan pertubuhan belia bagi tujuan Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja. 
(c)    Menandatangani cek pertubuhan belia bersama-sama Pengerusi dan Setiausaha.. 
(d)    Mengemaskini semua rekod kewangan pertubuhan belia.
(e)    Mengutip semua jenis yuran atau bayaran yang dikenakan daripada ahli pertubuhan belia.


  (5) Ahli Jawatankuasa

(a)    Mempengerusikan Jawatankuasa Kecil yang dibentuk oleh Jawatankuasa Kerja pertubuhan belia. 
(b)    Mempengerusikan semua mesyuarat Jawatankuasa Kecil yang diketuainya. 
(c)    Membantu dalam pentadbiran dan pengurusan pertubuhan belia secara keseluruhan. 
(d)    Memastikan Jawatankuasa Kecil yang dipengerusikannya melaksanakan aktiviti dan fungsinya.
 
 
FASAL 15:   MESYUARAT JAWATANKUASA KERJA 
 
(1) Jawatankuasa Kerja hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali di dalam masa empat (4) bulan.  Notis mesyuarat hendaklah dikeluarkan tujuh (7) hari sebelum tarikh mesyuarat.  

(2) Pengerusi boleh memanggil Mesyuarat Jawatankuasa Kerja pada bila-bila masa beliau fikirkan perlu. 
 
(3)  Sekurang-kurangnya  lima  (5)  orang  daripada  Ahli Jawatankuasa  Kerja  hendaklah  hadir  bagi  mengesahkan  perjalanan mesyuarat  dan mencukupkan korum mesyuarat tersebut. 

(4) Notis mesyuarat boleh disampaikan dalam sama ada surat, nota bertulis, perhubungan elektronik seperti sistem pesanan ringkas (SMS), perhubungan media baru (seperti penggunaan laman web sosial dan Internet) atau apa jua kaedah yang bersesuaian dengan perkembangan semasa dan relevan, yang diyakini sampai kepada penerima
 
 
FASAL 16:  KEWANGAN 
 
(1)  Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan berikut dalam perlembagaan ini, wang pertubuhan belia ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan pertubuhan belia termasuklah perbelanjaan pentadbiran dan pengurusan pertubuhan belia serta perbelanjaan lain yang di persetujui oleh Jawatankuasa Kerja. Walau bagaimanapun wang itu tidaklah boleh digunakan untuk membayar penalti mana-mana pemegang jawatan atau ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah.

(2)  Bendahari dibenarkan menyimpan wang tunai tidak lebih daripada RM2,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Ribu) pada satu-satu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam akaun pertubuhan belia.

(3)  Semua cek atau kenyataan pengeluaran wang pertubuhan belia hendaklah ditandatangani bersama oleh Bendahari, Pengerusi dan Setiausaha.


(4) Perbelanjaan yang melebihi  RM 20,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Puluh Ribu) bagi sesuatu masa perlu diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa Kerja dan perbelanjaan yang melebihi RM 500,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Ratus Ribu) bagi satu-satu masa perlu mendapat kebenaran mesyuarat agung terlebih dahulu.

(5)  Penyata darihal wang yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh Juruaudit yang dilantik dengan  seberapa segera setelah tamatnya sesuatu tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan yang  berikutnya dan salinannya hendaklah dikemukakan untuk makluman semua ahli pertubuhan belia.

(6)  Tahun kewangan pertubuhan belia ini bermula pada 1hb Januari dan berakhir pada 31 hb Disember tiap-tiap tahun.
 

FASAL 17:    JURUAUDIT 
 
(1)  Dua  (2)  orang ahli yang bukan menjadi Ahli Jawatankuasa  Kerja boleh dilantik  semasa  Mesyuarat  Agung  Tahunan  sebagai  Juruaudit. Tugas  mereka adalah  membuat  pemeriksaan terhadap  penyata  kewangan  pertubuhan belia  dan  membuat  laporan  dan pengesahan penyata-penyata yang berkaitan dengan kewangan pertubuhan belia.
 
(2)  Mesyuarat  Agung  Tahunan  boleh   juga  melantik  Firma  Audit  yang bertauliah  bagi  menjalankan  kerja-kerja   auditan  ke atas pertubuhan belia sekiranya perlu. 
   
FASAL 18:   TAFSIRAN UNDANG-UNDANG 
 
(1)  Tertakluk kepada peruntukan dalam Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007, Jawatankuasa Kerja boleh memberikan tafsirannya kepada Perlembagaan ini.    Jawatankuasa Kerja juga boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam Perlembagaan ini sekiranya perlu dengan syarat tidak bertentangan dengan peruntukan mana-mana undang-undang. 
 
FASAL 19:    PERTIKAIAN DALAMAN 
 
Adalah  menjadi  tugas  Jawatankuasa  Kerja  untuk menyelesaikan apa-apa  pertikaian  yang  timbul  di  kalangan  ahli-ahli  mengikut prosedur yang ditetapkan dalam Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007.  
   
FASAL 20:  PENAUNG DAN LEMBAGA PENASIHAT 
 
(1) Jawatankuasa Kerja boleh melantik seorang Penaung yang bukan dari kalangan ahli pertubuhan belia sekiranya perlu.

(2) Jawatankuasa Kerja juga boleh melantik Lembaga Penasihat yang bilangannya tidak melebihi tiga (3) orang bukan dari kalangan ahli pertubuhan belia sekiranya perlu. 
 
(3) Penaung atau Lembaga Penasihat tersebut hendaklah tidak mempunyai hak untuk mengundi atau kuasa membuat keputusan bagi pihak pertubuhan belia.  

FASAL 21:  PEMEGANG AMANAH

(1)  Tiga (3) orang Pemegang Amanah yang berumur lebih daripada 21 tahun boleh dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan dan mereka akan berkhidmat selama yang dikehendaki oleh pertubuhan belia. Semua harta tetap kepunyaan pertubuhan belia akan diamanahkan kepada mereka dengan menandatangani suatu Surat Amanah (Deed of Trust).

(2) Pemegang Amanah tidak boleh menjual, menarik balik atau memindah hakmilik harta kepunyaan pertubuhan belia dengan tidak mendapat kelulusan dan kuasa yang diberikan oleh Mesyuarat Agung Tahunan pertubuhan belia.

(3) Seseorang Pemegang Amanah itu boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh Mesyuarat Agung Tahunan oleh sebab uzur kerana penyakit, tidak siuman, tidak berada di dalam negeri atau kerana sebab lain yang mengakibatkan ia tidak dapat menjalankan tugasnya. Pemegang Amanah yang baru boleh dilantik bagi menggantikan Pemegang Amanah tersebut melalui Mesyuarat Agung Tahunan.

 
FASAL 22:   PINDAAN PERLEMBAGAAN 
 
(1) Perlembagaan ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan persetujuan ahli-ahli dalam Mesyuarat Agung Tahunan atau Mesyuarat Agung Khas. 
 
(2)  Permohonan  untuk  meminda  perlembagaan ini hendaklah  dikemukakan  kepada  Pendaftar Pertubuhan Belia  dalam  masa  enam  puluh  (60)  hari  dari  tarikh  keputusan mesyuarat  yang  memutuskan  perihal  perubahan  atau  pindaan tersebut. Perubahan atau pindaan kepada perlembagaan ini tidak boleh dikuatkuasakan selagi tidak mendapat kelulusan bertulis Pendaftar Pertubuhan Belia.   
FASAL 23:   LARANGAN 
 
(1)  Segala bentuk perjudian  yang bertentangan dengan Undang-undang Malaysia atau permainan yang disebutkan di bawah ini tidak boleh dimainkan di dalam rumah atau premis pertubuhan belia : Roulette, Lotto, Fan Tan, Poh, Peh Bin, Belangkai, Pai Kau, Tau Ngau, Tien Kow, Chap Ji Kee, Sam Cheong, Dua Puluh satu, Tiga Puluh Satu, Sepuluh dan Setengah, semua permainan dadu, banker’s game, permainan mesin video dan semua permainan yang bergantung semata-mata kepada nasib;

(2)  Pertubuhan belia atau ahli-ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan sekerja seperti definisi di dalam Akta Kesatuan Sekerja 1959;

(3)  Pertubuhan belia ini tidak boleh menjalankan loteri samada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama pertubuhan belia atau pemegang jawatan tanpa kelulusan Mesyuarat Agung Tahunan dan pihak berkuasa.

FASAL 24:   PEMBUBARAN 
 
(1)  Pertubuhan belia ini boleh dibubarkan dengan persetujuan tidak kurang daripada dua perlima (2/5) daripada jumlah ahli yang menghadiri Mesyuarat Agung Khas yang dipanggil untuk tujuan tersebut. 

(2)  Sekiranya pertubuhan belia ini hendak dibubarkan secara yang tersebut di atas, maka segala hutang dan tanggungan pertubuhan belia yang sah dari segi undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diurus mengikut cara yang dipersetujui oleh Mesyuarat Agung tersebut;

(3)  Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan Belia dalam masa 14 hari dari tarikh pembubaran tersebut.

Disahkan betul: 


Nama                     : HANAFIE BIN HASIM      
Jawatan                 : Pengerusi                                                                           





Nama                     : AZIZI BIN ABD RAHIM
Jawatan                 : Setiausaha                        

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dialu - alukan untuk memberikan sebarang komen atau maklumbalas. Terima kasih! :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...