Selasa, 12 Mei 2015

[148] Catatan Pengalaman Kem Pemilihan Program Pertukaran Belia Antarabangsa 2015

CATATAN PENGALAMAN
 KEM PEMILIHAN PESERTA PROGRAM PERTUKARAN BELIA ANTARABANGSA 2015


Oleh : Sharifah Shazwani Zaini dan Suria Sipon

Pengalaman ini bermula apabila kami mendapat maklumat daripada Persatuan Belia G2 Felda Pemanis agar mengisi borang bagi menyertai Program Pertukaran Belia Antarabangsa (International Youth Exchange Programme). Seramai 13 orang yang mengisi borang permohonan tersebut. Borang tersebut perlulah diisi dengan lengkap tanpa maklumat palsu ataupun kesilapan tulisan.

Program Pertukaran Belia Antarabangsa  merupakan program tahunan di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS). Program ini merupakan kerjasama diantara kerajaan dua negara yang terlibat. Antara program yang ditawarkan adalah seperti berikut ;

1.  Ship for South East Asia Youth Programme
2.  Malaysia - Korea Youth Exchange Programme
3.  Malaysia - Fakuoka Youth Exchange Programme
4.  Malaysia - Indonesia Youth Exchange Programme
5.  Malaysia - Singapore-Malaysian Youth Programme
6.  Asean Programmes
7.  Commonwealth Programmes
8.  Invitation Programmes
9. According to the requirement by KBS


Cara-cara Memohon
  • Dapatkan borang daripada Web Kementerian Belia & Sukan (KBS)
  • Borang permohonan adalah berwarna biru.Permohonan selalunya akan ada pada bulan Januari atau awal bulan Februari. Selalu dapatkan maklumat terkini mengenai maklumat yang terdapat di laman web KBS.
  • Pastikan tiada kesilapan maklumat diri yang diisi daripada borang pemohonan.Pastikan juga email yang diberi adalah email yang kerap digunakan supaya sebarang makluman daripada pihak KBS dapat diketahui.
  • Perlukan cop dan tandantangan pengesahan dari organisasi yang anda wakili, contohnya Persatuan Belia.


Mari saya cerita tentang pengalaman kami. Ia dimulakan dengan mengisi borang untuk program tersebut. Kemudian, dihantar terus ke KBS.  Pada suatu hari kami mendapat maklumat supaya menyemak email sama ada dapat menduduki Ujian Psikologi ataupun tidak. Apabila kami semak pada email saya,  didapati tiada  email daripada pihak KBS. Tetapi pihak Persatuan Belia G2 Felda Pemanis mengatakan kami dapat menduduki Ujian Psikologi tersebut. Jadi saya pun menelefon pihak KBS untuk memastikan perkara tersebut. Ternyata apabila diteliti, masalah berpunca daripada kesilapan menulis alamat email. Setelah dibetulkan alamat email, barulah kami  menerima emel tersebut . Kemudian saya mengesahkan kehadiran sy untuk menduduki ujian psikologi tersebut. Moralnya, perbaiki mutu tulisan tangan dan jangan sampai sukar atau silap dibaca, jangan jadi seperti kami!



Pada 18 April 2015, Ujian Psikologi telah dijalankan di KBS, Putrajaya. Seramai 9 orang daripada Persatuan Belia G2 Felda Pemanis dapat menduduki ujian tersebut. Terdapat 160 soalan untuk diselesaikan dalam masa satu jam. Dah nama pun ujian psikologi,  jadi jawablah sejujurnya tentang diri anda. Mereka yang telah selesai menduduki Ujian Psikologi tersebut hanya perlu menunggu keputusan utk melangkah ke peringkat yang seterusnya.

Pada lingkungan bulan April atau Mei, keputusan Ujian Psikologi pun keluar. Seramai 5 orang daripada Persatuan Belia G2 Felda Pemanis melepasi Ujian Psikologi dan terpilih untuk menyertai Kem Pemilihan. Mereka adalah MOHD AMEERUL FADZLI AZMI (27 tahun) , NURFARINA BASRI (22 tahun), MUHAMMAD AZHARI IMRAN (18 tahun ) , SURIA SIPON (18 tahun) dan SHARIFA SHAZWANI ZAINI (18 tahun). 

Sebelum pergi ke kem pemilihan tersebut, kami telah membuat persediaan serba sedikit bagi elemen kebudayaan dan kefasihan bertutur dalam Bahasa Inggeris seperti berlatih zapin (boleh juga membuat apa jua jenis kebudayaan yg anda mahir). Selain itu, kami juga berlatih pengucapan awam. Suka diingatkan bahawa kem tersebut sangat menegaskan kita bertutur dalam Bahasa Inggeris kerana semua aktiviti yang diadakan adalah memerlukan kita untuk bercakap dalam Bahasa Inggeris.


Pengalaman Kem Pemilihan Peserta Program Pertukaran Belia Antarabangsa 2015

8 Mei 2015 (Jumaat)
Kami bertolak ke Port Dickson dengan menaiki kereta yang dipandu oleh guru kami sendiri pada pukul 9.00 pagi. Perjalanan mengambil masa 3 jam. Apabila tiba di tempat kem, kami ke Dewan Akademi untuk pendaftaran peserta dan urusan penginapan kami sepanjang kem itu. Selepas makan tengahari di kantin pula, kami membuat persiapan kendiri. Kami seterusnya ke Dewan Akademi untuk sesi taklimat pengurusan program yang panjang lebar menyentuh mengenai peraturan kem. Setelah itu, majlis suai kenal telah diadakan. Kami dibahagikan kepada sepuluh kumpulan dengan diketuai seorang ketua bagi setiap kumpulan.

Aktiviti diteruskan dengan  program Fit Malaysia yang bermula seawal jam 6.30 petang yang diisi dengan aktiviti senamrobik.

Pengisian pada waktu malam pula adalah Eksplorasi Berkumpulan. Aktiviti ini juga melibatkan pendapat masing-masing. Aktiviti ini kita diberi setengah jam untuk memberikan beberapa  pendapat ataupun idea mengikut topik atau tajuk yang diberi mengikut kumpulan masing-masing. Karangan sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris untuk melihat kemampuan kita sebelum dibawa ke luar negara. Seterusnya, aktiviti “Olahan Minda” bersama kumpulan. Setiap kumpulan dikehendaki menyampaikan hasil perbincangan kumpulan masing-masing. Pastikan kita terlibat dalam pembentangan walaupun watak sampingan. Ini dapat menyedarkan kami tentang kebolehan dan kemampuan kami sebagai insan yang mempunyai kekuatan diri yang unggul.




Sebelum masuk tidur, sesi muhasabah atau ‘renungan kendiri’ telah diadakan bersama-sama para fasilitator. Sesi ini telah berlarutan hingga larut malam kerana kesuluruhannya ramai peserta yang teringin berkongsi pengalaman dan mengutarakan buah fikiran masing-masing. Kami juga diajarkan teknik berkomunikasi yang efektif. Selama ini, kami beranggapan bahawa komunikasi merupakan penyampaian maklumat secara mudah antara manusia. Sebenarnya komunikasi efektif lebih daripada itu. Untuk mencapai tahap komunikasi yang berkesan, seseorang perlu menghormati pihak yang satu lagi serta menguasai kemahiran tertentu seperti gaya pertuturan, kadar percakapan, kesabaran diri dan kejelasan sebutan.
                                                                                                                              

9 Mei 2015 (Sabtu)
Hari kedua kem pada sebelah pagi diadakan Fit Malaysia seawal jam 6.30 pagi selepas peserta-peserta beragama Islam menunaikan solat subuh. Para peserta dinasihatkan bangun pada pukul 5.00 pagi setiap hari. Kemudian pada jam 8.30 pagi pula diadakan Diskusi selama satu jam setengah. Aktiviti tersebut dijalankan dalam kumpulan masing-masing di mana setiap kumpulan diberi satu tajuk yang perlu dibincangkan. Setelah aktiviti Diskusi tersebut, sesi perbahasan dalam kumpulan selama tiga jam setengah telah berlangsung yang diadili oleh panel / fasilitator setiap kumpulan. Setiap kumpulan akan dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu pihak pembangkang dan pencadang. Setiap ahli kumpulan juga akan diberi masa selama tiga minit untuk bercakap dalam Bahasa Inggeris.


 


Pada sebelah petang pula diadakan Fit Malaysia dan Eksplorasi secara berkumpulan yang paling mencabar. Sepanjang beberapa kilometer laluan kembara, para peserta diuji dari segi ciri-ciri seperti kepimpinan, kepatuhan, kejelikitan kumpulan, daya ingatan, kebolehan berfikir dan membuat keputusan. Para peserta berpendapat bahawa aktiviti ini merupakan pengalaman yang sukar dilupakan. Kini, barulah kami sedar bahawa kehidupan ini diselubungi pelbagai cabaran yang sedia menanti.








Acara kemuncak pada malam kedua ialah Malam Youth Got Talents. Malam Youth Got Talents ini juga diuruskan oleh peserta sendiri seperti persiapan tempat, hiasan pentas, menyambut VIP dan sebagainya. Pelbagai telatah dan ragam yang menghiburkan dipersembahkan oleh para peserta kem. Peserta juga dapat menunjukkan bakat masing-masing sambil menghiburkan diri sendiri dan peserta-peserta lain. Acara-acara yang sempat dipersembahkan termasuklah nyanyian, lakonan, deklamasi sajak, berdikir barat, tarian dan berpantun. Perasaan gembira tergambar dengan jelas pada wajah setiap peserta. Sedikit pun tidak kami sangka bahawa banyak antara kami yang mempunyai bakat untuk berlakon.


10 Mei 2015 (Ahad)
Pada hari ketiga, kegiatan harian dimulai dengan aktiviti Fit Malaysia yang diisi dengan Zumba selama satu jam. Kemudian, pada jam 8.30 pagi telah diadakan Public Speaking (semua peserta) dan temuduga pula bagi individu yang memilih untuk menyertai Ship for South East Asia Youth Programme. Peserta juga boleh memilih apa-apa sahaja topik yang menarik dalam pengucapan awam tersebut.  Peserta telah ditugaskan supaya bercakap dalam bahasa Inggeris serta pastikan juga kelancaran, intonasi yang menarik dan penggunaan perkataan yang sesuai supaya penilai tertarik mendengarnya.  Be confident! (:




Aktiviti diagihkan kepada tiga kumpulan di mana aktiviti tersebut dijalankan di tempat yang berbeza-beza. Aktiviti tersebut telah berakhir pada jam 12.00 tengahari dan diikuti dengan acara penutup. Kem ini tamat dengan rasminya. Sesi bergambar bersama panel dan fasilitator diadakan. Setelah mkn tengahari, kami bersalam - salaman sesama sendiri sebelum berangkat pulang. Perasaan sedih dan terharu jelas tergambar di wajah masing-masing. Walaupun keletihan, kami berasa puas terhadap perjalanan kem ini.

Oh, ya ... sebelum mengakhiri catatan ini, mari kami hiburkan anda semua dengan dengan dua klip video persembahan Malam Youth Got Talent. :)


Ini adalah Tarian Wau Bulan :)


Ini pula Tarian Zapin - Bunga Hutan ... yang tak berapa nak zapin :)






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dialu - alukan untuk memberikan sebarang komen atau maklumbalas. Terima kasih! :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...