Daripada Impian
Lahir Tindakan
Mizam Rahim
Ahli Lembaga Penasihat
Persatuan Belia G2 Felda Pemanis
Sebagaimana yang pernah disiarkan menerusi Utusan Malaysia, 5 Februari 2003
``LETAKKAN dua batang jari
pada dada anda dan katalah dengan kuat, ``Saya mengetepikan kekurangan saya.
Saya akan mencari apakah kebolehan yang sebenar.'' Mark Victor Hensen dan Jack
Canfield dalam buku mereka Berani Menang (terjemahan, 2000) mengusulkan kaedah
bagaimana kita boleh membina keyakinan terhadap diri sendiri, terutama bagi
mereka yang telah lama melalui fasa putus harap dan kekelabuan masa depan.
Mark dan Jack percaya kepada
pembinaan keyakinan kendiri dari dalam, berupaya untuk mencetuskan sinar baru bahawa
jalan-jalan di hadapan masih lagi terang untuk ditempuhi. Dalam kata lain,
bahawa apabila kita mengalami kegagalan atau bertemu dengan titik tamat kepada
satu langkah yang pernah kita ambil, itu tidak bermakna dunia ini sudah
berakhir buat kita. Tulisan Mark dan Jack dalam buku mereka itu juga memuatkan
kisah-kisah benar, bagaimana individu-individu boleh berjaya menggapai impian
mereka.
Apa yang nyata, impian
bukanlah sesuatu yang memerosotkan daya fikir. Impian bukanlah angan-angan
kosong. Mark dan Jack tidak menggunakan perkataan cita-cita secara kerap.
Menurut mereka, impian yang ditanam akan meresap ke dalam minda untuk membuka
jalan-jalan pemikiran terhadap tindakan-tindakan susulan realistik berikutnya.
Justeru, mereka berdua
mencadangkan agar kita menulis senarai impian kita. Biarlah senarai itu menjadi
beratus, malah beribu-ribu impian. Mungkin senarai impian cukup untuk menjadi
sebuah buku, lalu kita namakan sebagai buku impian. Dan, percayalah, menurut
Mark dan Jack lagi, bahawa minda kita akhirnya akan dipandu untuk menggapai
semua impian tersebut.
Menggagaskan, lalu menulis
impian, akan memaksa minda dan fizikal kita `bekerja' untuk memenuhinya. Kita
akan menjadi lebih berani untuk bertindak. Lebih cekap mengintai dan menyambar
peluang yang ada. Lebih teguh pendirian, dan tegar dalam prinsip.
Segala-galanya bermula dengan menulis impian.
Namun masalahnya adalah untuk
menulis impian pun, kita tidak berani.
Tidak berani mencuri sedikit
masa untuk menulis impian. Tidak berani melawan rasionalisasi akal fikiran
terhadap hujah bahawa menulis impian kelak akan dibayangi oleh unsur-unsur
angan-angan kosong dan kemungkinan gagal untuk mencapainya. Saya berpendapat, keperluan untuk menulis impian adalah memenuhi fitrah semulajadi
manusia, dalam fasa-fasa perjalanan mencapai misi kehidupan.
Tidak ramai yang mengerti
bahawa menulis impian adalah antara beberapa perkara `remeh-temeh' yang sering
dilabel manusia, lalu ditinggalkan. Padahal, perkara yang dianggap remeh antara
penyebab kegagalan. Ketiadaan misi capaian yang jelas dalam bertindak. Dan,
menulis impian itu, umpama kita menekankan keseimbangan dalam meniti tali
teregang, seseorang yang ingin menitinya.
Bak kata Mark dan Jack,
seseorang tidak akan meniti tali teregang itu, andai semua perkara yang perlu
diimbangkan tidak dilakukan. Hidup ini juga umpama meniti di atas tali
teregang. Menulis impian, adalah antara perkara-perkara yang dititikberatkan
sebelum tali teregang itu hendak dititi.
Impian perlu kepada tindakan.
Dalam hal ini, Wan Rafaei Abdul Rahman, dalam tulisannya ``Ciri-ciri
Keusahawanan'' (dirangkumkan dalam buku Psikologi Melayu selenggaraan Abdul
Halim Othman, 1993), menyatakan bahawa tanpa usaha kerja tidak akan berjalan
dan tidak mendatangkan hasil.
Kesedaran orang Melayu (siapa
lagi kalau bukan kita), untuk berusaha telah lama wujud. Hanya masalah utamanya
ialah sama ada hendak atau tidak hendak sahaja. Ini kerana, menurut apa yang
ditulis di dalam Psikologi Melayu itu, orang yang malas sahaja akan cuba
berdalih hingga kerja tidak menjadi.
Penulis melihat bahawa
persoalan atau dilema `hendak atau tidak hendak ini' berpunca daripada sikap
memandang perlakuan menulis impian sebagai perkara kecil, lalu dikesampingkan.
Usahawan, sebagai contoh, perlu ada buku impian dan buku idea mereka sendiri.
Kesemua impian yang
dimimpi-mimpikan dalam lapangan keusahawanan yang diceburi, perlu ditulis.
Walaupun ia adalah perkara-perkara yang kecil dan kelihatan tidak realistik ia
wajar juga ditulis. Mungkin salah satu impian adalah ``aku ingin berjumpa
dengan menteri XX''. Dengan menulis sebegitu, kita akan `dipaksa' menuju ke
arah memenuhinya.
Maka, dilema `hendak atau
tidak hendak' itu akan terhapus lantaran kita telah membuat penegasan awal
bahawa kita memang `hendak'. Kekuatan menulis impian ini boleh menjangkau
sehingga kita mampu memberikan gambaran sejelas mungkin terhadap apa yang bakal
kita capai. Oleh kerana minda sentiasa diprovokasi untuk mencapai apa-apa yang
telah ditulis itu, minda juga akhirnya mampu mencirikan secara detail
elemen-elemen impian tersebut. Visual dan suasana di mana impian bakal
tercapai, dengan bunyi dan warnanya sekali, turut digambarkan. Sehingga ke
bahagian ini, impian yang ditulis akan melahirkan beberapa idea berguna. Impian
yang ditulis juga mampu mencapai taraf matlamat.
Apabila ia mencapai taraf
matlamat, ia sudah menjadi sesuatu yang mendasari prinsip untuk bertindak. Di
saat inilah, idea-idea akan keluar, membuka jalan-jalan yang tidak pernah
ternampak sebelum ini.
Mark dan Jack membawa cerita
Ira Hayes, seorang tokoh pemikiran positif Amerika, yang mengesyorkan
penggunaan `Buku Idea Minggu Ini', khususnya kepada mereka yang bergelar
usahawan. Kerana idea biasanya bersifat elusif (mudah lari, hilang, sukar
ditangkap dan meruap) maka sekali ia terlintas, ikatkanlah ia dengan menulis
idea tersebut.
Seperti menulis impian dan
matlamat, idea yang ditulis juga boleh menjadi satu senarai yang panjang.
Dalam senarai keutamaan, tulis
Mark dan Jack lagi, kita akan mulakan usaha-usaha tindakan dnegan merealisasikan
idea-idea yang paling mudha dan paling menguntungkan terlebih dahulu. Kemudian,
kekuatan pengalaman dan aliran modal tunai (khusus untuk usahawan) yang
dikumpulkan, akan mengupayakan kita untuk menjejaki realisasi idea-idea yang
rumit, kompleks dan sukar.
Impian yang bertaraf matlamat
perlu melepasi beberapa kotak senarai semak. Matlamat ini perlu ditentukan
secara aktif. Ia juga perlu jelas, sejelasnya sehingga boleh digambarkan.
Selain perlu dicatatkan, ia sebenarnya tidak mempunyai had panjang untuk
dicatat.
Dua peringatan penting
daripada Mark dan Jack adalah: Jangan berkompromi apabila anda menulis
matlamat, dan jangan mencanangkan matlamat anda kepada semua orang.
Kerana sifatnya yang
sedemikian, menulis matlamat akan menjadi tugas yang dibuat secara sukarela
tetapi mandatori. Apakah rahsia-rahsia kekuatan mental dan keupayaan
pembayangan seseorang yang berjaya? Mark dan Jack menulis lagi bahawa
meningkatkan kekuatan mental hendaklah dengan langkah pertama iaitu membaca
bahan-bahan yang membina.
Benarlah bahawa membaca
bahan-bahan yang membina kekuatan fikiran dan buku-buku yang bagus akan
berupaya untuk melonjakkan kita ke titik pencapaian matlamat. Sehingga pesan
daripada Jim Rohn, seorang motivator perniagaan, mensyaratkan untuk cemerlang kita
perlu mendisiplinkan diri membaca dua buah buku seminggu! (Jumlahnya akan
menjadi seratus buah setahun, dan jika kita aktif dalam masa usia berguna 30
tahun, kita sudah membaca paling kurang pun 3,000 buah buku.)
Idea-idea yang disampaikan ini
menunjukkan saling perkaitan antara impian yang kita ada, menurunkannya kepada
penulisan matlamat, kemudian menjadi percambahan idea dan apa hubungannya
dengan keupayaan pembayangan yang dilahirkan daripada tabiat membaca
bahan-bahan membina.
Dimulakan dengan asas yang
kukuh daripada membaca, maka orang yang boleh membaca tetapi tidak mahu membaca
adalah tidak ubah seperti orang yang tidak boleh membaca. Mark sendiri, setelah
jatuh muflis, sebelum menjadi motivator dan terkenal dengan karya ``Berani
Menang'', terpaksa membuat `penyelidikan' di perpustakaan, semata-mata untuk
melandaskan semula hidupnya.
Dan, antara buku yang
disingkap oleh Mark di perpustakaan adalah How To Go Bankrupt by Yourself.
Sanggupkah kita, setelah jatuh muflis dengan duit tunai cuma tinggal 25 sen
sahaja untuk membeli petrol, membuat pembacaan sebegitu, semata-mata untuk
memahami apa yang telah terjadi, supaya boleh menyusun impian dan matlamat kita
semula?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Dialu - alukan untuk memberikan sebarang komen atau maklumbalas. Terima kasih! :)