Ahad, 24 Ogos 2014

[105] Bengkel Asas Seni Tari Zapin - Mengandungi Gambar dan 10 Klip Video

Memang sukar untuk melaksanakan sesuatu yang telah lama ditinggalkan. Dengan sokongan mereka yang pernah dilatih 10 tahun dahulu, ia menjadi nyata. Persatuan Belia G2 Felda Pemanis kembali memugar zapin menerusi Bengkel Asas Seni Tari Zapin. Memastikan bahawa seni budaya identiti negeri Johor ini terus dihidupkan dan dikembangkan dari generasi ke generasi.

Ia berlangsung dari Khamis - Sabtu, 21 - 23 Ogos 2014 di Dewan Semai Bakti, Felda Pemanis Dua. Sesi diadakan pada petang Khamis (3 jam), pagi dan petang Jumaat (7 jam) dan petang Sabtu (3 jam), menjadikan jumlah jam bengkel latihan adalah sebanyak 13 jam. 

Terima kasih kepada jurulatih zapin iaitu Firdaus Zainal Abidin (belajar di UMT), Nor Azreen Hasan (tamat Diploma dari UiTM) dan Aziayana Jamal (belajar di UiTM). Mereka adalah senior Kelab Zapin Seri Manis 2 di bawah Persatuan Belia G2 Felda Pemanis yang diusahakan 10 tahun dahulu oleh Allahyarham Cikgu Mohd Syahril Paiman. Firdaus selain bertindak sebagai Jurulatih, beliau juga adalah Penyelaras Program. Syabas buat adik - adik yang berjaya menamatkan bengkel. Semua peserta diajar asas tari zapin dengan penumpuan Zapin Kores untuk peserta lelaki dan Zapin Tanjung Labuh untuk peserta perempuan.




Dua gambar di atas (kira - kira 8 - 10 tahun dahulu) adalah kenangan awal melibatkan Firdaus, Azreen dan Yana ketika mereka berzapin. Kini, mereka menyumbang tenaga sebagai Jurulatih kepada adik - adik zapin junior. Syabas diucapkan!



Pada mulanya, 15 orang mendaftar untuk mengikuti bengkel ini. Pada hari pertama perlaksanaan, 12 orang melapor diri. Sehingga tamat dan dikurnikana Sijil Penyertaan, hanya 8 orang sahaja yang berjaya menamatkan latihan. Begitulah cabaran dan kesukaran untuk memugar dan melegasikan seni budaya, terutama zapin. Namun, Persatuan amat bersyukur kerana masih ada lagi anak - anak Melayu Johor yang berminat dengan seni tari zapin ini.

Majlis Penutup Ringkas dan Penyampaian Sijil telah diadakan pada jam 06.00 petang Sabtu dan disempurnakan oleh Sdra Mohd Syawal Baharudin, Naib Pengerusi Persatuan Belia G2 Felda Pemanis.

Insya Allah, pada masa akan datang, Kelab Zapin Seri Manis 2 di bawah Persatuan Belia G2 Felda Pemanis akan terus membangunkan dan mengembangkan zapin menerusi Bengkel Asas Seni Tari Zapin mahupun Bengkel Pemantapan Seni Tari Zapin. Masih ada beberapa orang lagi Jurulatih dari didikan Kelab Zapin Seri Manis 2 dahulu yang akan tampil menyumbangkan tenaga. Semoga dipermudahkan.







Gambar - gambar ada di pautan ini :

Manakala, berikut adalah 10 klip video program. Rasanya, boleh tamat belajar zapin dengan menonton 10 klip video ini :)














Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dialu - alukan untuk memberikan sebarang komen atau maklumbalas. Terima kasih! :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...