Jumaat, 27 Mac 2015

[142] Kursus Kejurulatihan (TOT) Pemimpin Program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda Zon Selatan 2015

Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor telah menganjurkan Kursus TOT (Latihan Kejurulatihan) Pemimpin Program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) Zon Selatan pada 24 - 26 Mac 2015 di Kg Tanjung Balang, Pulau Tinggi, Mersing. Seramai 23 orang Pemimpin ARPRM dari Johor, Melaka dan Negeri Sembilan menyertainya. Zon Selatan merupakan zon pertama yang melaksanakan Kursus TOT ARPRM ini. Pemimpin ARPRM terdiri dari Mentor Badan Operasi NGO, guru sekolah harian, pegawai Jabatan Penjara Malaysia (Sekolah Henry Gurney), guru sekolah swasta, Pegawai Belia dan Sukan dan pegawai IPTA / IPTS. 

Persatuan Belia G2 Felda Pemanis selaku salah satu Badan Operasi Bertauliah ARPRM turut sama menyertai TOT ini. Mentor ARPRM G2 mewakili Badan Operasi G2.







TOT Pemimpin ARPRM diadakan dengan tujuan untuk :

1. Memantapkan perlaksanaan ARPRM di semua Badan Operasi
2. Melatih pemipim ARPRM menjadi Jurulatih dan melahirkan Pasukan Jurulatih ARPRM Malaysia
3. Mewujudkan jaringan hubungan positif di antara pemimpin, mentor, jurulatih di semua Badan Operasi ARPRM.

Gambar - gambar penuh ada di sini : TOT Pemimpin ARPRM Zon Selatan

Ini pula adalah dua klip video program.



Isnin, 23 Mac 2015

[141] Kursus Pengurusan Program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda Zon Selatan 2015

Pada 20 - 22 Mac 2015 telah berlansung Kursus Pengurusan Program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) Zon Selatan bertempat di Hotel Palm, Seremban. Kursus ini menggabungkan 3 buah negeri : Melaka, Johor dan Negeri Sembilan. 


Seramai 31 orang peserta telah menyertainya. Para peserta terdiri dari Pegawai Jabatan Belia dan Sukan, guru sekolah, warden asrama, Pegawai Hal Ehwal Pelajar Kolej, guru sekolah swasta, peserta yang telah ditauliahkan Tahap Emas dan Mentor dari Persatuan yang menjadi Badan Operasi Bertauliah menerusi NGO. Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Sijil telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan.

Sesi sepanjang kursus telah dikendalikan oleh Encik Ravi, Setiausaha MAAGA yang juga merupakan pemegang Emas ARPRM dan Puan Anne selaku Ahli Sekretariat ARPRM Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.







Gambar - gambar penuh ada di sini : Kursus Pengurusan Program ARPRM Zon Selatan

Antara tajuk - tajuk yang dibincangkan di dalam kursus berkenaan adalah :1. Falsafah Perlaksanaan dan Prinsip Operasi ARPRM
2. Struktur Organisasi Pengurusan ARPRM
3. Peranan dan Tanggungjawab Pemimpin Badan Operasi ARPRM
4. Prinsip Perancangan Aktiviti ARPRM Tahap Gangsa, Perak dan Emas
5. Perekodan dan Penilaian ARPRM Tahap Gangsa, Perak dan Emas
6. Pengurusan Peserta Tahap Emas
7. Aktiviti Kumpulan dan Pembentangan

Berikut adalah tiga klip video yang sempat dirakam. Terima kasih kepada semua!







Khamis, 19 Mac 2015

[140] Konsultasi Pendidikan Ketiga Untuk Lepasan SPM, STPM dan Setaraf

Persatuan Belia G2 Felda Pemanis telah melaksanakan secara intensif Program Konsultasi Pendidikan Ketiga. Program ini menyasarkan kepada kelompok - kelompok berikut :

1. Lepasan SPM 2014
2. Lepasan SPM 2013 dan sebelumnya yang tercicir
3. Lepasan STPM yang hendak ke Program Ijazah
4. Lepasan Matrikulasi yang hendak ke Program Ijazah

Program ini telah diadakan secara kumpulan kecil dan meliputi hampir keseluruhan dari anak - anak Felda Pemanis lahir pda tahun 1997 (Lepasan SPM 2014) dan kumpulan - kumpulan lain. Ia merupakan kesinambungan dari Program Menggapai Pendidikan Ketiga, sebagaimana yang telah dilaksanakan pada awal tahun 2015 yang lalu.

Konsultasi Pendidikan Ketiga diadakan dengan tujuan - tujuan berikut :

1. Menyebarkan maklumat dan perkembangan terbaru dari Karnival Pendidikan negara ke 11 yang dilawati oleh kumpulan dari Persatuan Belia G2 Felda Pemanis.
2. Mengemaskini borang permohonan UPU bersesuaian dengan minat dan keputusan peperiksaan SPM dan STPM yang telah keluar.
3. Membuka halatuju dan menerangkan kepada lepasan peperiksaan mengenai bidang dan program yang mereka boleh ikuti, selaras dengan keputusan peperiksaan dan minat masing - masing.
4. Mempromosi peluang pendidikan ketiga yang ditawarkan oleh Kerajaan sama ada dalam aliran akademik, teknikal, kemahiran atau vokasional.
5. Membantu mengurus permohonan tajaan dan biasiswa, khusus untuk pelajar cemerlang.
6. Membantu mengesahkan dokumen - dokumen bagi tujuan permohonan pendidikan ketiga, biasiswa atau tajaan.
7. Memberi semangat, motivasi dan keyakinan diri kepada remaja lepasan peperiksaan awam untuk terus menimba ilmu sebagai bekalan dan persediaan hari muka yang penuh cabaran.











Konsultasi Pendidikan Ketiga telah diadakan sepanjang bulan Mac 2015 (selepas keputusan SPM dan STPM diumumkan) pada waktu senggang terutamanya sebelah lewat petang dan malam. Kumpulan - kumpulan kecil lepasan peperiksaan telah hadir untuk menyelesaikan urusan - urusan mereka, dibantu oleh fasilitator - fasilitator dari Persatuan Belia G2 Felda Pemanis yang berkelapangan. Secara keseluruhannya, lebih 50 orang lepasan peperiksaan awam 2014 telah ditemui menerusi Konsultasi Pendidikan Ketiga ini.

Persatuan Belia G2 Felda Pemanis mengucapkan selamat maju jaya kepada semua. Doa dan harapan mengiringi setiap usaha dan langkah yang mereka ambil. Bahawa, Allah tidak akan mengecewakan hamba Nya yang berusaha, walau sekecil mana sekalipun. 


Ahad, 15 Mac 2015

[139] Bengkel Matematik Tambahan Siri 6, 2015


BENGKEL Matematik Tambahan G2 Siri 6, 2015 telah sempurna melabuhkan tirainya. Bengkel selama 3 hari ini diadakan pada 12 - 14 Mac 2014 di dua tempat : Pusat Internet 1Malaysia Felda Pemanis Satu dan SMK LKTP Pemanis. Bengkel Matematik Tambahan Siri 6, 2015 adalah anjuran Persatuan Belia G2 Felda Pemanis dengan kerjasama Persatuan Sains dan Teknologi (PESAT) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), SMK Pemanis, Alumni SMK Pemanis dan Pusat Internet 1Malaysia Felda Pemanis Satu. Ia merupakan projek tahunan G2 sebagai sebahagian tanda komitmen kepada usaha akademik.


Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil telah disempurnakan oleh EncikRaziman Joraimi, Ahli Lembaga Penasihat, Persatuan Belia G2 Felda Pemanis. Terima kasih diucapkan.



Persatuan Belia G2 Felda Pemanis juga mengambil kesempatan mengucapkan TERIMA KASIH kepada fasilitator dari Persatuan Sains dan Teknologi (PESAT) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang membantu dalam perlaksanaan Bengkel Matematik Tambahan Siri 6, 2015 iaituRidhwan ReyazAiman Rifdi ArifinWan AfiqFaris Izzuddin RoslinMuhamad Hanis dan tentunya anak Pemanis Rashid Admon. Terima kasih juga kepada SMK Pemanis (Cikgu Zabedah Abdul Rashid, GPK 1 dan Cikgu Johan Napie), Alumni SMK Pemanis (Muhammad FaizNorshahira Isa, Azhari Imran,Adilah SahariNurain Lemon dan Sharifa Shazwani - yang banyak membantu). Terima kasih Tuan Pengurus Pusat Internet 1Malaysia Felda Pemanis Satu, Iftitah Ishak yang seringkali memberikan kami ruang dan peluang untuk menggunakan premis beliau.



Sebanyak 5 sesi telah diadakan, dengan setiap sesi mengambil masa 3 jam. Keseluruhannya 15 jam diselesaikan untuk bengkel kali ini. Pendekatan adalah secaca kumpulan kecil agar pemahaman pelajar lebih jitu. Mereka diberikan latihan penyelesaian masalah mengikut modul yang ditetapkan.

Bengkel telah dihadiri oleh 19 orang pelajar aliran Sains Tingkatan 5 dan 20 orang pelajar aliran Sains Tingkatan 4, semuanya anak - anak Felda Pemanis. Program ini mempunyai matlamat untuk meningkatkan penguasaan akademik menjurus subjek Matematik Tambahan di kalangan pelajar kelas aliran sains Tingkatan 4 dan Tingkatan 5.












Terima kasih kepada semua yang sudi membantu menjayakan program. Program yang ringkas, tetapi pengisian dan inputnya lebih bermakna dari acaranya. Semoga kita diberikan kekuatan untuk terus melaksanakan pada siri - siri akan datang. Jumpa lagi dalam Siri 7 (Mei / Jun) dan Siri 9 (September). 

Gambar - gambar penuh adalah seperti di pautan ini :

Berikut pula adalah 6 klip video yang sempat dirakam untuk bengkel kali ini.








Terima kasih semua!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...