Isnin, 23 Februari 2015

[137] Catatan Pengalaman ke Kg Kemubu, Dabong, Kuala Krai, Kelantan

CATATAN PENGALAMAN
GERAKAN MISI BANTUAN SUKARELAWAN INTERVENSI KRISIS PASCA BENCANA (BANJIR)
KE KAMPUNG KEMUBU,DABONG, KUALA KRAI, KELANTAN


Catatan Pengalaman oleh MOHD AZHARI IMRAN
Peserta ARPRM Tahap Emas Persatuan Belia G2 Felda Pemanis

Pada 19-21 Feb 2014 yang lepas, Persatuan Belia G2 Felda Pemanis bersama Jabatan Belia Sukan Johor telah melaksanakan program gerakan misi bantuan sukarelawan ke kampung Kemubu di daerah Dabong, Kelantan. Program ini disertai oleh 12 orang sukarelawan lelaki dan 3 orang sukarelawan wanita. Empat orang lelaki daripada 12 sukarelawan itu adalah dari G2. Program ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk merawat psikologi mangsa di sana yang masih trauma dan menunjukkan keprihatinan kepada mangsa yang terlibat.

19 Februari 2014 (Hari Pertama)
Semua sukarelawan dikehendaki berkumpul di Pejabat Belia Sukan daerah Segamat(PBSS) jam 6 petang. Terdapat sukarelawan yang hadir dari daerah Kulai dan Mersing. Kami belia G2 yang terdiri daripada Encik Armizam, Encik Azizi, Firdaus Zainal dan saya, Azhari Imran bertolak dari Felda Pemanis jam 5.30 petang. Setelah siap mengatur barang di dalam boot kereta, kami bertolak ke Pejabat Belia Sukan dengan berhati-hati. Sepanjang perjalanan, kami terpaksa berhimpit seketika di kerusi belakang kerana sarat dengan barang Firdaus Zainal yang hendak memulakan sesi pembelajaran di UMT bagi semester seterusnya. Setelah tiba di PBSD Segamat, Encik Ibrahim iaitu Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Segamat (Pegawai Rakan Muda Daerah Segamat) telah menyambut kami dengan senyuman yang mesra. Setelah sampai, kami menurunkan barang untuk dipindahkan ke van Jabatan Belia Sukan.


Sementara menunggu pegawai dari daerah lain sampai, kami menjamu selera yang telah disediakan iaitu nasi ayam penyet. Kami mengisi perut kami sehingga tiada lagi ruang untuk nasi itu masuk ke dalam perut kami. Alhamdulillah, sangat kenyang malam itu. selepas itu kami menunaikan solat maghrib. Selepas selesai, kami diberi taklimat oleh Encik Ibrahim tentang tentatif dan objektif program yang ingin dijalankan. selepas selesai menyusun barang-barang bantuan ke dalam van, kami bertolak ke Taman Yayasan untuk pelepasan oleh YB Anuar  Manap, Ahli Parlimen Sekijang. Sementara menunggu YB sampai, kami mengisi minyak kenderaan bagi meneruskan perjalanan. Ketika ini, saya ingin menceritakan kisah lucu dimana saya disuruh untuk mengisi minyak. Selepas saya masukkan nozel pam minyak kedalam tangki, saya pergi membayar ke kaunter. Selepas itu saya terus masuk ke kereta kerana menyangkakan Encik Armizam sudah mencabut nozel tersebut. setelah itu, kereta pun bergerak. Tiba-tiba satu bunyi seperti tin aluminium jatuh dan semua menoleh kebelakang. Kami berempat terkejut kerana nozel pam minyak itu tercabut dari pam dan masih terpasang pada tangki minyak kereta itu. semua tertawa menyaksikan kecuaian saya. Saya segera keluar dari kereta dan mencabut nozel tersebut dan ingin kembalikan ke tempat asalnya. Pekerja di situ membantu saya sambil turut tertawa. perasaan malu dalam diri saya ketika itu menyusup dari kepala sampai ke kaki.


Malam itu konvoi kami dilepaskan oleh YB Anuar Manap jam 10 malam. Perjalanan sepanjang 8 jam ini diketuai oleh Encik Ibrahim. Hal ini kerana beliau telah ke sana sebulan yang lepas dalam misi bantuan bersama pihak lain.

20 Februari (Hari Kedua)
Bagi memendekkan perjalanan yang jauh, kami menggunakan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang baru sahaja dibuka awal tahun ini. Perjalanan di LPT mengambil masa hanya dua jam ke Kuala Terengganu. Sedang asyik memandu, Encik Ibrahim telah terlajak untuk memasuki persimpangan Ajil. Kami terpaksa berpatah balik untuk menemukan persimpangan itu semula. untuk berpatah balik menggunakan jalan yang betul mengambil masa yang lama dan juga akan menggunakan minyak yang banyak. Kami semua nekad untuk berpatah balik dengan melawan arah. Keadaan tenang malam itu sedikit melicinkan perjalanan kami dan dengan tiba-tiba peronda LPT telah menahan kami dan Encik Ibrahim telah berunding. Alhamdulillah, kami dilepaskan daripada sekatan itu tanpa denda dan saman.

Perjalanan diteruskan lagi sehingga ke Felda Chiku dan kami berhenti berehat dan solat subuh di situ. Jarak antara Chiku dengan Dabong tidaklah jauh sangat sekitar 4 jam perjalanan. kami teruskan perjalanan sehingga sampai ke daerah Dabong jam 9 pagi. Kami terus menuju ke surau untuk berjumpa dengan Abg Din. Di situ juga, kami berjumpa dengan ketua kampung dan setiausaha JKKP kampung tersebut. Encik Ibrahim telah menerangkan tentang tentatif program sepanjang kami di situ. Program itu akan bermula selepas solat Jumaat. Sementara menunggu solat Jumaat, kami berehat di rumah penginapan yang telah disediakan Abg Din.


Misi kami bermula jam 3 petang. Encik Ibrahim telah bahagikan beberapa kumpulan. Kami memberi bantuan kepada mangsa-mangsa di situ. Bantuan dari kami berbentuk kit kebersihan diri seperti bedak, alatan wangian, alat pembersih diri dan lain-lain. Sepanjang ziarah kami di kampung itu, kami mendengar luahan hati dari penduduk situ dan apa yang membanggakan kami adalah mereka mengatakan yang pasukan dari Johor merupakan pasukan yang paling ramai datang membantu membersihkan kawasan itu.  Kami selesai agenda kami yang pertama pada petang itu dalam lingkungan 5 petang.



Program kami seterusnya adalah mengadakan sesi bersama kanak – kanak. Saya dan Firdaus dikehendaki untuk mengendalikan slot ini. Antara aktiviti yang telah kami aturkan adalah mewarna dan sukaneka berbagai acara. Antara acaranya adalah mencari “cekelak” (gula-gula) di dalam tepung, masukkan air ke dalam botol menggunakan straw dan juga melempar getah ke dalam cawan. kami menjangkakan hanya dalam lingkungan 40 – 50 orang kanak-kanak sahaja tetapi kanak-kanak yang hadir pada petang itu mencecah dalam 70 – 80 orang. Sambutan yang amat menggalakkan. program pada hari kedua tamat pada jam 7 malam.














Sesi ini bertujuan untuk menghiburkan kanak – kanak dan melarikan mereka dari trauma yang dahsyat setelah bencana melanda. Ia juga dengan harapan agar kanak – kanak tersebut kekal positif untuk terus hidup.

Pada malam itu kami berehat dan melakukan aktiviti sendiri. Kami dari G2 mengambil peluang ini untuk ke pekan Jeli untuk bersiar-siar. Kami pulang ke rumah penginapan jam 10 malam.

21 Februari 2014 (Hari Ketiga)
Kisah hari ketiga dan terakhir kami di kampung itu bermula jam 6 pagi. Kami bersiap dan solat Subuh. selepas itu, anak saudara Abg Din telah menghantar sarapan untuk menjamu kami. selepas selesai bersarapan kami pun bersiap sedia dan berkemas kerana selepas program hari itu, kami akan terus bergerak pulang. Dalam keadaan sibuk bersiap, seorang pakcik telah datang ke rumah penginapan kami dan beliau telah menjemput kami untuk datang ke rumahnya. Setelah siap mengemas barang ke dalam kenderaan masing-masing, kami pun pergi ke rumah pakcik yang menjemput kami tadi.


Setelah sampai ke rumah pakcik itu tadi, kami disambut dengan mesra. pakcik itu menceritakan kisah dan pengalaman ketika menghadapi banjir tempoh hari. paras air yang memasuki rumah pakcik itu hampir menenggelamkan seluruh rumahnya. sambil pakcik itu menceritakan kisah pengalamannya itu, kami dijamu dengan roti canai dan kuah kari yang dibuat sendiri. Selepas selesai menjamu selera, Encik Ibrahim selaku wakil kami telah menyerahkan sumbangan berbentuk al-Quran dan kit pembersihan diri. Selepas itu, kami bergerak ke tempat perumahan pegawai keretapi daerah Dabong yang berhampiran di situ. Di situ merupakan tempat yang terakhir bagi misi kami kali ini. Selepas selesai, kami pun bersurai. Bagi kumpulan G2, kami ke Kuala Terengganu bagi menghantar Firdaus pulang ke kampusnya.

Kami sampai di Felda Pemanis pada jam 01.30 pagi, Ahad 22 Februari 2015.

Kesimpulan yang dapat saya ungkapkan bagi misi kali ini adalah walau dimana pun kita berada nikmat Allah itu tetap turun. hanya kita sebagai manusia yang tidak tahu bersyukur dengan nikmat-Nya. saya memetik kata-kata imam yang berkhutbah di masjid di kampung itu ketika solat Jumaat adalah “dalam musibah tu ada nikmat, dan kalau kita tak bersyukur dengan nikmat tu, kita akan ditimpa musibah pula.”

Harapan saya kepada belia di luar sana, sertailah program sukarelawan seperti ini agar kita tahu betapa susahnya untuk tabah apabila menerima ujian dan dugaan dari Allah. Ingatlah, bukan senang nak senang dan bukan susah nak susah.

***


Berikut adalah 5 klip video yang sempat dirakam sepanjang program berlansung.








            

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dialu - alukan untuk memberikan sebarang komen atau maklumbalas. Terima kasih! :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...